Berita

Pak Samad ‘tulis nama atas batu’ di Kuala Kubu Bharu

KUALA KUBU BHARU 9 OKT: Sasterawan Negara, Datuk  A Samad Said berkongsi pengalaman peribadi, penulisan dan politik bersama penduduk sekitar sini, dalam program  Seni dan Masyarakat: Tiga Hari Bersama Pak Samad, semalam.

Pada sesi forum bertajuk ‘Falsafah dan Pemikiran Pak Samad’, beliau, malah memberi peluang kepada kira-kira 50 pengunjung program untuk bertanya sebarang soalan sekalipun mengenai ‘janggut dan misainya’

Antara soalan menarik ialah pertanyaan mengenai isu antara budaya dan politik, yang mana perlukan rawatan segera? sebelum dijawab Pak Samad secara ringkas tapi padat: “Budaya lambat berubah, politik lebih cepat.”

IMG_7798
Pak Samad juga berkongsi tabiat membacanya yang menurutnya agak aneh: “Setiap kali membaca, saya akan ada pen merah, pen biru, dan pembaris yang akan diguna untuk buat tanda dan nota pada buku.”

Ketika bercerita mengenai novelnya, Hujan Pagi yang mengisahkan dunia kewartawanan, beliau menyatakan kekecewaannya kerana sehingga hari ini, tajuk muka depan kebanyakan akhbar masih ditentukan oleh ‘orang berkepentingan politik’.

Selain forum, beliau turut melancarkan pameran lukisan di Galeri Seni dan Sejarah Hulu Selangor yang menampilkan kreativiti anak tempatan, malah Adun Kuala Kubu, Lee Kee Hiong turut mempelawa Pak Samad menulis nama di atas batu depan galeri, sebagai tradisi terima tetamu.

IMG_7716 (2)

Kee Hiong juga membawa Pak Samad bersiar-siar dan melawat mural-mural karya anak tempatan yang menghiasai dinding kedai sekitar pekan berkenaan, sebagai usaha menjadikan pekan yang memiliki antara air terjun tercantik di Malaysia itu sebagai pekan budaya.

Pak Samad juga dibawa mengunjungi seniman dan aktivis teater Antares di rumah yang terletak di perkampungan orang Asli, selain berbual mesra dengan penduduk.

Acara tiga hari anjuran bersama Persatuan Sejarah Kuala Kubu dan Seniman Paksi Rakyat dengan sokongan penuh dari Pejabat Adun Kuala Kubu Bharu itu, bakal memeriahkan Dataran Kuala Kubu malam ini dengan pelbagai acara kesenian dan budaya.