Berita

Pemimpin BN Sarawak ambil peruntukan luar bandar RM1.15 bilion sebagai ‘derma’ diri sendiri?

BETONG 28 SEPT: DAP mahu kerajaan Sarawak mendedahkan butiran peruntukan Projek Pembangunan Luar Bandar – Minor Rural Projects (MRP) bernilai RM1.15 bilion untuk tahun ini yang tidak jelas perbelanjaannya.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata DAP tidak menentang peruntukan besar untuk penduduk luar bandar tetapi mahu perancangan dan perbelanjaannya didedah kepada umum.

“Adakah pemimpin Barisan Nasional Sarawak meniru langkah bos mereka dengan mengambil sebahagian peruntukan sebagai ‘derma’ untuk diri sendiri dan kroni mereka?

“Adakah itu sebabnya mengapa dana MRP disimpan secara rahsia?” katanya yang bimbang pelaksanaan tidak telus membuka peluang untuk korupsi, pada satu majlis di sini, baru-baru ini.

Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, berkata peruntukan itu merangkumi sekurang-kurangnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebagai kategori “luar bandar”.

Secara purata, katanya, setiap DUN luar bandar sepatutnya mendapat RM20 juta daripada dana MRP tahun ini.

Katanya, ada perbezaan antara peruntukan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lebuhraya Pan-Borneo, dengan projek MRP kerana projek JKR dan lebuh raya itu bernilai berpuluh-puluh juta ringgit sedangkan MRP antara RM5,000 hingga RM20,000 untuk setiap projek kampung.

Beliau berkata, ia untuk menyediakan jalan ke rumah panjang, tabung jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), penganjuran acara kampung dan pelbagai aktiviti luar bandar.

“Dengan peruntukan MRP RM20 juta untuk setiap DUN, DUN Layar, Saribas atau Bukit Saban (dalam Parlimen Betong) sepatutnya ada jalan tar, bekalan elektrik dan air yang dirawat untuk setiap rumah panjang.

“Setiap DUN itu masing-masing ada 10,000 pengundi, bermakna setiap pengundi mendapat anggaran faedah bernilai RM2,000 tapi ia tidak berlaku,” tambah beliau.

Chieng Jen mengajak pengundi Betong bersama-sama DAP untuk memastikan kerajaan negeri bertanggungjawab dengan setiap ringgit yang diamanahkan.

Katanya, setiap ringgit harus sampai kepada setiap penduduk luar bandar yang sekian lama dipinggirkan. – Roketkini.com