Berita

Terbit & jaja karya sendiri, Pak Samad bagai sasterawan indie

KUALA KUBU BHARU 10 OKT: Bukan kelompok anak muda indie sahaja yang menerbit buku dan menjualnya sendiri, bahkan Datuk A Samad Said juga sedemikian, lama sebelum Sasterawan Negara itu mengisytihar menyertai DAP.

Sedangkan ancaman gelaran Sasterawan Negara ditarik balik pun, Pak Samad tidak peduli, inikan pula jika karyanya diboikot penyokong Umno BN dengan tidak lagi dijadikan buku teks sastera peringkat sekolah.

“Sudah begitu lama saya tak menerima apa-apa royalti. Saya terbit sendiri buku, saya jaja dan jual sendiri,” katanya sambil menambah, beliau juga tidak lagi menerima jemputan majlis kebudayaan anjuran kerajaan seperti sebelumnya.

Beliau berkata demikian pada forum ‘Falsafah Dan Pemikiran Pak Samad’ semalam di Galeri Kuala Kubu Bharu anjuran bersama Persatuan Sejarah Kuala Kubu dan Seniman Paksi Rakyat dengan sokongan penuh dari Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong.

IMG_7976

Kritikan terhadap Pak Samad mulai kedengaran sejak menjadi Pengerusi Bersama BERSIH 2.0 dan ia menjadi-jadi sejak penulis novel Salina dan Hujan Pagi itu, mengisytihar masuk DAP.

Kecaman itu lazimnya datangnya dari penyokong totok Umno sedangkan penyokong pembangkang, golongan atas pagar dan anak muda tetap berdiri teguh di belakang Pak Samad.

“Bagi saya, sasterawan tidak lagi hanya merakam tapi turut terlibat sendiri dalam siasah,” katanya gemar berpakaian serba putih itu.