Berita

Kenakan GST pada topeng muka jerebu bagai tabur garam atas luka rakyat

KUALA LUMPUR 29 SEPT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara, Ng Sze Han menyarankan Kerajaan Persekutuan supaya memansuh cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap topeng muka jerebu.

Pada kenyataan media, hari ini, beliau berkata, topeng muka adalah keperluan kritikal berikutan negara dilanda jerebu yang bertambah buruk hingga ke tahap yang mengancam kesihatan.

Jadi, katanya, kerajaan harus bersungguh-sungguh membantu rakyat, bukan setakat menyeru orang ramai memakai topeng muka sedangkan rakyat perlu membayar keperluan itu beserta caj GST.

“Topeng muka jenis N95 contohnya, sehelai RM6 dan meningkat jadi RM6.35 selepas dikenakan GST. Ini membebankan kerana rakyat. Bayangkan kos tambahan setiap isi rumah untuk topeng muka setiap hari jika jerebu berterusan,” katanya.

Turut mencadangkan Kementerian Pendidikan menyediakan topeng muka mencukupi kepada murid dan kakitangan sekolah, Sze Han berkata, tindakan mengenakan GST terhadap topeng muka umpama menabur garam di atas luka rakyat.

“Walaupun Kerajaan Persekutuan gagal memberi tekanan kepada Indonesia, sekurang-kurangnya Kerajaan Persekutuan membuat perubahan dan penambahbaikan bagi menghadapi krisis itu,” katanya. – Roketkini.com