Budaya, Rencana

Pak Samad, anjing Antares dan terima kasih kerana masih hidup

Dua jam perjalanan ke Kuala Kubu Bharu (KKB) dari Kuala Lumpur menaiki motosikal bagi sesetengah orang adalah perjalanan yang mencabar. Terutama bagi mereka yang seumur hidup tidak pernah jejak KKB dan menganggap memandu kereta adalah satu-satunya cara selamat untuk tiba di destinasi.

Saya suka menunggang motosikal, dan saya anggap zaman memandu kereta suatu tindakan bertamadun sudah lama berlalu, zaman berkereta lebih dari sekadar kenderaan, tapi sebuah seni, sebuah falsafah, dan menggenggam stering di jalan raya sesuatu yang menyeronokkan.

Orang tidak lagi memandu kereta tapi liabiliti berupa besi dan plastik yang dibayar secara ansuran selama sembilan tahun. Saya seorang yang praktikal. Duduk terbenam di kusyen memandang dunia di sebalik cermin kereta lebih menakutkan berbanding risiko dihimpit lori ketika menunggang motosikal. Doktor gelar ia sebagai penyakit klaustrofobia – ketakutan untuk berada di tempat sempit dan tertutup. Saya anggap ia sebagai mencintai kebebasan, walaupun di sini ia juga bererti bebas menghirup jerebu sepanjang Lebuhraya Utara Selatan.

Sejak beberapa lama, pada hari tertentu, KKB jadi laluan penunggang dan pengayuh dua roda yang menuju ke Bukit Fraser. Cuaca sejuk berangin kawasan tinggi dengan pemandangan hijau, lengkap dengan kemudahan bank, gerai makan pinggir jalan, selain tempat basuh kenderaan menjadikan KKB antara nama yang sering disebut-sebut di kalangan penunggang motor dan pengayuh basikal. Pengunjung luar lain datang sama ada untuk mandi di air terjun Sungai Chiling – dikatakan antara air terjun tercantik di Malaysia – atau untuk pendakian empat jam Bukit Kutu dengan jalan masuk melalui perkampungan orang Asli di Pertak.

Jalan menuju ke Pertak melalui Empangan Kuala Kubu, empangan terbesar di Selangor. Saiznya menakjubkan. Ada orang kata menyamai keluasan bandar Subang dari tembok ke tembok yang menampung 60 peratus bekalan air warga Selangor.

IMG_8193Jika kes empangan pecah berlaku, hanya perlukan beberapa minit untuk air tiba di Sungai Klang dan terus ke Selat Melaka. Bererti dalam beberapa saat KKB sudah tenggelam. Itu yang terjadi pada 1883 apabila empangan sepanjang kira-kira 1.6km yang ketika itu tempat melombong bijih timah telah roboh dan menenggelamkan keseluruhan pekan kecuali sebuah masjid yang terletak di Ampang Pecah.

Tapi itu ketika empangan dibina dengan batang-batang kayu dan ditambak dengan tanah. Tak perlu faham hukum fizik untuk menaruh keyakinan tembok empangan yang ada hari ini cukup tinggi, cukup kukuh. Pemandangan sekitar terlalu permai untuk ada imaginasi morbid seperti itu.

 

Perkampungan orang Asli

Sejak tiba di KKB, saya dapati ia pekan yang sangat bersih, yang buatkan saya harap saya tak perlu ceritakan kewujudan dataran kecil di tebing bersebelahan pintu masuk empangan. Tapi ada beberapa hal jijik yang saya anggap boleh disebut berulang kali tanpa perlu rasa bersalah.

Salah satunya perangai manusia yang suka buang sampah merata-rata. Di tebing itu pengunjung luar singgah untuk bergambar berlatar pemandangan air empangan yang menyerupai lembah atau tasik semula jadi.

Mereka datang mengusung henfon berkamera megapixel terbaru di pasaran. Mereka pulang selepas muat naik gambar di facebook dengan kebodohan sama tentang konsep kebersihan. Ada tong sampah yang disediakan di kawasan itu.

