Berita

Elak isu khutbah politik berlarutan, DAP ajak Jabatan Mufti berbincang

KUALA LUMPUR 2 OKT: DAP mengajak Jabatan Mufti Pahang mengadakan perbincangan secara berhemah bagi mengelakkan isu teks khutbah memfitnah parti itu, berlarutan hingga merugikan umat Islam.

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Raja Puji, berkata pihaknya akan membuat temu janji dengan jabatan itu bagi mengurai kekusutan sekaligus mengelakkan ia berlarutan ke mahkamah.

Selepas meneliti pelbagai pandangan, beliau pada sidang media hari ini, berpendapat isu itu tidak perlu melalui saluran undang-undang secara tergesa-gesa jika perbincangan dapat dijalankan.

“Islam mementingkan akhlak dan teguran wajar disampaikan dengan baik, bukan melempar tuduhan tanpa usul periksa. Dan jika pihak mufti keberatan melakukannya, biarlah saya memulakannya,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Ditanya tindakan DAP jika jabatan mufti berkeras enggan mengadakan pertemuan, Tengku Zulpuri berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya dan surat rasmi akan dihantar minggu depan.

Sambil mengulangi penafian sekeras-kerasnya tohmahan terhadap DAP kononnya parti itu termasuk ahli dari kalangan Melayu-Islam menentang Islam, Tengku Zulpuri berkata:

“Sekalipun berdepan tohmahan yang menghiris hati ini, saya tetap tabah dan bersyukur atas rahmat yang dikurniakan Allah SWT. Sesungguhnya Islam itu sangat indah.”

Ahli DAP, Zulhazmi Shariff yang turut hadir sidang media itu, pula berkata sebagai umat seagama, jabatan mufti itu harus berlapang dada dan menyambut ajakan itu dengan tangan terbuka.

“Kalau Jabatan mufti sedia membuat teks khutbah sebegitu, mereka kenalah bersedia memberi penjelasan. Untuk itu, perlulah ada pertemuan,” katanya. – Roketkini.com