Wawancara

Festival Idearaya: Angkat tema kesamarataan

Sekumpulan komuniti bergabung menganjurkan Festival Idearaya yang berlangsung di Laman Budaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada 12 dan 13 September lepas. Antara komuniti yang terlibat adalah Buku Jalanan, Frinjan, Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM), The Sponsorship Movement (TSM), Kuliah Buku (KuBu), Pusat Kajian dan Apresiasi Filem (PKAF) dan Kelab Filem Bangsar. Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang dua hari festival itu seperti forum, syarahan, tayangan, diskusi, bengkel, persembahan serta pameran seni. Roketkini sempat menemuramah Maryam Lee, wakil penganjur Festival Idearaya.

 

Tahniah atas penganjuran Idearaya. Boleh ceritakan secara ringkas Festival Idearaya.

Terima kasih. Festival Idearaya ialah sebuah festival seni, budaya dan ilmu ke arah pemberdayaan masyarakat progresif seputar Asia Tenggara. Penganjuran festival terinspirasi oleh Festival of Ideas di luar negara seperti United Kingdom dan Australia, di mana festival idea adalah tempat para ilmuwan, seniman dan masyarakat setempat itu sendiri berkumpul meraikan ilmu. Festival Idearaya merupakan festival idea yang serupa, tetapi kami ingin memasukkan konteks Asia Tenggara dan melakukannya dalam Bahasa Melayu serantau.

 

11999614_1201462446537505_3776815163097809640_oApa pandangan saudari terhadap tanggapan bahawa golongan muda tidak gemar acara seperti forum kerana ia membosankan, dan mereka lebih gemarkan hiburan mudah seperti menonton wayang aksi di pawagam pada hujung minggu?

Pada pandangan saya, tanggapan ini terlalu simplistik. Hanya kerana golongan muda jarang pergi ke forum, tidak semestinya ia adalah kesan langsung daripada suka aktiviti hiburan. Ramai saja dari golongan muda membuat program ilmiah sendiri kerana sekatan-sekatan institusi, sama ada dari pihak universiti atau pihak badan berkuasa.

Mereka menganjurkan forum sendiri di kedai mamak seperti Kuliah Buku, atau reading group di rumah kawan-kawan atau kawasan sekitar kampus seperti Universiti Terbuka Anak Muda. Buku Jalanan yang mempunyai 72 buah di seluruh negara juga dijalankan golongan muda, kerana mereka juga mencari ruang-ruang untuk mereka menimba ilmu sesama mereka. Kesemua aktiviti mereka dianjurkan sendiri tanpa sekatan dari mana-mana pihak, dan mereka mengajak semua orang dari semua golongan untuk sama-sama meraikan. Saya amat tidak bersetuju dengan tanggapan cetek bahawa golongan muda tidak gemar program ilmu.

 

 Apakah antara respons yang diberikan pengunjung, terutamanya golongan muda, terhadap forum-forum yang dianjurkan?

Tiga per empat hadirin di Festival Idearaya adalah golongan muda berumur 18 hingga 30 tahun. Semua program, termasuk forum, menunjukkan demografik hadirin yang sama. Mereka menunjukkan perasaan ingin tahu (curiosity) yang amat tinggi. Forum-forum bukanlah seperti kelas-kelas di universiti di mana kita akan mempelajari semua teori berkaitan topik itu di forum itu juga. Forum adalah tempat untuk mengetahui pendapat panelis atau hasil kajian-kajian yang mereka lakukan. Di forumlah tempat untuk berbahas dengan matang, dan sesiapa pun boleh mencabar pendapat atau hasil kajian sekiranya ada bantahan.

Di Festival Idearaya, kami meletakkan tempat panelis dengan hadirin di tempat yang sama untuk sama-sama berkongsi ilmu. Hadirin kebanyakkannya melihat positif perkara ini. Jarang sekali untuk mereka ke forum yang tidak meletakkan panelis di tempat yang lebih tinggi daripada audiens. Mereka juga kelihatan selesa dengan konsep kesamarataan yang dipraktikkan, ianya tidak sama sekali memberi halangan untuk mereka tetap menjaga adab menimba ilmu.

 

12017609_1201459649871118_8319397085178090940_oDari segi pengisian program, tema dan tajuk yang dibincangkan, apa yang membezakan Idearaya dengan acara budaya lain seperti Festival Belia Putrajaya, kalau ada?

Semestinya terdapat perbezaan dari segi falsafah penganjuran festival itu sendiri. Festival Idearaya dianjurkan oleh masyarakat akar umbi dari bawah-atas (bottom-up) dan bergerak dalam kerangka kebudayaan, Festival Belia dianjurkan dari atas-bawah (top-down) dan bergerak dalam kerangka kekuasaan. Di Festival Idearaya, kami mengangkat kesamarataan dan menolak pemahaman feudalis yang perlu menampilkan strata kedudukan masyarakat.

Ketika Exco Budaya dan Exco Pendidikan Negeri Selangor hadir memberikan ucapan, mereka tidak dipanggil “YB Amirudin” atau “YB Nik Nazmi” melainkan hanya dipanggil “saudara Amirudin” dan “saudara Nik Nazmi”. Perbezaan ini sangat jelas pada audiens dan mereka menangkap hal ini hampir serta merta. Mereka datang kepada pihak penganjur dan bertanyakan apakah betul kami benar-benar tidak menggunakan istilah “YB” dan kami menjelaskan kedudukan ini.

 

Acara-acara hiburan/seni/budaya di Malaysia, dari yang besar sehinggalah gig-gig kecil di ibu kota masih lagi menunjukkan segregation di mana masing-masing acara mempunyai kelompok majoriti kaum tertentu, adakah ini menunjukkan dalam seni budaya kita masih lagi belum menembusi tembok perkauman?

Tembok perkauman adalah tembok ilusi yang dibentuk dan diperkukuh oleh faktor-faktor ekonomi dan politik. Ekonomi dan politik berasaskan kaum adalah mudah dan stabil suatu ketika dahulu, namun pada zaman kian rumit ini adakah kita bersedia untuk menerima kemungkinan bahawa ia sudah tidak relevan.

Jika mahukan masyarakat yang lebih bersatu, kerangka kebudayaan itu sendiri perlu diperkukuhkan dengan mendidik masyarakat tempatan untuk bergiat sendiri dalam konteks tempat sendiri. Tidak boleh hanya menjalankan program di tempat orang dan berfikiran seperti kolonial “oh, kami datang untuk memberi kamu seni dan memberi kamu budaya” – ini salah, dan ini juga boleh disalah-erti dan berpotensi untuk lebih merumitkan masalah perpaduan.

 

penganjurApa harapan terhadap penganjuran acara seni budaya?

Pada pengamatan saya, kebudayaan bergerak paling pantas dalam dua perkara – seni dan sukan. Kita sebenarnya kena kaji lagi apa sebenarnya yang kita nak. Setiap acara seni yang saya pergi, saya akan lihat golongan mana yang diangkat, selebihnya perlu dilihat kepada keterbukaan pihak penganjuran acara-acara itu untuk berdepan dengan kritikan. Harapan saya adalah untuk menjadikan Festival Idearaya sebagai satu polisi masyarakat setempat, bukan dikecilkan peranannya hanya sebagai sebuah program. – Roketkini.com