Rencana, Sastera

Kokoro, kemurungan penulis dan klimaks pembaca

AKU tiba agak lewat, kira-kira 40 minit selepas acara dijadual berlangsung.

Silap apabila terlangsung ke Hotel Mirama dan bertanyakan kafenya kepada penjaga receptionist. Walhal Kafe Mirama adalah tempat berbeza.

“Bukan kat sini,” kata penjaga kaunter.

Dan bayaran letak keretaku sebanyak RM5 enggan dipulangkan oleh penjaga tempat letak kereta warga Bangladesh sebelum aku meninggalkan tempat itu untuk ke venue sebenar.

Ariff Mohamad, pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga penulis, sudah sampai bab tiga mengulas novel Kokoro karya Natsume Soseki apabila aku tiba program Borak Buku di Kafe Mirama.

Hanya selepas itu, aku menyedari bahawa memang dia melangkau bab satu dan dua kerana menurutnya keterujaan sebenar hanya bermula dari bab tersebut, maksudnya aku tidaklah terlalu lewat ke acara itu.

borak bukuKafe Mirama kudapati damai; kukira cocok dengan suasana buku dan kopi yang melatari program petang itu.

Aku suka susun letaknya. Ariff duduk di depan bersama Hani Salwah si moderator, manakala yang lain-lain duduk bertentangan dan membentuk lengkungan pada satu aras sama dengan hanya ada satu meja kecil jadi pembahagi, juga sebagai tempat letak sedikit barang dan bahan rujukan si pembentang.

Di kiriku, di sudut kafe ada penyair, Nissa Yusuf yang kukira ‘orang kuat’ Borak Buku dan di depannya ada seorang gadis yang kemudiannya rajin ke hulu ke hilir merakam foto.

Penulis, Lutfi Ishak yang segera kutemui sejurus tiba menyapaku dengan mengangkat tangan. Sebentar kemudian dia ke kaunter barrista memesan secawan mocha untukku. Penghargaan begini dengan cepat menenangkan aku yang rusuh dan menjadikan acara petang itu semakin mudah untuk kumesrai.

Ariff menceritakan betapa watak Sensei yang dijadikan sahabat dan mentor oleh ‘Aku’ dalam novel itu memilih pengakhiran kehidupannya dengan membunuh diri. Sensei punyai sejarah hidup walang apabila rakannya, K, juga membunuh diri lantaran rasa cemburu. Malang, Sensei dan K mencintai wanita yang sama, tetapi Sensei melamar wanita itu terlebih dahulu.

Soalan-soalan timbul petang itu, sekitar isu tersebut – kekosongan zen, peralihan zaman dari zaman tertutup ke zaman moden pasca era Meiji, pendefinisian semula hara-kiri dan seppuku, perubahan nilai orang Jepun ketimbang masa, dan paling menarik minat hampir semua pada petang itu – kesepian seorang manusia; atau jika mahu ditarik lebih dramatik, dunia sepi seorang penulis.

natsume_sosekiSoseki dikesan berbicara kepada pembacanya lebih jauh dari sekadar Kokoro, yang disudahkannya secara tragis. Pengarang novel ini sendiri mati akibat ulser perut; salah satu yang boleh menyebabkannya berlaku adalah kemurungan.

Dia mati sebelum sempat menyiapkan karya terakhirnya, Meian.

Dan Soseki bukanlah satu-satunya penulis yang dikesan sepi. Penulis-penulis hebat; yang karyanya dibaca orang dari seluruh dunia mengambil cara sama seperti Sensei dan K, watak-watak dalam Kokoro.

Sekurang-kurangnya kesudahan tragis ini telah dipilih penulis seperti Ernest Hemingway, Sylvia Plath, Virginia Woolf dan David Foster Wallace.

Aku menghirup mocha yang terhidang, terfikir betapa benar ramai penulis berbobot mati sebegitu. Mereka bukan sahaja menjadikan isu taboo tersebut sebagai tema atau wacana dalam karya agung mereka, bahkan benar-benar mereka melakukannya. Secara literal.

