Rencana

Anak muda DAP bantah penyalahgunaan institusi agama

Di kala umat Islam sedang merayakan Aidiladha dan memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT, ia telah dicemari dengan penyampaian khutbah berunsurkan politik dan fitnah.

Khutbah Aidiladha yang disampaikan di Pahang menyentuh tentang kononnya perpecahan umat Islam di Malaysia disebabkan oleh parti politik dan menyatakan bahawa ia akan membawa kepada kelemahan dan kehilangan kuasa pemerintahan umat Islam di negara ini. Khutbah ini juga memfitnah parti DAP sebagai parti yang menentang Islam.

Khutbah Aidiladha Negeri Pahang1Kepelbagaian parti politik dan kewujudan parti politik baru bukanlah tanda perpecahan umat Islam sebaliknya menunjukkan kematangan umat Islam dan Melayu dalam negara berdemokrasi. Adalah penting juga kita membezakan tentang peranan dan fungsi parti politik dalam sistem demokrasi negara dan dan perpaduan agama. Kita seharusnya meraikan perbezaan bukan sahaja melalui kaca mata politik malah dalam agama dan fahaman. Sedangkan aliran fiqh dan pemikiran dalam Islam itu sendiri menunjukkan kemajmukkan sehingga membentuk pelbagai mazhab.

Apabila kita membicarakan tentang perpaduan umat Islam di negara ini, apakah perjuangan dan matlamat akhir yang ingin dicapai? Kelemahan dan kehilangan kuasa pemerintahan umat Islam adalah retorik yang dimainkan oleh parti yang kononnya memperjuangkan Melayu Islam di kala ia sedang lemah dan berusaha untuk mempertahankan kuasa pemerintahan mereka semata-mata. DAP pula sebagai parti politik yang menjunjung perlembagaan sebagai asas pembentukan negara ini mengiktiraf dan menghormati Islam sebagai agama rasmi. Isu menentang dan anti Islam adalah fitnah politik semata-mata.

Jika pihak masjid ingin mengajak ke arah perpaduan umat Islam di negara ini, sepatutnya ia terarah kepada usaha untuk berhadapan dengan pemimpin yang menggunakan label Islam tetapi menzalimi rakyat, mengapi-apikan permusuhan melalui isu agama dan kaum, dan yang mengamalkan korupsi serta menyalahgunakan kuasa dalam menjalankan amanah mentadbir negara.

Marilah bersama-sama, umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya meraikan hari yang istimewa ini dengan mendalami konsep pengorbanan dari kaca mata yang lebih luas dan konsep perpaduan yang bermakna dan bermanfaat.

 

Kenyataan bersama:

Edry Faizal, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor
Young Syefura Othman, Ahli Jawatankuasa Wanita DAP Selangor
Tarmizi Anuwar, Bendahari Pemuda DAP Subang
Masyhur Abdullah, Penolong Setiausaha Pemuda DAP Bukit Bintang
Numan Saadan, Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Subang
Azfar Faruqi, Pengerusi DAP Taman Seroja
Farhan Haziq, Ahli DAP Bandar Utama
Iza Suraiya, Ahli DAP Brunei Pudu
Izmil Amri, Ahli DAP Bukit Bendera