Wawancara

Gig muzik keras ekspresi ‘attitude’ perlawanan anak muda

GIG bertema ‘Catalyst for change’ bakal berlangsung di Embrace Hall, Taman Tampoi Utama, Johor Bahru pada 7 November ini. Antara band underground yang bakal membuat persembahan ialah Blind Tribe, Unveiled, Compulsion To Kill, Dewata, Eyes Popping Out dan Mizor. RoketKini menemu bual Sheikh Omar Ali dari Komuniti Tanpa Tie dan Tan Hong Pin (Sosialis Muda DAP) untuk mengetahui lebih lanjut.
Apakah sebenarnya projek GIG?

HONG PIN: Ia sebenarnya suatu usaha pertama kali kami – saya dan Sheikh ada berkenalan dengan line up band Mizor dari Kluang baru-baru ini. Band itu baru meningkat naik. Jadi, kami fikir mengapa tidak kita sediakan ruang untuk mereka main muzik? Bermula dari situlah, idea buat gig bermula.

SHEIKH OMAR: Scene underground sebenarnya ada pengikutnya tersendiri. Bila kita bergerak dalam parti politik, ada batasan yang kita tidak mampu capai. Gig macam ini penting sebab band underground ada mesej yang memberi kesedaran kepada masyarakat melalui lirik. Jadi, apabila Hong Pin menunjukkan minat, saya pun tidak lepaskan peluang.

Kenapa memilih tema ‘catalyst for change’?

HONG PIN : Catalyst For Change bermaksud ‘perintis untuk perubahan’. Saya yakin, semua rakyat Malaysia ada peranan membawa perubahan kepada pola pemikiran rakyat yang mahu perubahan berlaku dalam negara, ke arah yang lebih positif. Apabila tema itu dipilih, secara automatik kita tahu gig ada peranan besar.

Kita nak mengajak mereka yang terlibat dalam gig termasuk band yang buat persembahan, menjadikan medan ini sebagai sesuatu yang serius. Medan yang boleh memberi pencerahan kepada masyarakat betapa mereka ada peranan dalam menyumbang kepada perubahan.

WIRA2517SHEIKH OMAR: Saya berkongsi matlamat yang disebutkan Hong Pin tadi. Dan saya fikir, perubahan yang ingin dicapai untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik, memerlukan penglibatan semua pihak. Orang politik ada peranannya, seniman ada peranannya, NGO pun ada peranan penting dan begitulah seterusnya. Dalam hal ini, penggiat scene underground pun ada sumbangan tersendiri. Semua perlu digembeling, baru perubahan boleh direalisasi.

Kenapa pilih band ini?

SHEIKH OMAR: Gig kali ini lebih kepada band-band metal. Untuk genre lain, insya-Allah kami rancang akan buat banyak lagi siri-siri berikutnya pada masa depan. Dalam pemilihan band pula, kita gabungkan antara band yang lama dan sudah ada nama dengan band baru mula bertatih.

Band seperti Blind Tribe merupakan band yang dah ada nama dan agak senior. Mereka ada peminatnya yang tersendiri. Sebaliknya band Mizor, band yang baru nak bermula. Kita mahu beri ruang kepada mereka berkarya dan buat persembahan pentas. Band seperti Dewata, peminatnya ramai generasi 20-an. Band Unveiled, Compulsion To Kill dan Eyes Popping Out pula band yang agak pertengahan. Mereka popular dalam kalangan peminat sekitar 30-an hingga 40-an.

Selain itu, ada dalam kalangan anggota band berasal dari Johor. Secara tak langsung, kami juga sasarkan untuk menjayakan acara ini di Johor dengan penyertaan anak-anak lokal bangsa Johor itu sendiri.

Umumnya, siapa yang tertarik dengan gig macam ini?

WIRA2458HONG PIN: Pastilah anak-anak mudat. Cuma kita sedar bahawa scene underground macam ini kumpulan peminatnya pastilah berbeza dari peminat muzik mainstream. Walaupun begitu, saya ada pandangan tersendiri dalam hal ini. Tidak kira berapa ramai jumlah mereka, saya sangat obses dengan idea dan perjuangan mereka. Peminat muzik underground ini, saya fikir ada kekuatan tersendiri kerana liriknya, mesejnya sangat kuat. Kadangkala tentang idea menentang salah guna kuasa, korupsi dan sebagainya.

Jadi, followers seperti inilah yang akan hadir ke gig ini. Balik ke rumah nanti, mereka akan bergaul dan sampaikan mesej positif dalam masyarakat hasil dari idea yang mereka sematkan dalam diri.