Saiznya cukup besar untuk mana-mana manusia dengan penglihatan lebih dari 50 peratus tidak terlepas pandang. Tapi plastik sampah tetap kelihatan bertaburan di mana-mana. Berdiri di tebing itu seperti berdiri di kawasan perumahan PPR di Kuala Lumpur.

Kewujudan plastik sampah di tebing empangan itu tambah menjijikkan apabila melihat kebersihan kampung orang Asli yang terletak tidak jauh dari empangan. Kampung itu menempatkan rumah-rumah orang Asli yang dibina di lereng-lereng bukit, tidak jauh dari Sungai Pertak.

Rumah-rumah kayu berwarna putih seakan chalet yang boleh dilihat di pusat-pusat peranginan. Rumah-rumah itu disediakan pihak berkuasa selepas mereka terpaksa berpindah untuk beri laluan kepada pembangunan empangan.

Orang Asli mungkin tidak berapa gemar dengan binaannya yang bertiang dan mereka pastinya lebih tidak suka kerana terpaksa korbankan gaya hidup tradisi mereka bercucuk tanam di belakang rumah. Bagaimanapun, menurut salah seorang penduduk, pihak berkuasa tempatan ada menyediakan tempat untuk mereka berkebun.

10924827_831695346879512_4128086280355140350_oSuasana permai kampung itu ingatkan saya pada Hobbit Village yang digambarkan Peter Jackson dalam filem arahannya Lord Of The Rings. Kali pertama saya kunjungi kampung itu ketika datang untuk berkhemah di pinggir sungai. Itu juga pengalaman pertama melihat orang Asli menangkap ikan tengah malam menggunakan senapang buatan sendiri.

Air sungainya deras, kawasan berbatu dan agak dalam di tempat tertentu. Mereka bergerak dalam kumpulan 10 ke 15 orang, melompat di atas batu, berenang, menyelam, muncul semula di permukaan air dengan seekor ikan yang tertikam anak panah besi dan itu semuanya dilakukan di tengah malam dengan hanya bersuluh cahaya bulan dan lampu kecil. Adegan seperti itu saya cuma pernah nampak dilakukan oleh ninja di dalam filem.

 

Merlin dari Bangsar

Ini kunjungan kedua, dan kali ini saya datang dengan tema yang lebih tepat. Saya datang dengan Merlin dari Bangsar. Rambut putih, janggut putih, dan berpakaian serba putih. Tapi dia bukan ‘white wizard’ bertongkat ajaib, dia Sasterawan Negara A Samad Said. Saya datang untuk buat liputan lawatan Pak Samad ke rumah Antares, aktivis teater yang tinggal di kampung itu.

1799912_1247473431936259_6826476121546829749_oLawatan itu merupakan salah satu pengisian program untuk acara Seni Dan Masyarakat: Tiga Hari Bersama A Samad Said yang dianjurkan Persatuan Sejarah Kuala Kubu dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan mendapat sokongan penuh dari Adun KKB, Lee Kee Hiong.

Pak Samad mungkin bukan ‘white wizard’, tapi dia tak perlukan tongkat untuk berjalan dan mendaki anak-anak tangga curam menuju ke rumah Antares. Untuk seorang yang cecah umur 83 tahun, itu cukup ajaib.

Untuk cecah umur 70 tahun saja dan masih sihat tubuh badan, masih menulis dan masih mampu kagum pada alam, bukit, gunung-ganang, masih mampu berjenaka, terinspirasi dan menginspirasi, itu saja sepatutnya sudah cukup untuk buat seseorang berlutut dan bersyukur.

Tidak susah untuk kagum dengan Pak Samad. Mungkin sebab itu juga ada orang yang suka berpura-pura untuk tidak hairan dengan penulis novel Salina itu. Mereka biasanya akan kata, “Salina novel yang bagus, Pak Samad penulis yang bagus tapi…” dan diikuti dengan kritikan sastera lemau kedai kopi.

