Berita

TPPA: Bekalan ubat mungkin terjejas, untungkan industri farmaseutikal

KUALA LUMPUR 6 OKT: Pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) dibimbangi menyukarkan perolehan bekalan ubat-ubatan berikutan kewujudan blok perdagangan tertentu kepada negara membangun.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata ia berikutan perincian hal itu tidak jelas kerana ubat-ubatan biologi hayat seperti kanser menetapkan syarat tempoh lima tahun bagi melindungi data ujian klinikal sulit.

“Mengikut sistem Amerika Syarikat, tempoh itu boleh ditambah tiga tahun lagi. Ini bermakna ubat-ubatan itu hanya sampai ke tangan pengguna selepas tahun kelapan.

“Perjanjian itu hanya memperluas perlindungan data monopoli bagi industri farmaseutikal tetapi mengorbankan akses rakyat kepada ubat-ubatan lebih murah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kenyataan media hari ini susulan tindakan Kerajaan Malaysia dan 11 negara lain menandatangan TPPA di Altanta semalam.

Kata Charles, TPPA hanya menghalang akses kepada perolehan bekalan ubat, menghapus perlindungan kesihatan awam, sebaliknya melindungi industri farmaseutikal dengan meningkatkan paten dan data perlindungan.

“Saya tidak faham bagaimana kewujudan blok perdagangan itu menarik minat Kerajaan Malaysia ketika ia menyekat jangka hayat jutaan rakyat, generasi masa depan dan cuma menguntungkan industri farmaseutikal,” katanya.

“Terbukti, kerajaan gagal memastikan kesihatan awam atas sebab-sebab komersial,” katanya. -Roketkini.com