SHEIKH OMAR: Ramai berminat dalam gig seperti ini. Cuma mereka tidak menonjol kerana namanya pun underground scene. Muziknya pula bersifat independan. Semasa proses menguruskan gig, saya dapat melihat betapa peminat scene dan gig ada di mana-mana, hatta di seluruh dunia. Mereka yang meminati gig seperti ini berekspresi menerusi lagu dan attitude yang mereka gariskan.

Lebih penting lagi, mereka ada thinking yang kritikal terhadap sosial dan kehidupan seharian mereka, hasil lirik dan pembawaan muzik yang mereka ikuti. Mereka inilah yang akan menyokong dan menyertai gig ini.

Boleh beri kesan positif? Sesetengah orang anggap projek macam ini membuang masa?

HONG PIN: Itu persepsi sesetengah orang. Jika kita jumpa 100 orang, pasti kita dapat 100 pandangan berbeza-beza. Kita tak boleh sekat kebebasan orang untuk menilai sesuatu perkara berdasarkan tahap pengetahuan mereka. Namun bagi saya, pepatah Melayu ada menyebut: ‘Tak kenal maka tak cinta’. Jika kita tidak mengenali ‘culture’ underground scene, kita berpotensi untuk memberi tanggapan salah terhadap mereka.

Apabila saya terlibat secara langsung menguruskan gig, kadangkala saya sendiri berasa malu pada diri sendiri. Kelantangan idea yang mereka ketengahkan menerusi lagu, kadangkala lebih berani dan amat berprinsip. Sekiranya ruang muzik mereka dapat dikembangkan lagi ke tengah masyarakat, saya yakin ia dapat menjadi agen pencerahan kepada rakyat dan menjadi saluran kritik sosial berkesan di Malaysia.

SHEIKH OMAR: Saya hanya menambah sedikit sahaja terhadap apa yang telah diberitahu oleh Hong Pin tadi. Sebagai contoh, gig sendiri memiliki rules‘- no rasisme, no sexism, no discrimination, solidarity dan unity. Ini adalah nilai-nilai teras yang kami letakkan. Dari sini pun sudah boleh menjadi kayu ukur bahawa gig ini mempromosi nilai positif. Band-band yang dipanggil juga berdasarkan kepada semangat rules itu sekalipun alunan muziknya kedengaran agak keras.

PicsArt_10-12-11.00.21Jadi, dengan gig ini, apa sebenarnya yang mahu dicapai?

HONG PIN: Saya berharap menerusi gig ini, kita dapat menarik anak-anak muda agar mengembangkan peranan dan sumbangan mereka terhadap sosial dan pembinaan bangsa Malaysia yang lebih gagah. Kami ingin provide lebih banyak ruang sebab kita percaya walau sesaat masa yang
diluangkan untuk gig seperti ini, ia memberi kesan kepada perubahan dalam masyarakat.

SHEIKH OMAR: Kami ingin perbanyakkan lagi gig seperti ini. Bagi saya, perubahan di Malaysia tidak boleh dilakukan oleh satu pihak sahaja. Semua elemen perlu digembeling. Termasuklah muzik dari undergroud scene. Insya-Allah, kami akan susun lebih banyak lagi gig dan pelbagaikan lagi ruang dan ditambah elemen pemberdayaan komuniti dan aktivisme bagi mencapai objektif itu.

Dalam poster, ada ditulis sebahagian hasil kutipan tiket disumbang kepada Rumah Api dan The Wall. Boleh cerita sikit?

SHEIKH OMAR: Rumah Api merupakan satu lokasi gig di KL. Rumah Api pernah kena ambush beberapa bulan lalu sebab dikaitkan dengan unsur hasutan. Kami ingin beri sumbangan kepada mereka sebagai tanda solidariti dan perbanyakkan lagi aktiviti di Rumah Api.

The Wall juga satu lagi lokasi gig bertempat di Batu Pahat Johor. Beberapa bulan lalu, The Wall ditimpa musibah kebakaran. Mereka memerlukan dana yang besar untuk bangunkan semula kelengkapan di situ. Atas semangat solidariti, kami ingin menyumbang.

Kata-kata akhir menjelang GIG 7/11?

HONG PIN: Mahu tahu lebih mendalam, sertai kami pada 7 November nanti. Bawa rakan-rakan bersama.

SHEIKH OMAR: Sokonglah usaha kecil kami ini dengan menyertai gig Catalyst For Change. Solidarity dan unity untuk menyumbang ke arah Malaysia yang lebih baik.