Wawancara

Fuad Rahmat: Projek Dialog buka ruang isu terpinggir, suburkan idea alternatif

Ahmad Fuad Rahmat, 34, adalah nama yang sering disebut-sebut kebelakangan ini di kalangan anak muda. Mungkin tidak sepopular Khairy Jamaluddin yang ligat meraih ‘retweet’ di twitter. Fuad Rahmat setidaknya menarik perhatian golongan muda krtitis. Pensyarah sambilan di Universiti Nottingham itu sebelum ini turut dikenali dengan program ‘Night School’, program seputar falsafah dan isu semasa yang disiarkan di BFM.

Menamatkan pengajian falsafah di Marquette University di Milwaukee, Amerika Syarikat, Fuad Rahmat kemudian menyertai Islamic Renaissance Front (IRF) pada 2011. Fuad Rahmat melihat satu trend di kalangan generasi muda Malaysia yang menurutnya sebagai perkembangan positif untuk menyuburkan wacana politik tempatan. Wartawan Roketkini Wahyudi Yunus berkesempatan menemuramah Fuad Rahmat dan bertanya tentang Projek Dialog – portal online yang ditubuhkan pada 2012, di mana beliau berperanan sebagai editor, selain pandangannya tentang isu semasa dan parti-parti politik di Malaysia.

 

Projek Dialog semakin dikenali sebagai portal alternatif, namun mungkin masih ada yang belum tahu. Boleh saudara ceritakan sedikit tentang Projek Dialog.

Projek Dialog adalah platform atas talian yang digunakan untuk menggalakkan perbincangan dan pertukaran idea tentang isu-isu marjinal. Isu-isu yang tak dapat perhatian media arus perdana termasuklah isu minoroti agama, hak asasi, alam sekitar dan juga isu-isu budaya yang sering dipinggirkan.

 

Saudara sebagai editor, bagaimana Projek Dialog beroperasi?

Kita tak ada organisasi yang berstruktur. Kita bergerak secara organik. Sebenarnya, dua orang saja penggeraknya, saya dan saudari Yana Rizal. Kita kebanyakannya bergantung kepada kerjasama kumpulan lain antaranya Justice for Sisters, Buku Jalanan Shah Alam, Radio BFM, SALT – satu gerakan pelajar katolik, Assajjad Movement – gerakan hak minoriti agama, dan kelompok Ahmadiyah. Kita cuba tak kerja solo sangat, kita jalinkan kerjasama dengan kumpulan lain kerana bagi kami itu yang penting.

 

Apa motivasi yang buatkan Projek Dialog masih berterusan?

Kita pun masih bertanya-tanya kerana dana kita dari derma dan tajaan. Kita tak ada modal dan keuntungan. Oleh kerana staf tak ramai, setakat ini kita masih mampu. Kebanyakan kos untuk forum, dan forum pun tak banyak sangat. Kita tak kerja sepenuh masa, kita cuma agihkan masa dan tugas.

 

Kenapa saudara terpanggil buat Projek Dialog?

Secara kebetulan Projek Dialog bermula dari satu projek badan antarabangsa dinamakan IInternews yang mana ketika itu mereka ada menjalankan beberapa projek di Malaysia sekitar tahun 2011-2012. Apabila mereka ingin tamatkan operasi, mereka sedar usaha-usaha mereka di sini perlu diteruskan. Saya pun teruskan. Saya pun sebenarnya tak sangka masih boleh diteruskan kerana ketika itu saya masih sendiri dan bergerak secara perlahan, forum demi forum, dan nampaknya ada sambutan.

 

Sebelum ini saudara memainkan peranan di Islamic Renaissance Front (IRF), sebuah organisasi islamik yang dikatakan liberal. Kenapa saudara beralih ke Projek Dialog?

Pendekatan IRF mengutamakan wacana dan kerangka Islam yang merujuk kepada teks dan sejarah tradisi. Walaupun saya sokong dan cuba bantu, tapi cara fikir saya bukan spiritual. Walaupun saya sokong gerakan seperti ini, tapi saya rasa saya bukan orang yang sesuai untuk mewakilinya.

 

Kembali kepada Projek Dialog, ada tak sasaran audiens yang spesifik?

Sasaran audiens kita adalah golongan anak muda yang masih bertanya dan masih mencari, yang tebuka kepada wacana. Pada saya, kebelakangan ini sejak 3, 4 tahun, golongan ini semakin ramai. Ada semacam kesedaran dan keinginan untuk wacana alternatif lain daripada yang disediakan di universiti dan media. Anak muda semakin ramai bersoal, lantang bersuara dan mereka ingin tahu isu-isu semasa yang dipinggirkan.

 

Bagaimana dengan golongan anak muda yang satu lagi, yang tak masuk universiti atau masuk universiti tapi tak bertanya dan tak mencari?

