Rencana

Dakwaan Dalam Teks Khutbah Aidil Adha Jabatan Mufti Pahang Tidak Berasas, Fitnah

1. Saya mendapat tahu berhubung teks khutbah Aidil Adha yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang Darul Makmur yang tersebar luas menerusi aplikasi WhatsApp pagi ini.

2. Dalam teks khutbah tulisan jawi berkenaan antaranya menyebut;

IMG-20150924-WA0089“Dewasa ini kita melihat perpecahan umat Islam di negara kita terutama bangsa Melayu begitu ketara. Perpecahan ini kerana mengutamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Islam seperti parti UMNO, PAS, PKR dan ditambah parti baru yang dinamakan GHB. Malahan ada dikalangan umat Islam yang menyertai parti DAP yang terang-terang menentang Islam…”

3. Selaku ahli Melayu-Islam dalam DAP, saya melihat bahawa dakwaan dalam khutbah tersebut khususnya pada sedutan teks “DAP yang terang-terang menentang Islam” adalah tidak berasas dan merupakan suatu fitnah.

4. Lebih malang lagi, fitnah tersebut disebarkan oleh Jabatan Mufti dan menerusi masjid yang merupakan institusi mulia bagi umat Islam tanpa mengira samada beliau berbangsa Melayu, Cina, India atau lain-lainnya.

5. Saya juga berpandangan bahawa tindakan mengeluarkan teks khutbah tersebut menggambarkan kedangkalan dan sikap tidak mengkaji Jabatan Mufti Pahang.

6. Saya mencabar agar Jabatan Mufti Pahang mengeluarkan bukti-bukti kukuh yang menjadi asas berhubung dakwaan DAP menentang Islam.

*Penulis merupakan pegawai Khas Pengerusi DAP Johor.