Rencana

Di celah-celah isu bahasa, Tony Fernandez bikin saya terfikir…

MENARIK apabila Tony Fernandez, taikun Air Asia yang membuat komentar mengenai bahasa Inggeris melalui twitternya beberapa minggu lalu. Kagum atas keprihatinannya, dan faham akan konteks yang cuba disampaikannya.

Beliau memang ada kelayakan dek kejayaan, pengaruh dan pengalaman luas tentang jaringan komunikasi global dalam bidang perniagaannya. Dengan maksud lain, konteksnya merujuk pasaran kerja bagi graduan tempatan dalam persaingan industri global.

Namun, konteks ‘bahasa’ lebih luas dari konteks pasaran kerja dan perniagaan (ekonomi). Bahasa akhirnya untuk membina negara bangsa.

Kemajuan ekonomi hanya sebahagian dari kewujudan negara bangsa. Negara bangsa hanya muncul apabila anak bangsanya mempunyai akses yang luas kepada pengetahuan.

Dengan bahasa, ia dapat memastikan potensi anak bangsa Malaysia berkembang hingga mampu berdikari dalam apa jua suasana ekonomi dan zaman – bukan setakat menjadi usahawan atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang hebat tetapi pencipta, pereka, pendidik, artis, pemikir, pakar dan sebagainya.

Saya percaya Tony berjaya kerana sikap berani mencuba, begitu juga mendiang Steve Jobs – bukan kerana bahasa Inggerisnya.

Keberanian mencuba banyak dipengaruhi pergaulan sosial dan sifat ingin tahu. Kedua-dua sifat itu melahirkan kreativiti, disiplin dan keazaman. Ia menjadi adunan asas seseorang itu sukses dengan cita-citanya. Penguasaan bahasa terbina di celah-celah sifat itu.

pekerjaanJika diukur puluhan ribu graduan setiap tahun, ada antara mereka yang bahasa Inggerisnya sebaik Tony tetapi masih bergelut membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ada masih menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), malah ramai yang menganggur dan pemalas. Adakah ia berpunca dari masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris?

Seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau fikir hanya dengan menguasai bahasa Inggeris, seseorang itu dapat akses kepada pengetahuan. Dengan pengetahuan itu, mereka mudah mendapat kerja dan berjaya.

Lojik itu bersandar kepada sumber pengetahuan hari ini yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Memanglah lojik, lojik mudah.

Dengan bahasa Inggeris, mudah dapat kerja. Bila dapat kerja, maka anak bangsa Malaysia akan hidup senang dan harmoni, hormat budaya dan agama orang lain serta menjadi warga berjiwa besar dan berminda terbuka.

Menterjemah pengetahuan

Sebelum merumus formula untuk mencapai impian menjadi sebuah negara maju atau bertamadun, kita perlu memahami dan melihat proses untuk membina kejayaan itu. Prosesnya mungkin tidak semudah yang disangka atau diharapkan.

Ratusan tahun moyang-moyang ‘Mat Salleh’ Inggeris menghabiskan masa belajar bahasa Arab, Parsi, Cina, Tamil dan lain-lain serta memindahkan segala pengetahuan bangsa itu ke bahasa mereka – yang menjadi rujukan kita hari ini.

Terjemahan itu meliputi pelbagai bidang pengetahuan, bukan sains teknologi dan matematik sahaja.

Setidak-tidaknya tanyalah diri kita, berapa ramai pula anak bangsa Malaysia yang fasih berbahasa Inggeris atau lain-lain bahasa serta pakar pelbagai disiplin ilmu, gigih menterjemah dan menerbitkannya ke bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil?

Sudah berapa puluh ribu buku sastera, seni, falsafah dan sains, dari pelbagai sumber telah diterjemah untuk kemajuan bangsa Malaysia setakat 58 tahun kita merdeka?

Kita (Malaysia) memahami ‘bahasa’ itu dalam konteks cetek – peluang kerjaya atau perniagaan. Kita andaikan lagi, dengan fasih berbahasa Inggeris, kita sudah menguasai sesuatu bidang pengetahuan.

english1Kita enggan melalui proses kemajuan yang dibina oleh bangsa besar terdahulu. Alasannya, proses itu mengambil masa panjang, maka kita memilih mengambil jalan pintas untuk menjadi pandai dan maju.

Alasan itu digunakan kerana ‘politik kuasa’. Hendak kekalkan kuasa politik, kena cepat maju dan dilihat maju. Ini fitrah faham politik bangsa kita (termasuk pembangkang)  tentang kemajuan – negara bangsa.

Nampak macam saya anti-bahasa Inggeris tapi bukan begitu. Cuma tidak setuju idea mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris itu disempit dalam konteks pasaran kerja dan tujuan perniagaan. Itu sahaja.

Kerja penterjemahan pengetahuan dari pelbagai bahasa dan budaya adalah kerja sebuah negara bertamadun. Bukan sekadar membina bandar baru.

Pada zaman Baitul Hikmah di Baghdad, banyak kerja penterjemahan pengetahuan dibuat. Penterjemah dibayar gaji tinggi. Hunain Ishaq, seorang Kristian yang mahir berbahasa Arab dan Yunani memimpin projek penterjemahan itu.

Hasilnya, ia memunculkan Bahgdad sebagai kota hebat dan maju di dunia. Namun, hebat dan maju mana sekalipun kota itu, ia gagal jua akhirnya.

Mengapa?

Selain akibat serangan askar Mongol, faktor utama kejatuhannya ialah kelemahan dalaman. Berlaku permusuhan dalam kalangan bijak pandai di kota itu, bermusuh bukan kerana berbeza pandangan atau idea atau bahasa, tetapi kerana masalah perkauman antara bangsa Turki, Parsi dan Arab.

Tony Fernandez bikin saya berfikir, adakah seseorang yang fasih Inggeris tidak rasis?

 

* Mahzir Ibrahim ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor