Berita

Penduduk miskin berarak empat kilometer untuk pampasan RM12,000

SEREMBAN 30 SEPT: Kira-kira 100 penduduk Kampung Ulu Temiang di sini, berarak sejauh empat kilometer ke Istana Negeri Sembilan bagi meminta menasihati Kerajaan Negeri Sembilan supaya membela nasib mereka.

Mereka yang diketuai Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berarak bersama-sama pimpinan Pakatan Harapan kemudian menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Kepada Yam Tuan Besar Negeri Sembilan.

Anthony berkata, memorandum itu meminta Yam Tuan Besar campur tangan dengan menasihati Kerajaan Negeri supaya membela nasib penduduk kampung itu yang rata-ratanya hidup miskin.

Katanya, penduduk hanya mahukan pampasan RM12,000 untuk meneruskan hidup apabila diarah meninggalkan kampung yang diduduki sejak 40 tahun lalu selepas ia dibeli syarikat swasta empat tahun lalu.

“Ketika ini, penduduk kampung tidak dapat berbuat apa-apa kerana proses mahkamah sudahpun berakhir manakala Kerajaan Negeri pula bersikap lepas tangan.

“Kita harap Tuanku dapat berunding dengan Kerajaaan Negeri dan syarikat swasta terbabit supaya menyediakan pampasan. Tidak banyak, hanya RM12,000 sahaja.

“Dengan pengaruh istana, Kerajaan Negeri boleh meminta syarikat swasta memberi pampasan. Lebih-lebih lagi, mereka memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kelulusan pelan,” katanya. – Roketkini.com