Berita

Kutip derma jika rumah penduduk Kampung Ulu Temiang diroboh

KUALA LUMPUR 5 OKT: Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke mahu mengadakan kutipan derma bagi membantu penduduk Kampung Ulu Temiang yang berdepan kemungkinan rumah mereka diroboh tanpa menerima pampasan.

Beliau berkata, pemilik tanah perkampungan itu meletakkan penduduk kampung dalam keadaan sukar berikutan mereka tiada tempat lain untuk dihuni berikutan tidak menerima sebarang pampasan.

“Jika pemilik tanah meroboh rumah mereka tetapi tidak menyediakan pampasan, kita akan adakan kutipan derma di seluruh negara,” katanya dipetik The Malaysian Insider selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung itu.

Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan sedang berusaha bagi mengelakkan rumah penduduk diroboh berikutan ada ura-ura menyatakan semua kediaman diroboh jam 8 pagi esok.

Penduduk sedia berpindah dari kampung yang diduduki sejak 40 tahun lalu tetapi mahukan pampasan RM12,000 daripada syarikat swasta yang membeli tanah itu empat tahun lalu, untuk meneruskan kehidupan masing-masing.

Berikutan itu, kira-kira 100 penduduk berarak sejauh empat kilometer diketuai Loke ke Istana Negeri Sembilan pada 30 September lalu untuk meminta Yam Tuan Muda campur tangan bagi membela nasib mereka.

Pada masa ini, mereka mendiami kampung itu dalam keadaan bergelap tanpa kemudahan elektrik yang dipotong Tenaga Nasional Bhd (TNB) atas permintaan pemilik tanah itu. -Roketkini.com