Rencana

Bersatu sokong pemimpin Melayu songlap duit rakyat?

Dalam bahasa paling mudah dan ringkas, perhimpunan baju merah pada 16 September lalu benar-benar himpunan bangsa Melayu. Tiada hu-hu, ha-ha, ho-ho atau apa-apa saja. Itu himpunan bangsa Melayu. Khalas.

Ketika orang marah-marah kepada perdana menteri yang berketurunan, mereka turun beramai-ramai sebagai bangsa Melayu untuk mempertahankan ketua Melayu.

Ketika pemimpin mereka didedahkan menerima dana RM2.6 bilion daripada “dermawan Arab” kumpulan baju merah datang ke tengah kota raya dengan semangat perwira Melayu. Bagi mereka, tiada salahnya menerima dana daripada orang yang tidak dikenali, sama seperti tiada salahnya jika wang itu digunakan untuk keperluan peribadi.

Kerana peribadi itu sendiri adalah orang berbangsa Melayu.

Bugis? Melayulah tu!

Apabila ada budak muda Cina dipercayai menerima – dan membelanjakan – wang rakyat untuk tujuan yang kabur, bangsa Melayu berbaju merah mendatangi Jalan Petaling. Mereka mahu mendapatkan hak berniaga di Jalan Petaling yang dibina oleh orang Cina berdekad-dekad lamanya.

Pedulilah anak muda Cina yang mungkin menyonglap duit rakyat, kerana anak muda Cina itu menolong orang Melayu juga. Membeli tanah di tengah Kuala Lumpur dengan harga rendah dan menjualnya semua dengan harga berlipat ganda – semua yang terlibat (atau majoritinya) adalah “orang kita”. Orang Melayu.

Mana-mana pemimpin yang bertanya atau mempersoalkan perbuatan anak Melayu maka mereka bukan lagi Melayu. Mereka mungkin orang jawa, mungkin orang Siam, mungkin orang Sabah. Orang Sabah tak semestinya Melayu. Kalau Melayu pun, mereka adalah Melayu Sabah. Mana mungkin sama dengan Melayu Pahang atau Bugis, misalnya.

Bangsa Melayu adalah bangsa sakral. Bangsa kalis dosa kalis salah.

Kerana itu reaksi kepada Melayu yang melakukan rasuah dan bukan Melayu yang melakukan rasuah tidak sama. Andainya Melayu mengambil harta orang lain – waima milik Melayu juga – maka janganlah digundahkan sangat.

Melayu mesti berlapang dada dengan ketua mereka yang mungkin menyonglap duit negara. Semuanya adalah demi bangsa. Bangsa Melayu.

Bangsa yang besar adalah bangsa yang menyokong apa saja tindakan ketua mereka. Maka Melayu wajib menyokong ketua Melayu. Kalau ada yang tersalah atau terseleweng sejuta dua ringgit, Melayu boleh menutup sebelah mata.

Relakanlah kerana pelaku itu bukan orang lain, bukan bangsa lain. Orang kita, bangsa Melayu. Adakah Melayu akan berdengki dan sakit hati jika ada mana-mana individu sebangsa tiba-tiba mendapat kontrak – misalnya membina rel kereta api berbilion ringgit melalui tender runding terus yang lebih mahal?

Tipu Melayu? Alahai, lebih kurang apa salahnya. Ajak makcik-makcik dari kampung berjalan-jalan di Kuala Lumpur tak salah, kan? Berjalan-jalan dalam keadaan memang berjalan dari Masjid Negara ke Padang Merbok, misalnya.

Sampai bila bangsa Melayu akan terus berdengki dengan bangsa sendiri? Sampai bila Melayu mahu terus tercicir? Melayu wajib tolong Melayu tanpa “tapi” atau “kecuali” atau “dengan syarat”.

Maka himpunan baju merah pada Hari Malaysia lalu adalah perhimpunan Melayu. Biarkan bangsa lain kalau mereka meraikan hari penting itu dengan aktiviti lain seperti berkumpul tanpa mempedulikan latar bangsa masing-masing.

Melayu mesti bersama Melayu. Melayu bersatu barulah negara maju.

Perbuatan memijak gambar atau poster pemimpin Melayu mesti dikeji. Ia sangat biadab. Cara membalasnya tentulah dengan caci maki dan hamun. Cina babi atau DAP babi, misalnya. Atau menuntut Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dihapuskan.

Nampak? Melayu tidak biadap memijak gambar. Melayu cuma memaki hamun.

Memanglah mempertautkan hubungan baik dan saling menghormati sesama manusia adalah ajaran Islam namun Melayu harus diletakkan di tempat paling atas.

Maka bukti apa lagi yang kamu mahu untuk menunjukkan bahawa himpunan baju merah itu memang himpunan Melayu? -Roketkini.com