Syukurlah kegilaan sebegini belum merebak ke dunia kesusasteraan kita.

Tetapi, ‘dunia sepi’ itu tetap ada, malah kuat berakar di sini. Perhatikan karya-karya seperti Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Seorang Tua di Kaki Gunung, Tunggul-tunggul Gerigis, Ranjau Sepanjang Jalan dan lain-lain – semuanya seputar kesepian seorang lelaki, yang jika boleh kita teka, mewakili jiwa sang penulis itu sendiri.

chairil anwarKita juga barangkali dapat mengesan kesepian yang dirakam penyair rebel Indonesia, Chairil Anwar dalam puisi Sia-sia, lewat kalimat monumentalnya: ‘Mampus kau dikoyak-koyak sepi’ selain ungkapan yang dipopularkan Cinta dan Rangga dalam Ada Apa Dengan Cinta: ‘Nasib adalah kesunyian masing-masing’.

Dan kata-kata hening Rendra dalam puisinya, Pamflet Cinta, ‘Sepi menjadi kaca’.

Gelap, kosong, sendiri – semua ini mungkin resam dunia sepi yang dihuni seorang penulis yang sama ada wajar atau tidak, menjadi sumber ilham yang menggerakkan minda dan jari-jemari mereka untuk menghasilkan karya hebat untuk dinikmati pembaca.

“Kita perlu sakit untuk menghasilkan karya hebat,” kata seorang rakan satu masa dulu. Ya, aku boleh bersetuju dengan premis itu dan ingin menambah: “Untuk menulis cerita, kita perlu ada cerita sendiri terlebih dahulu.”

Maksudku, cerita sendiri yang seorang penulis perlu ada itu benar-benar berlaku kepadanya sehingga dia boleh menumpahkan emosinya ke dalam cerita baru yang ingin dia tulis. Tanpa elemen ini, mungkin agak sukar bagi seorang penulis untuk mencipta sesuatu dari ketiadaan.

“Kesepian palsu,” kata Nazmi Yaakob, merujuk kepada keadaan seseorang penulis yang cuba mencipta suasana sepi dalam tulisannya sedangkan dia berada dalam suasana penuh keriangan dan sorak-sorai gembira.

Pun begitu, bermain dalam situasi begini; penulis ‘menderita’ lantaran kesakitan jiwa manakala pembaca berasa nikmat dan terpenuh hatinya dengan karya si penulis; dunia kesusasteraan kita seperti berada dalam satu paradoks – sakit dan nikmat berada dalam satu aras sama, cuma sisinya berbeza.

sakit jiwaDan, persoalan seterusnya: Adakah karya yang lebih ‘sakit’ itu lebih dinikmati?

Aku fikir kita punya pagar budaya dan agama yang akan menahan kita daripada lepas bebas sebelum dibaham serigala. Maksudku, kita tidak perlu berada dalam kemurungan atau depresi melampau sehingga bunuh diri – baik di dalam karya mahu pun di luar karya untuk mencapai kemuncak keagungan kesusasteraan.

Kita masih punya banyak yang ingin dicapai sebelum mati, malah yang ingin kita capai selepas mati jauh lebih banyak.

Mocha di Kafe Mirama dan Borak Buku kutinggalkan selepas duduk-duduk seketika dengan rakan hadirin. Satu petang yang bermanfaat, fikirku.

Aku bergerak untuk solat Asar sebelum menuju ke Padang Jawa, memenuhi ajakan rakan, seorang lelaki sepi yang sudah lama tidak menulis. Aku harap dia pulih segera, tetapi sebelum itu, aku harap dapat membaca karya hebatnya terlebih dahulu.

 

 

* Haizir Othman adalah penulis muda yang aktif dalam penulisan cerpen, sajak dan esei. Memiliki antologi sajak persendirian berjudul Espionaj, selain terpilih antara pemenang Sayembara Penulisan ITBM menerusi antologi cerpen bertajuk Siaran Radio Lewat Pagi.