Berita

Isu perkauman antara punca pelabur lari, nilai ringgit terus jatuh

KUALA LUMPUR 5 OKT: Kerajaan Persekutuan membiarkan isu perkauman dan keagamaan berleluasa sekalipun ia membawa kepada kejatuhan nilai ringgit yang mengakibatkan kehidupan rakyat terjejas.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong, berkata Kerajaan Persekutuan seolah-olah lebih berminat menyemai ketakutan dan kebencian dalam kalangan rakyat sedangkan masalah ekonomi negara pada tahap membimbangkan.

Merujuk kepada Himpunan Baju Merah yang bersifat anti-Cina hingga menakut-nakutkan pelabur asing, beliau turut mempersoal langkah yang diambil untuk menyelamatkan nilai ringgit.

Menyatakan nilai ringgit jatuh ke tahap paling rendah sejak 17 tahun lalu dengan nisbah USD 1 bersamaan RM4.48, Jimmy percaya kejatuhan itu antara punca kenaikan harga minyak baru-baru ini berikutan harga bahan api dunia mencatat penurunan.

Beliau berkata, harga minyak antarabangsa mencatat kejatuhan sejak beberapa bulan lalu hingga mendorong penurunan harga sebanyak 10 sen ketika kadarnya mencecah USD52 per tong pada 31 Julai lalu.

Katanya, penurunan sehingga 15 sen pula dibuat apabila harga minyak antarabangsa jatuh kepada USD50 per tong pada 31 Ogos lalu tetapi situasi berbeza berlaku ketika harga terus mencatat penurunan September lalu.

“Harga terus jatuh ke USD45 setiap tong pada 30 September, namun kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 10 sen untuk Oktober.

“Adakah kerana penyusutan nilai ringgit yang melampau menyebabkan kerajaan menaikkan harga minyak?” katanya pada kenyataan media, baru-baru ini.

Mendesak langkah wajar diambil bagi menghenti penyusutan nilai ringgit, Jimmy berkata, kenaikan harga minyak pada 1 Oktober baru-baru ini membuktikan kejatuhan nilai mata wang itu memberi impak besar terhadap kemerosotan kos hidup rakyat.

“Jika kerajaan membiarkan masalah ekonomi berterusan serta tidak mengambil langkah penyelesaian, maka Malaysia akan menjadi sebuah negera gagal,” katanya.