Berita

Junjung titah Raja Melayu, DAP Johor terbit risalah 1MDB  

KUALA LUMPUR 16 OKT: Menjunjung titah Majlis Raja-raja Melayu, DAP Johor menerbitkan risalah penerangan berbahasa Melayu mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mendesak penjelasan segera.

Bekerjasama dengan Pakatan Harapan Johor, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata penerbitan itu memuatkan kenyataan rasmi Majlis Raja-raja Melayu, selain soal jawab dan fakta berkaitan skandal berkenaan.

Selaras titah Majlis Raja-raja Melayu, beliau berkata, mereka tidak akan berhenti menuntut penjelasan segera dan munasabah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahupun Kerajaan Persekutuan.

Teo Nie Ching“Sikap berdolak-dalik kerajaan dalam memberi penjelasan dan sikap acuh tak acuh dalam menjawab setiap persoalan yang dilontar perlu diambil kira oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya,” katanya pada kenyataan media, hari ini

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam menyifatkan 1MDB menderhaka kepada Raja-raja Melayu berikutan syarikat pelaburan negara itu membuat kenyataan mereka tidak disiasat mana-mana pihak.

Pada 6 Oktober lalu, Raja-Raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas sewajarnya terhadap pihak terlibat.

“Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran,” kenyataan itu dipetik.

Nei Ching dijadual mengedar risalah itu di Mega Ria, Pasir Gudang jam 2.30 petang esok manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penggaram, Gan Peck Cheng di Pasar Malam Pesta, Batu Pahat  jam 5.30 petang hari sama.

Adun Jementah, Tan Chen Choon pula akan mengedarkannya di pusat beli belah UO/ONE Segamat pada lusa, selain pimpinan lain menyebar risalah sama di kawasan masing-masing.