Rencana

Ruang-ruang kabur ‘kereta sapu’ Uber, GrabCar dan teksi konvensional

KEMUNCULAN perkhidmatan ‘teksi sapu’ Uber dan GrabCar kebelakangan ini menimbulkan keributan lantaran  pemandu teksi konvensional mulai resah hingga membawa kepada beberapa siri protes dan bantahan.

Uber dan GrabCar, sebenarnya syarikat multinasional dengan modal ratusan juta ringgit. Uber beribu pejabat di Amerika Syarikat manakala GrabCar berpusat di Singapura dan kedua-duanya ada cawangan di kota-kota besar hampir di seluruh dunia.

Perkhidmatan mereka dengan mudah menarik minat pemilik kenderaan peribadi untuk menyertai mereka untuk memperoleh pendapatan lumayan. Uber, misalnya menjamin pendapatan sehingga RM84 sehari jika mengaktifkan aplikasi pada waktu puncak – walau hanya untuk tiga jam, sekalipun tiada penumpang.

Pemilik kenderaan peribadi juga tidak memerlukan permit khas mahupun lesen tertentu, cukup sekadar mengikuti penerangan satu jam. Selepas proses pendaftaran atas talian selesai, mereka boleh menggunakan kereta masing-masing untuk menjana pendapatan sampingan.

Perkhidmatan itu kian digemari berikutan penumpang mendapat kadar tarif lebih rendah (malah seringkali percuma), lebih-lebih lagi mereka dapat menaiki kereta berkualiti termasuk yang diimport, tidak terhad kepada Proton Saga atau Persona.

Penumpang juga boleh melapor sikap pemandu dengan memberi markah rendah jika mereka bersikap kurang sopan atau kereta kotor. Markah itulah yang menentukan bonus yang bakal diterima pemandu. Jika banyak laporan buruk, akaun aplikasi pemandu akan digantung dan mereka tidak boleh lagi mengambil penumpang.

Soalnya, wajarkah perkhidmatan ‘kereta sapu’ GrabCar dan Uber wajar menggantikan teksi konvensional? Adakah ia wajar dibenarkan beroperasi di sisi undang-undang?

Nasib pemandu teksi 

teksi-lembah-klang

Bagaimana pula nasib pemandu teksi konvensioval jika GrabCar dan Uber mengambil alih peranan mereka? Beberapa faktor penting perlu diteliti sebelum tergesa-gesa membuat keputusan.

Memang diakui ada banyak cerita negatif mengenai perkhidmatan teksi – memandu secara berbahaya, ikut laluan jauh untuk tambang mahal, tidak mesra penumpang dan tidak kurang juga pelakuan jenayah.

Imej negatif itu secara pukal itu langsung menenggelamkan sebahagian kisah benar pemandu teksi yang jujur memulangkan barangan berharga penumpang, membantu mangsa kecelakaan jalan raya dan menghantar penumpang terdesak tanpa hitung untung.

Pokok pangkalnya bergantung kepada individu.  Tapi yang berlaku ialah kerana nila setitik, habis buruk perilaku seluruh pemandu teksi.

Sebenarnya, ada lebih 39,000 teksi berdaftar di sekitar Lembah Klang berdasarkan statistik Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2013.

Umum mengetahui mereka dihimpit pelbagai masalah walaupun bekerja sepenuh masa. Bahkan, mereka juga  terikat dengan pelbagai undang-undang.

Perlu memiliki permit yang sebenarnya hanya disewa pemilik kenderaan kepada mereka sedangkan caj sewa harian boleh mencecah RM55 sehari untuk perjanjian sewa beli lima tahun bagi Proton Persona. Nilai itu mungkin lebih tinggi untuk kereta lebih besar.

Selain itu, mereka juga bertanggungjawab terhadap kos penyelenggaraan kenderaan –  minyak pelincir, tayar, brek dan macam-macam lagi.

