Berita

Timbalan menteri MCA akui sekolah kebangsaan semai semangat perkauman

KUALA LUMPUR 2 OKT: Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon patut meletak jawatan selepas membuat pengakuan betapa sekolah aliran kebangsaan yang dilaksanakan kementeriannya, menyemai semangat perkauman.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, berkata Sin Woon patut berasa malu kerana kementeriannya itu berperanan memperkasa sistem aliran kebangsaan semata-mata mahu melempar tuduhan kepada DAP.

“Bukankah beliau cuba merumuskan sistem aliran sekolah kebangsaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan menyemai semangat perkauman?” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Sin Woon menuduh DAP mengamal semangat perkauman berikutan dakwaan ramai pemimpin parti itu bersekolah aliran kebangsaan sedangkan kebanyakan pemimpin MCA mengikuti sistem pendidikan rendah aliran Cina (SKJC).

“Mereka (pemimpin DAP) tidak berbahasa Cina,” katanya dipetik MalaysiaKini.

Bersetuju aliran SJKC tidak menyemai semangat perkauman dan bukan punca kepada masalah perkauman di Malaysia, Anthony berkata, ia sebenarnya berpunca dari gelagat pemimpin UMNO BN.

“Semangat perkauman disemai melalui kewujudan parti politik berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC serta kegagalan dasar kerajaan Barisan Nasional mempupuk perpaduan nasional selama 58 tahun ini,” katanya.

“Kenyataannya Sin Woon yang cukup bodoh ialah cuba mengalihkan masalah perkauman dengan menyatakan pemimpin DAP kebanyakannya mendapat pendidikan aliran sekolah kebangsaan yang menghidupkan elemen dan semangat perkauman,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, dakwaan kononnya pemimpin DAP hanya bersekolah aliran kebangsaan semata-mata tidak tepat berikutan latar belakang mereka dari pelbagai aliran.

“Apapun latar belakang pendidikan kami, pemimpin DAP boleh bertutur pelbagai bahasa sama ada bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin mahupun Tamil,” katanya.