Rencana

Hak bernegara, penyatuan dan halangannya

It is for the people to determine the destiny of the territory and not the territory determines the destiny of the people – Hakim Dillard.

CUBAAN untuk tidak bersama Persekutuan Malaysia bukanlah polemik baharu.

Ia sudah sekian lama muncul dan yang pertama seumpamanya sebelum pengisytiharaan Persekutuan pada 1963 yang dibawa Sultan Kelantan dan diputuskan sepuluh hari sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.

Polemik itu muncul mutakhir ini, bukan dari Kelantan tapi dari Johor dan Sarawak. Pastinya, ia muncul bersebab, sebagaimana Sultan Kelantan pada 1963, begitu juga Gerakan Sarawak for Sarawakian dan suara putera Diraja Johor.

Merujuk kembali kursus Pengenalan Undang-undang Antarabangsa tentang hak bernegara, ia memfokus kepada cubaan dan usaha yang seumpamanya di Scotland dan Timor-Timor (kini Timor Leste). Dua entiti itu punyai azam yang sama, untuk menegakkan hak bernegara mereka tapi dengan proses yang sangat berbeza.

Secara ringkas, kedua-duanya mulai usaha untuk berkerajaan sendiri sejak 1970-an. Bezanya antara Scotland dan Timor-Timor; yang pertama diusahakan dengan proses demokratik manakala yang kedua melalui proses pertumpahan darah setelah proses demokratik dinafi.

Bagi Scotland, juga Britain, suara rakyat merupakan nadi demokrasi, maka ia tidak dinafi meskipun terdapat usaha politik untuk mengelaknya. Lantas, referendum digubal bagi membenarkan rakyat menyuarakan hak mereka; sama ada mahu terus bersama atau berpisah. Usaha pertama gagal tanpa sebarang pertumpahan darah.

Usaha tak pernah berhenti dan ia digagaskan sekali lagi pada 2000; diberi pilihan sama ada diberi kuasa autonomi atau bebas merdeka, sekali lagi gagal untuk bebas sebaliknya rakyat Scotland memilih untuk mendapatkan hak autonomi dalam bidang kuasa tertentu.

Tahun lalu, nasionalis Scotland sekali lagi memgembleng usaha untuk merdeka juga melalui referendum rakyat; untung nasib mereka kekal; rakyat mengundi untuk kekal bersama.

flagBerbeza pula dengan proses seumpamanya di Timor Timor, asalnya mahu merdeka dari penjajah Portugis, sebaliknya ditawan Kerajaan Indonesia. Sejak itu, usaha ke arah berkerajaan sendiri bermandikan darah. Timor-Timor juga menjadi model krisis kemanusiaan bagi ASEAN yang mendapat perhatian dunia.

Penafian hak rakyat Timor-Timor diperhebat di bawah rejim Suharto dan sebaik kuasa beliau rebah, Pak Habibie mengambil tampuk kuasa dan menjalankan proses demokratik dalam menyelesaikan krisis Timor-Timor. Dua pilihan diberikan melalui referendum rakyat; autonomi atau bebas merdeka – majoriti rakyat bersuara untuk membentuk sebuah Timor Leste yang bebas merdeka pada 2002.

Dua perbandingan tentang hak bernegara yang ditegaskan oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ) baru-baru ini. Namun, yang pasti, ia bukanlah hak suara individu atau keluarga nasionalis mahupun diraja tetapi merupakan hak rakyat sebagaimana penghakiman oleh Hakim Dillard dalam kes Sahara melalui referendum. Prosesnya terlalu teknikal sebagaimana yang diulas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

Sekali lagi, perbezaan ketara antara Scotland dan Timor Leste adalah soal kematangan demokrasi dan kesediaan rakyatnya. Persoalan pokok, sudah bersediakah rakyat Sarawak dan Johor untuk berkerajaan sendiri? Sudah benar matangkah demokrasi di Malaysia untuk meraikan hak bernegara ini?

Hasil menegakkan hak bernegara melibatkan jangka masa panjang bagi survival rakyat dan negara. Ia juga soal hak asasi manusia. Jangan kalut keluar dari mulut buaya tapi akhirnya terperangkap dalam mulut naga.

Sindrom Negara Dunia Ketiga

Senada dengan respon Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nurjazlan Mohamad, rakyat Johor malah TMJ punyai hak untuk berkerajaan sendiri. Ia tidak dinafikan tapi biarlah melalui saluran demokratik kerna bukan majoriti rakyat Johor bersetuju dengan suara putera Diraja Johor – semangat kebangsaan masih menebal dalam kalangan anak Johor sebagaimana semangat kenegerian mereka.

Seterusnya, polemik sebegini juga pastinya menjejaskan usaha mengukuhkan kestabilan sosial di Malaysia.

Sekali lagi, merujuk kepada kursus Politk di Negara Membangun semester lalu, selain mentaliti mangsa (victim mentality) yang diguna pakai politikus untuk meraih undi, peranan elitis tradisional (merujuk kepada institusi tradisional di Malaysia) juga signifikan dalam menjamin kelangsungan negara bangsa pasca perang dunia kedua meskipun keterlibatan mereka terhad.

Suara mereka berpengaruh dan silap pencaturan bisa menggugat usaha mengharmonikan sekaligus merencatkan usaha penyatuan dan pengukuhan negara bangsa.

Dengan krisis pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, seterusnya dengan sentimen perkauman yang tidak berkesudahan, tak lupa juga dengan segala pembodohan serta kelembapan ekonomi, Malaysia sudah cukup sarat dengan permasalahan.

Polemik untuk menarik diri dari gagasan Persekutuan Malaysia tidak wajar ditekankan, dan sebagaimana tindakan pemerintah kepada gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang dikenakan tindakan undang-undang, tindakan serupa wajar juga dikenakan selari dengan cadangan pakar perlembagaan, Dr Aziz Bari.

Hak bernegara akan gagal kalau kita sendiri (rakyat) tidak celik dan faham tentang konsep demokrasi. Pada akhirnya, ia sekadar menguntungkan sesetengah pihak sahaja atas nama rakyat.

__________________

* Muhammad Ariff Mohamad Nizam adalah Siswa Program Kajian Antarabangsa Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UMS)