Berita

Pentadbiran Najib roboh umpama binaan daun terup dua bulan lagi?

KUALA LUMPUR 29 SEPT: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempersoal kemungkinan situasi paling buruk bakal melanda pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dalam dua bulan akan datang sebagaimana suasana sekitar dua bulan lalu.

Katanya, ia berikutan banyak perkembangan antarabangsa di luar kawalan Najib sekalipun Perdana Menteri itu kelihatan kebal di dalam negara berikutan sokongan penyokongnya dalam UMNO BN.

“Terbaru, laporan media menyatakan Abu Dhabi Aabar Investments mungkin enggan melabur RM2.5 bilion berikutan kekecewaan dalam kalangan pelabur berikutan ketidakstabilan ekonomi dan politik di Malaysia,” katanya.

Dalam dua bulan lalu, pentadbiran Najib terpalit dengan pelbagai skandal, antaranya rasuah berprofil tinggi 1MDB, ‘derma’ RM2.6 billion dalam akaun peribadinya dan tindakan melulu polis terhadap individu yang mengkritik Najib.

Ia diikuti pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kabinet, Datuk Seri Shafie Apdal dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail selain pelbagai tindakan luar biasa terhadap beberapa agensi kerajaan.

Selain itu, kata Kit Siang, ramai tertanya-tanya sama ada Najib akan menarik diri pada saat akhir dari merasmikan Forum Transformasi Global di Kuala Lumpur Oktober ini seperti perbuatannya dalam Persidangan Anti-Rasuah di Putrajaya September lalu.

“Bagaimana pula Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada 18 hingga 22 November ini sedangkan Malaysia berperanan sebagai pengerusi. Adakah lebih berjaya berbanding lawatan suramnya ke New York dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu?” katanya.

Dalam tempoh dua bulan ini juga, Kit Siang berkata, Najib menjadi Perdana Menteri atau Presiden pertama yang disiasat Jabatan Keadilan Amerika Syarikat atas tuduhan rasuah dan pembersihan wang haram.

“Paling penting, adakah undi tidak percaya terhadap Najib pada pembentangan belanjawan di Parlimen jika Ahli Parlimen UMNO BN menyeberang dan menyokong tuntutan pembangkang?”

“Adakah empayar 1MDB Najib bakal roboh seperti rumah yang dibina dari susunan daun terup? Masa akan menentukan,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu pada kenyataan media hari ini. – Roketkini.com