Rencana

Hari Malaysia: Negara yang demokratik mampu jamin Sabah dan Sarawak dihormati, dan rakyat hidup penuh bermaruah

DAP mengajak rakyat Sarawak dan Sabah untuk bersatu dengan semua warga Malaysia yang berjiwa demokratik dan cintakan keamanan, kebebasan dan keadilan untuk melawan golongan korup, rasis dan ekstremis bagi memastikan Sabah dan Sarawak mengekalkan hak di bawah Perlembagaan Persekutuan di mana masing-masing adalah satu daripada 3 entiti yang menubuhkan Malaysia. Perjuangan menentukan masa depan Malaysia bermula pada Hari Malaysia.

Perhimpunan baju merah oleh ahli-ahli UMNO dan penyokong mereka adalah kempen terang lagi bersuluh yang mahu menunjukkan kebencian dan menimbulkan ketakutan terhadap kaum bukan-Melayu sebagai usaha mengalih pandangan daripada korupsi Barisan Nasional dan kegagalan untuk menjelaskan skandal RM42 bilion 1MDB serta penemuan wang RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Malah, BN dan UMNO mahu menutup kegagalan pengurusan ekonomi yang bukan saja telah mengakibatkan kemerosotan ekonomi seluruh negara tetapi juga memperlihatkan kejatuhan nilai ringgit kita sebanyak 30% sejak tahun lalu.

Dengan membenarkan perhimpunan baju merah yang dipenuhi dengan retorik mengancam keganasan terhadap kaum bukan-Melayu, Perdana Menteri dan BN telah melakukan apa saja yang mereka mampu untuk membangkitkan rasa tidak puas hati, perasaan diri menjadi mangsa, dan geram di sesetengah kalangan rakyat. Bagaimanapun, retorik kebencian ini tidak dapat menyelesaikan masalah ekonomi yang diakibatkan oleh GST dan korupsi, serta peningkatan hutang isi rumah di Malaysia di mana hutang peribadi kita adalah yang kedua tertinggi di Asia, pada kadar 87% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Rakyat Malaysia yang cintakan keamanan mesti bersatu untuk menumpaskan elemen rasis dan ekstremis supaya Hari Malaysia dikenang sebagai hari mulia yang mengajak kita kepada perpaduan, dan bukannya perpecahan, di mana kepelbagaian diraikan, dan bukannya dikecam. Kita mempunyai tugas suci kepada anak-anak kita untuk melindungi masa depan mereka, dan kita menghadapi masalah yang sama yang hanya boleh diselesaikan apabila kita bersatu hati, dan bukannya bergaduh sesama sendiri dengan fitnah dan kebencian.

Hanya sebuah Malaysia yang demokratik dapat membawa Sabah dan Sarawak keluar dari kemiskinan, perasaan takut dilanda kebanjiran pendatang tanpa izin, dan korupsi yang tegar. Hanya sebuah Malaysia yang aman dan bebas dapat menjamin kedua-dua Sabah dan Sarawak dihormati, dan rakyatnya hidup penuh bermaruah tanpa dicuri masa depan anak-anaknya. Hanya sebuah Malaysia yang berasaskan keadilan dapat kita pastikan bahawa Sabah dan Sarawak menikmati kemakmuran sebagai hak asasinya, selaras dengan kurniaan sumber-sumber semulajadinya.

 

*Perutusan Hari Malaysia oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, merangkap Ahli Parlimen Bagan di Pulau Pinang pada 16 September 2015