Lelaki bernama Antares yang cuma berseluar tanpa berbaju itu tak perlu berpura-pura. Dia sambut kami dengan girang dan menjemput untuk naik ke rumahnya. Ada dua ekor anjing yang sejak tadi mengekor kami membuatkan ramai yang resah termasuklah Kee Hiong dan orang-orang Paksi.

Pak Samad sendiri terlompat-lompat ketika anjing-anjing itu berlari-lari dan sekali-sekala menjengah hidung ke kaki Pak Samad untuk menghidu bau. Pak Samad mengelak dengan berundur dan mengangkat kakinya sambil isterinya tersenyum kecil di belakang, berpesan untuk Pak Samad tidak takut. Kee Hiong dan yang lain bertambah gelisah.

Anjing-anjing itu terus mengekor Pak Samad naik ke beranda rumah Antares yang buat saya terus tahu anjing-anjing itu sebahagian dari ‘keluarga’ Antares.

“Saya takut dengan anjing, sebenarnya” kata Kee Hiong yang menemani Pak Samad naik ke beranda bersama isteri Pak Samad dan dua yang lain. Beliau mungkin takut dengan anjing, tapi bagi ahli rombongan lain lebih untuk memastikan mereka boleh memakai pakaian sama ke masjid kerana dalam beberapa jam lagi solat Jumaat.12045687_1247473885269547_2608849993407421075_o

Ada yang cadangkan untuk anjing itu diikat sebelum Antares menjawab dalam nada profetik: “Tak perlu takut dengan anjing, ketakutan adalah ilusi dan saya tak galakkan hal seperti itu.”

Antares beri arahan kepada anjingnya untuk duduk dan entah sejak bila Pak Samad sudah pun duduk selesa di kerusi dengan anjing itu baring di belakang. Pak Samad tidak lagi nampak resah. Sedang Antares dan Pak Samad berbual, saya tangkap gambar.

Saya dibisik seseorang untuk tidak siarkan gambar yang ada anjing. “Nanti apa pula orang kata,” katanya. Saya senyum. Saya tahu dia tidak bermaksud apa-apa selain tentang persepsi yang mungkin orang akan beri dan ambil kesempatan untuk ada-adakan cerita.

Saya beri jaminan saya tidak akan tulis apa-apa atau siarkan apa-apa tentang Pak Samad dan anjing. Sangat mudah untuk bayangkan tulisan di blog cybertrooper dengan tajuk “DAP ajar Pak Samad pegang anjing”.
Selepas beberapa ketika kami minta diri untuk pulang. Antares masih lagi dalam keadaan terharu dengan kunjungan Pak Samad dan belum sempat memakai baju – atau memang dia tak bercadang untuk buat itu. Saya tangkap gambar terakhir mereka di beranda dengan Antares mencapai kaca mata hitamnya berdiri di sebelah sosok seniman yang dikaguminya.

Anjing-anjing Antares tidak lagi mengekor kami ketika kami mendaki turun anak tangga. Mungkin sedang nyenyak tidur. Isteri Pak Samad sarankan agar Pak Samad salin pakaian sebelum ke masjid. Saya terdengar perbualan sama ada Pak Samad perlu samak atau tidak.

“Tapi pakaian kering, tak perlu samak,” kata seseorang. Sambil turun tangga, Pak Samad membalas, “Di kepala pun sudah fikir bukan-bukan, tak boleh ada keraguan,” katanya.

“Tak apalah, nak buat macam mana, kita salin baju saja lah,” kata Pak Samad yang kemudian dipersetujui diam-diam oleh yang lain. Hari itu, Pak Samad dan anjing Antares buat saya lebih faham tentang satu hal: toleransi dan menghormati budaya hidup orang lain.

 

Memperalat Pak Samad

Perjalanan kerja seni Pak Samad adalah satu perjalanan panjang yang penuh dengan trivia yang mengundang perbahasan. Pak Samad mungkin penuh dengan kontradiksi, seperti mana-mana manusia lain, tapi satu hal yang boleh dipersetujui bersama, tak ada lagi tokoh sastera yang boleh menandingi Pak Samad dari kekuatan kepengarangan sebagai penulis dan sebagai orang yang berjaya membawa sastera ke tengah-tengah masyarakat.

