Berita

Bayar air empat kali ganda mahal tapi Johor kena catuan air

KUALA LUMPUR 13 OKT: Penduduk Johor terpaksa melalui kesusahan hidup berikutan mereka terpaksa catuan bekalan air sedangkan pengalaman itu tidak pernah dihadapi penduduk Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata penduduk Johor juga terpaksa membayar empat kali ganda lebih mahal untuk memperoleh bekalan air pada kadar RM1.30 per 1,000 liter.

“Penduduk Pulau Pinang tidak ada pengalaman catuan bekalan air dan menikmati kadar harga murah iaitu RM0.32 per 1,000 liters,” katanya pada Konvensyen DAP Johor di Batu Pahat, semalam.

Johor dianggap kubu kuat UMNO BN yang mendominasi pentadbiran Kerajaan Negeri tetapi gagal memberi perkhidmatan baik kepada rakyat, menyebabkan rakyatnya mula mengalih sokongan kepada pembangkang.

Beliau menyifatkan keadaan itu hasil kejayaan pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang yang mengamal pendekatan Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan (CAT) sejak mentadbir mulai Ogos 2008.

Menyentuh pelbagai kejayaan negeri itu, beliau berkata, Kerajaan Pulau Pinang mencapai kecemerlangan dalam aspek penyampaian perkhidmatan asas melalui transformasi perkhidmatan awam berbanding Johor.

Selain itu, Guan Eng berkata, Kerajaan Pulau Pinang berupaya memperoleh pelaburan antarabangsa bernilai RM48.2 billion antara 2008 hingga 2014 iaitu 93 peratus lebih tinggi daripada RM24.9 billion untuk tempoh enam tahun antara 2001 hingga 2007.

“Dari segi ekonomi, CAT ternyata mendorong kenaikan pelaburan luar,” katanya.

Antara 2001 hingga 2007, Pulau Pinang ditadbir Kerajaan UMNO BN sebelum tampuk pemerintahan diambil alih sejak 2008 yang menyaksikan pelbagai perubahan positif kepada rakyat. – Roketkini.com