Kami tidak asingkan mereka. Cuma mereka bukan sasaran utama. Kami masih cuba mendekati kumpulan-kumpulan yang dalam proses berwacana. Walaupun bukan dianggap majoriti, aliran itu sudah bermula. Forum-forum kita pun bergerak secara kecil-kecilan.

 

Apa program terbaru Projek Dialog?

Kandungan utama Projek Dialog adalah berupa artikel-artikel. Kita juga sentiasa cari artikel dari portal-portal antarabangsa untuk diterjemahkan, kebanyakannya isu alam sekitar dan kemajmukan agama. Dalam bahasa Malaysia, agak kurang sumber-sumber yang menceritakan topik-topik seperti ini. Tulisan yang menceritakan agama lain, contohnya hindu, tak banyak, kadang-kadang tak ada langsung, kalau ada pun tidak mendalam. Maklumat-maklumat ini penting untuk pengetahuan umum.

 

Tak kena tuduh promosi budaya Barat?

Banyak kali.

 

Ada yang anggap Khairy Jamaluddin idola anak muda. Apa pandangan saudara?

Saya anggap dia tokoh Umno. Dia mesra anak muda, tapi tidak boleh disamakan sebagai idola anak muda. Saya tak nampak ramai anak muda yang betul-betul setia, yang dianggap penyokong ‘totok’. Dia lebih terbuka untuk menjalinkan perbincangan dengan anak muda.

Saya perhatikan anak muda sekarang ini lebih terbuka untuk bersoal kepada semua pihak, ini boleh dianggap sebagai ‘open field‘. Terutamanya dengan situasi politik yang semakin tak menentu yang mana ada kesinisan terhadap kepartian, dan keterbukaan terhadap wacana.

 


copyIMG_8369Maknanya, saudara melihat anak muda semakin terbuka?

Keterbukaan itu tidak semestinya mereka menjadi liberal. Ini yang menarik. Ramai yang komplen audiens yang datang forum orang-orang sama. Saya dapat peluang untuk betul-betul mendekati demografik itu sendiri dan saya dapati walaupun mereka datang ke forum-forum yang dikatakan liberal, tak semestinya mereka liberal. Kadang-kadang mereka datang untuk dengar saja. Dengan jumlah audiens yang sedikit ini, kadang-kadang saya dapat bertanya pendirian mereka tentang satu-satu isu, dan dapati mereka masih konservatif (ketawa). Jadi, bagi saya proses itu ambil masa. Kita pun tak boleh nak syok sendiri sangat kata forum dapat sambutan, atau anak muda makin liberal hanya semata-mata adanya muka-muka yang sama yang kita sering lihat. Pada saya anak muda makin konservatif sebenarnya, cuma ada ruang keterbukaan, ruang yang kecil ini yang kita boleh cuba gunakan untuk meneruskan perbahasan.

Perkembangan media sosial membiasakan kita dengan perbezaan. Tapi tidak bermaksud ada keterbukaan untuk menerima idea-idea baru. Mungkin ada sedikit keterbukaan untuk mempertimbangkan persoalan baru. Pada saya, langkah untuk menzahirkan idea baru ini masih perlahan dan semakin banyak kerja yang perlu dilakukan.

Hegemoni mempunyai banyak institusi dan mendapat audiens yang tetap dan berganda setiap hari. Kita ni apa sangat yang ada? Jadi kita pun tahu ini satu perjalanan jauh.

 

Apa yang boleh meneutralkan hegemoni seperti itu?

Krisis. Apabila ada keterdesakan politik di mana ada satu suasana yang betul-betul menunjukkan bahawa sistem ini tidak boleh lagi dikekalkan, barulah kita akan melihat kesuburan untuk membayangkan perubahan. Buat masa ini saya tak jangka perubahan yang substantial itu ada. Kita masih lagi terlalu selesa, golongan kelas menengah masih lagi melihat idea-idea sebagai hiburan tapi bukan untuk mengubah budaya itu sendiri. Cara hidup harian kita, sudut pandang, masih lagi konservatif.

 

Makananya kita tak pusing jauh lagi?

Belum cukup jauh lagi. Tapi kalau kita melihat dari 1998 perbezaan itu ketara. Cuma mungkin bukan dalam jangka masa yang kita inginkan kerana proses itu sangat perlahan.

 

Tiada harapan untuk perubahan drastik?

Kebanyakan prubahan dalam wacana politik berlaku apabila ada keretakan dalam sistem seperti yang terjadi pada reformasi 1998. Reformasi membawa kepada kesuburan wacana, optimisme yang baru. Krisis hegemoni pada 2008 menggalakkan anak-anak muda dari hampir semua kaum berhadapan dengan politik. Detik-detik kesuburan wacana berlaku dengan keretakan hegemoni itu sendiri. Saya yakin akan berlaku, tapi saya sendiri tak tau ke arah mana. Hegemoni boleh cuba mengongkong wacana, tapi tidak boleh mematikan idea-idea baru.

