Berita

Peruntukan hal ehwal Islam naik berganda banding era BN

KUALA LUMPUR 12 OKT: Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah mengurangkan peruntukan tahunan RM1.75 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) sebagai tambahan kepada peruntukan untuk hal ehwal Islam.

Pada kenyataan media, Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, dakwaan kononnya jumlah untuk SAR  itu dikurangkan atau dihenti adalah fitnah menggunakan isu agama kerana ia  dibayar setiap tahun.

Mengikut perangkaan, sebanyak RM37.25 juta diperuntuk untuk hal ehwal Islam pada 2009, RM39.60 juta (2010), RM65.27 juta (2011), RM66.38 juta (2012), RM55.13 juta (2013) dan RM52.21 juta (2014).

“Jelas sekali golongan politik yang anti-kerajaan negeri Pakatan Harapan sedang giat membakar sentimen perkauman dan ekstrimis agama,” kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Memetik Buletin Mutiara, akhbar rasmi Kerajaan Pulau Pinang pula, BN hanya menyediakan peruntukan hal ehwal Islam berjumlah RM25.49 juta tetapi tidak pernah memberi sumbangan kewangan kepada SAR.

Sebaliknya, Exco Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, dipetik berkata Kerajaan Negeri itu menyediakan peruntukan SAR sebanyak RM1.5 juta pada 2008 dan 2009 sebelum ditambah kepada RM1.75 juta pada 2010 hingga 2014.

Jumlah itu tidak termasuk peruntukan kepada golongan huffaz atau penghafal al-Quran yang tidak diberi bantuan kewangan sepanjang pemerintahan UMMNO BN di Pulau Pinang.

Sejak mentadbir Pulau Pinang, golongan huffaz sejak 2008 diberi peruntukan RM30,900, RM65,000 (2009), RM90,000 (2010), RM130,000 (2011), RM175,000 (2012) dan RM202,500 (2013).

Sejak 2009 pula, Kerajaan Pulau Pinang memperuntuk lebih RM500,000 setiap tahun sebagai bonus kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), SAR, Maahad Tahfiz, Tadika Islam dan Tadika Pondok. – Roketkini.com