Berita

Zairil: Perkasa jangan main sentimen perkauman dalam isu TPPA

KUALA LUMPUR 10 OKT: Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali cuba memainkan sentimen perkauman dalam isu Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik(TPPA) dengan menuding jari kepada DAP sedangkan parti itu langsung tidak terlibat dalam menandatangani perjanjian berkenaan

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata TPPA bukan membabitkan satu kaum sahaja dan tidak wajar dibincang dari sudut sempit dengan mengaitkan DAP dalam polemik perkauman.

Katanya, Ibrahim patut mengajukan kemusykilan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapa Mohamed dan Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) yang bakal menandatangani perjanjian itu, dan bukannya kepada DAP.

“Daripada menarik DAP ke polemik dangkal perkauman, Ibrahim patut menuntut penjelasan lebih terperinci daripada Kerajaan Umno BN,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Ibrahim semalam yang mempersoal sama ada DAP akan mempertahan hak Bumiputera dalam konteks TPPA yang bakal ditandangani Kerajaan Malaysia.

Mendesak butiran TPPA didedah kepada umum, beliau berkata, DAP akan menentang habis-habisan jika ia mengakibatkan kenaikan harga barang dan merumitkan ekonomi rakyat kebanyakan.

Namun, beliau berkata, DAP hanya menyokong jika TPPA membawa kemaslahatan dan kelebihan kepada rakyat Malaysia termasuk orang Melayu yang membentuk majoriti di negara ini.

Dalam kata lain, katanya, DAP tidak akan membantah jika ia menurunkan kos sara hidup yang kian melambung, memperkukuh nilai mata wang ringgit yang kian merudum dan menyelamatkan ekonomi negara yang bercelaru.

“Namun, perincian TPPA belum lagi dikongsikan dengan rakyat mahupun Ahli Parlimen. DAP menggesa isi kandungan perjanjian segera didedahkan, bersama analisis kos-faedah (cost-benefit analysis) supaya kita dapat memastikan impak TPPA ke atas rakyat.

“Buat masa ini, orang yang lebih mengetahui isi kandungan TPPA secara menyeluruh ialah Mustapa selaku menteri yang bertanggungjawab,” katanya.