Bagi penguna NGV pula, penyelenggaraannya lebih kerap. Secara purata, teksi yang dipandu 8 hingga 10 jam sehari perlu diservis sebulan sekali. Kenaikan kadar NGV sehingga 58 peratus, dari 68 sen ke RM1.05  September lalu, sekadar memberatkan beban sedia ada.

Semua itu perlu ditanggung pemandu teksi, belum lagi enam peratus cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Itulah karenah yang perlu dihadapi pemandu teksi demi periuk nasi mereka demi menyara keluarga. Bukan sekadar untuk suka-suka atau cari wang lebih.

Ironinya, risiko yang ditanggung pemilik teksi tidak sebesar mana. Sebaliknya merekalah banyak menindas pemandu apabila kos semasa meningkat. Yang susah pemandu sedangkan pemilik teksi hanya menunggu RM55 sehari sambil goyang kaki.

Jika demikian mengapa tidak diberikan terus permit teksi ini kepada pemandu? Sebenarnya, isu pemberian permit teksi individu – terus kepada pemandu sudah lama berlarutan tanpa penyelesaian ampuh. Antara alasannya ialah bimbang kualiti perkhidmatan akan jatuh. Soalnya, mengapa hanya pemandu teksi dipersalah?

Konflik Uber, GrabCar 

File illustration picture showing the logo of car-sharing service app Uber on a smartphone next to the picture of an official German taxi sign in Frankfurt, September 15, 2014. A Frankfurt court earlier this month instituted a temporary injunction against Uber from offering car-sharing services across Germany. San Francisco-based Uber, which allows users to summon taxi-like services on their smartphones, offers two main services, Uber, its classic low-cost, limousine pick-up service, and Uberpop, a newer ride-sharing service, which connects private drivers to passengers - an established practice in Germany that nonetheless operates in a legal grey area of rules governing commercial transportation. REUTERS/Kai Pfaffenbach/Files (GERMANY - Tags: BUSINESS EMPLOYMENT CRIME LAW TRANSPORT)

Bagaimana pula nasib pemandu Uber atau GrabCar? Sebenarnya, mereka tidak dilindungi mana-mana pihak kerana perkhidmatan Uber dan GrabCar tidak ada dalam ruang lingkungan undang-undang sedia ada.

Syarikat itu jika menipu dalam urusan bayaran, mudah terlepas dari sebarang tindakan. Kepada siapa pemandu Uber atau GrabCar mahu mengadu?  SPAD? Polis? Mahu laporkan apa, ketika operasi mereka belum sah di sisi perundangan?

Jika berlaku kemalangan ketika membawa penumpang pula, bagaimana pula insuran kenderaan peribadi melindungi  perkhidmatan berbayar itu? Baiklah, kereta rosak dibaiki tapi jika melibatkan nyawa?

Ruang-ruang kabur ini jarang difikirkan oleh pemandu teksi sapu dan pengguna akibat sifat tamak. Satu pihak mahukan pendapatan sampingan cara mudah, satu lagi mahu berjimat tidak bertempat.

Namun, kita harus mengambil peluang belajar bagaimana GrabCar dan Uber memantau kelakuan pemandu mereka. Sistem itu harus dicontohi supaya kualiti perkhidmatan teksi konvensional pada paras memuaskan.

Kerana kita dapat melihat perbezaan sikap proaktif syarikat swasta berbanding sikap sambil lewa badan pemantau perkhidmatan teksi, antaranya  SPAD yang gagal menjadikan perkhidmatan teksi konvensional lebih kompetitif, sebaliknya hanya cenderung menghukum pemandu teksi.

Selagi masalah itu tidak selesai-selesai, selagi itu teksi sapu, masalah lapuk yang diberi jenama baru terus wujud.

Dalam konteks ini, nasib siapa lebih malang, pemandu Uber atau GrabCar atau pemandu teksi konvensional? Bagaimana pula persaingan itu bakal menguntungkan pengguna dalam jangka masa panjang?