Idea-idea baru pun tidak bermakna idea progresif. Ketidaktentuan politik juga menjadi peluang untuk kelompok “far right” – Islamis, konservatif, Feudal dsb untuk menyerlahkan agenda mereka. Saya sering teringat ungkapan “Things fall apart; the centre cannot hold”. Segalanya akan berpecah apabila pusat kuasa tidak dapat mengekalkan “balancing act” neraca mereka. Apabila itu berlaku adakah golongan “progresif” dapat menonjolkan nilai-nilai dan agenda mereka? Susah nak kata.

 

Dalam perkataan anda sendiri, bagaimana anda melihat parti politik utama yang ada di Malaysia?

PAS kini adalah parti reaksioner. Reaksioner dalam dua sisi. Satu, agenda mereka tidak berakar pada realiti tapi pada sentimen yang tidak diproses. Kedua, konservatif, sentimen kesetiaan kepada ulamak. Saya tidak nampak potensi selagi mereka seperti itu.

PKR nampak macam ada krisis identiti dengan Anwar dalam penjara dan mereka masih dalam bayangan Anwar. Saya pun tak pasti ke mana mereka nak tuju. Banyak pasif agresif. Ada corak . politik jaga hati dan politik tak biasa berhadapan dengan isu. Dengan PAS sekurang-kurangnya kita tahu siapa di pihak siapa. Kita tahu, PAS sejak berpecah dengan Amanah, identiti mereka semakin jelas (ketawa).

DAP agak menarik. Mereka serious tarik perhatian anak-anak muda Melayu. Saya harap proses ini berterusan. Dengan penyertaan tokoh-tokoh muda dan tokoh sastera Melayu Pak Samad. Cuma mungkin akar umbi parti itu masih lagi kecinaan. Bagaimana pergelutan ini akan berlangsung, itu persoalannya. Keterbukaan atau kecinaan?

Amanah saya tak pasti. Adakah mereka mempunyai kuasa jentera seperti yang disediakan oleh PAS? Pada saya, politik yang berlambangkan Islam Melayu akan sentiasa terjerat dengan sentimen awam. Umno akan bangkitkan isu hudud. Apa pendirian yang mereka berani suarakan pada umum? Apabila sentimen itu semakin menjadi-jadi, isu itu tak akan selesai begitu saja. Dalam kata lain, terlalu awal untuk tahu. Bagaimanapun, saya teruja juga dengan adanya orang seperti Saari Sungib dan Ishak Surin dalam parti itu.

 

Yang terakhir, pada pandangan saudara, apa punca utama yang halang identiti bangsa Malaysia?

Pembinaan negara bangsa bukan senang. Terutamanya negara dalam konteks pasca kolonial, negara yang perlu membangun dalam tekanan pasca perang dingin, dengan struktur-struktur feudal yang kita warisi. Benda ini bukan unik pada Malaysia. Dan bila saya fikirkan hal ini, saya dapat sabar sikit. Farish A Noor pernah kata, Malaysia bukan senang untuk diperintah, tapi dengan cabaran yang ada, ruang untuk membawa wacana yang lebih inklusif itu ada.

Pendapat saya, sejak pasca Mei 13, falsafah pembangunan Melayu adalah perlumbaan ekonomi. Ini satu unsur yang bahaya dalam konteks negara majmuk. Mereka menganggap pembangunan itu akan diukur dari sudut pandang perebutan kekayaan. Di sini ada perkahwinan antara kapitalisme dan politik etno-nasionalis.

Masalahnya sekarang, dasar kapitalis Melayu menunjukkan satu penyalahgunaan yang begitu serius dengan budaya insecure. Selama 30 tahu, janji dan harapan bahawa semua Melayu akan rasa kekayaan dan kesenangan. Tapi itu tidak terjadi dan mereka yang merasa kekayaan pula tak boleh sustain momentum mereka. Intra etnik inequality, ketidaksetaraaan di kalangan Melayu menambahkan rasa tidak tentu yang akan menjad-jadi disamping ketidaktentuan sosio-politikal yang sedia ada.

Ini sebabkan insecurity makin teruk dan suasana yang sering mencari scape-goat, adakah dia Cina misalnya, atau pekerja asing, atau Yahudi. Kita sudah tak guna rasional dan terlalu senang salahkan pihak lain sambil mengabaikan masalah sistem yang sedia ada.

Kerja membina negara bangsa perlukan proses kematangan. Biasanya proses ini bukan sesuatu yang straight forward. Things will get worse before they get better. Tapi sementara itu kita boleh lakukan apa yang kita patut mengikut kemampuan kita.

 

– Roketkini.com