Berita

Hayati gerakan siasah Islam, DAP kunjungi Turki dan Tunisia

KUALA LUMPUR 14 OKT: Delegasi DAP mengadakan lawatan kerja ke Tunisia dan Turki bagi bertukar-tukar fikiran dan berkongsi pengalaman mengenai proses pendemokrasian termasuk peranan gerakan siasah Islam di Timur Tengah.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata mereka membuat kunjungan hormat kepada Presiden Ennahdah, Sheikh Rached Ghannouchi yang juga tokoh agama yang disegani dalam dunia Islam.

Katanya, perbincangan meliputi pelbagai bidang termasuk masa depan Islam, kepentingan permuafakatan politik antara semua pihak dan Maqasid Syariah yang menekankan kepentingan nilai berdasarkan konsep Rahmatul-Lil-Alamin.

Pada 13 Oktober pula, beliau berkata, mereka yang diketuai Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengadakan dialog bersama 7 daripada 69 Ahli Parlimen Ennahdah di Bangunan Parlimen di Tunis, ibu kota Tunisia.

“Walaupun sudah tidak berkuasa sebagai parti utama, Ennahdah masih lagi menjadi rakan kongsi dalam gabungan kerajaan yang kini diketuai Parti Nidaa Tounes,” katanya pada kenyataan media, pagi ini.

Ini bukan pertama kali DAP melakukan kunjungan ke negara yang majoriti penduduknya beragama Islam berikutan pada April lalu, mereka mengadakan lawatan ke Jordan dan Mesir bagi mendalami pemahaman perihal dunia Islam dan politik Islam.

Bersama Timbalan SU Agung UGTT, pemenang Hadiah NobelZairil berkata, delegasi DAP juga bertemu dengan salah satu gabungan NGO yang baru menang Hadiah Nobel Perdamaian iaitu Tunisian General Labour Union (UGTT) yang diwakili oleh Timbalan Setiausaha Agung, Samir Cheffi dan Ketua Penerangan Sami Tahri.

“Peranan organisasi itu bersama dengan rakan-rakan quartet lain dikenal pasti sebagai faktor penting yang menumpulkan ancaman keganasan dan menggalakkan percambahan bibit demokrasi di negara ini,” katanya.

Hari ini, Zairil berkata, delegasi itu dijadual bertemu sekumpulan Ahli Parlimen daripada parti terbesar dalam Parlimen Tunisia iaitu Parti Nidaa Tounes, sebelum berangkat ke Istanbul untuk bertemu tokoh politik, akademik dan masyarakat madani di Turki.

“Perkembangan Turki sejak reformasi politik pada 2002 dianggap contoh kejayaan gerakan Islam moderat. Kami yakin banyak boleh dipelajari, baik dari segi kelebihan mahupun kelemahan melalui pengalaman mereka,” katanya.

Selain Zairil, antara peserta delegasi dalam lawatan antara 12 Oktober hingga 17 Oktober itu ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim. Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Nawawi.