Usman Awang mungkin orang yang layak duduk di kerusi sama dengan Pak Samad. Tapi kedua-dua tokoh ini sudah tentu menolak pengkelasan seperti itu. Yang pasti, Pak Samad adalah lagenda hidup, dan kini dalam metamorfosis semasa ingin menjadi ‘jambatan’ antara seni dan masyarakat, atau mungkin dalam konteks yang lebih terbaru sejak menyertai DAP, antara politik dan masyarakat.

IMG_7976Penyertaan Pak Samad ke dalam DAP bukan saja mengejutkan parti politik dominan Melayu seperti Umno dan PKR, tapi juga parti majoriti Cina DAP sendiri. Sejak berita gembira itu sampai di ibu pejabat DAP, bukan sekali saya dengar Pak Samad mengungkapkan “manfaatkanlah saya”.

Rakan-rakan sekerja, termasuk staf ibu pejabat DAP, sentiasa berfikir program sesuai untuk melibatkan Pak Samad. Mungkin kerana rasa hormat, orang sentiasa berasa apologetik untuk “memanfaatkan Pak Samad”. Apa lagi dengan konteks propaganda yang sedang dimainkan media berbunyi “DAP peralat Pak Samad… Pak Samad token Melayu…” dan seumpamanya.

Pak Samad, yang sudah sebati dengan dunia kata-kata, pada satu ketika sehingga menggunakan perkataan yang lebih tegas untuk menyampaikan maksudnya, mengulang sendiri propaganda itu; “peralatkanlah saya” dan yang mungkin lebih sensasi, “saya sedia jadi hamba DAP”.

Apa yang Pak Samad cuba sampaikan mungkin ini: dia melihat dirinya sebagai seorang sasterawan yang sudah dikenali dan diterima masyarakat. Dia sudah lalui bermacam-macam pengalaman sama ada sebagai manusia biasa ataupun manusia seni. Dia sudah melihat sisi dunia dari sudut pelbagai dan dia tahu sesuatu tentangnya yang dia mahu kongsi.

Tapi dia tahu, seberapa puitisnya satu-satu puisi, ada hal yang tak terlibas lidah, ada pengetahuan yang tak dapat disampaikan dengan kata-kata. Propaganda hanya mempengaruhi orang untuk seketika, berubah mengikut masa dan keadaan.

Pengetahuan yang ingin disampaikan Pak Samad bukanlah pengetahuan baru, tapi yang semua orang tahu dan ramai yang sudah lupa. Harapannya, dia sempat memanfaatkan dirinya (atau dimanfaatkan) untuk berkongsi semula pengetahuan itu.

IMG_8003 copyPenyertaannya ke dalam parti DAP bukanlah semata-mata kerana parti itu sendiri atau persahabatan mesranya dengan Lim Kit Siang, tapi sebagai satu percubaan untuk jadi penghubung, jambatan yang akan menggabungkan dua kampung yang terpisah sekian lama. Dia mahu pecahkan ruyung, dan kebetulan dia melihat DAP tempat yang sesuai untuk dia mulakan semua itu. Jadi terpulang kepada kita untuk sertai DAP, PKR, Amanah, PAS, Umno, jadi sasterawan syok sendiri, jadi penulis indie, bakar patung, pijak bendera, atau melihat semuanya dalam konteks yang lebih matang.

Pada malam terakhir di Kuala Kubu untuk acara Malam Apresiasi Seni yang diadakan di Dataran KKB, saya terdengar Antares berbual pendek ketika bersalam dengan Pak Samad. “Thank you for being alive.”

Antares mengucapkan kata-kata itu dengan matanya redup memandang Pak Samad sambil kedua tangannya menggenggam tangan penulis novel Salina itu. Dia ikhlas. Banyak lagu dan puisi dibaca, dinyanyikan, malah dijeritkan di pentas pada malam itu, tapi bisikan Antares itu yang paling kuat saya dengar, puisi paling syahdu yang bergema di Kuala Kubu: “Terima kasih kerana masih hidup”.

– Roketkini.com