Rencana, Sastera

CERPEN: Amber dan Ylang Ylang

SEBAGAI sebuah tandas, dia seharusnya hanya perlu bimbangkan kebersihan dirinya juga kelancaran fungsinya.

Bukanlah pekerjaannya untuk meneka-neki jawatan seseorang yang datang menyinggah, atau latar belakang keluarga orang-orang yang datang berziarah juga mendakwa-dakwi dosa dan pahala setiap manusia yang menjengah.

Dia adalah tandas yang harus berdiri tanpa sebarang penghukuman sebab dirinya hanya wajar menilai, bukan menghakimi. Dia hanyalah sebuah tandas. Hanya harus bersifat bersih kerana suci adalah sejauh-jauh perkara sementelah dia juga rumah iblis dan syaitan .

Adapun, pada suatu hari nan sunyi dan tenang, seperti hari manusia dapat mendengar detak jantungnya sendiri, dan bunyi darah yang dipam melalui pembuluh darah pun bisa terdengar mengalir dengan jelas sejelasnya, dia jadi sebuah tandas yang keliru.

Tidak seperti biasanya dia tegak dan hanya bimbangkan kebersihan dan kelancaran fungsi, dua makhluk Tuhan yang sungguh jelita datang menyinggah dan menghadirkannya suatu rasa yang tidak dapat terperincikan.

Kebetulan pintunya terbuka dan dia dapat melihat sejelas-jelasnya sosok indah itu. Gaya ranggi yang menggugat nubari dan menggetarkan tulang rusuk bak kata orang zaman kini, melangkah lemah gemalai ke sinki dan menghadap cermin dengan senyuman penuh yakin diri.

Kedua-duanya punya pesona yang sama meski berbeza rupa. Yang bertudung litup bertahi lalat di bawah bibir, yang ikal mayang berlesung pipit di pipi. Kedua-duanya bertenggek di wajah sebelah kiri. Tinggi mereka, dia mengira-ngira mengikut pengalaman menilai berjuta-juta kali ziarah, hampir enam kaki!

Tudung biru kundang di kepala dibetul-betulkan bentuknya, sepertinya bimbang sekali jika menyalahi hukum fesyen untuk wajah yang bujur sirih. Rambut diselat-selat dan disapu sedikit cecair yang dituang dari botol kecil. Sekejap sahaja, mahkota wanitanya yang melepasi bahu itu tampak lebih terurus dan sihat bersinar.

Memang sebagai sebuah tandas dia seharusnya tidak membiarkan dirinya tergoda begitu. Apatah lagi dengan dua orang makhluk secara serentak. Sebab dia sebuah tandas. Bukan makhluk tetapi ciptaan makhluk.

Lebih tepat, binaan manusia sebab antara banyak-banyak makhluk yang menziarahinya, manusia bukan hanya menciptanya daripada buah-buah fikir, malah menggunakannya dengan tujuan azali penciptaan.

Selain syaitan yang menjadikannya sebagai sarang. Dan ya, dia sebenarnya tidak senang. Juga, monyet dari belukar di belakang menjadikannya tembok bertenggek molek menakutkan orang.

Pokoknya, manusia sahaja yang arif akan kegunaannya yang asal. Jadi, sebagai suatu ciptaan seharusnya dia tidak terpesona begitu hanya asbab keindahan dan ini pertama kali dia berasa begitu!

Ah, sedangkan dia hanyalah sebuah tandas yang selayaknya tiada sebarang penghakiman seperti itu. Dia harus hanya tegak menilai.

Dua orang makhluk indah dalam nilaiannya itu, membuka tas tangan hampir serentak. Mengeluarkan sebatang gincu hampir serentak. Dan mencalit warna lipstik hampir serentak. Yang ikal mayang, merah rona garang penuh nyala. Yang tudung litup, merah jambu manis umpama gula.

Kemudian, masing-masing memperkemaskan maskara, hitam di bulu mata juga menepuk-nepuk bedak, warna asli di kulit muka.
Kalaulah dia tercipta sebagai makhluk berdua itu alangkah dia juga mahu menjadi indah dan bersiap-siap begitu.

Bergetar-getar perasaannya.

Dan getaran rasa itu tidak pernah tamat meskipun kedua-duanya sudah beredar apatah lagi yang paling akhir ditinggalkan untuknya adalah bauan Amber dan Ylang Ylang dari dalam botol minyak wangi yang dia pasti antara koleksi jenama antarabangsa.

Mak Cik Linah datang tepat pada waktunya, pukul 2, dengan berus, baldi, dan sebotol sabun pencuci lantai di tangan seperti biasa.
Tidak! Tidak! Jangan Mak Cik Linah! Jangan! Jangan hapuskan bau Amber dan Ylang Ylang asli jenama mahal yang mungkin datangnya dari Paris! Jangan gantikan wangian dari botol cantik dengan sitrus botol plastik! Jangan!

Dia terjerit-jerit. Tetapi, bukankah dia hanya sebuah tandas? Siapa yang akan mendengarnya?

Mak Cik Linah buka paip air dan basahkan lantai. Blup! Blup! Blup! Sabun pencuci lantai yang berwarna kuning berbau lemon keluar mencurah-curah ke dalam baldi. Dan setelah dilarutkan di dalam sebaldi air, bushhh!

Merebak bau lemon ke ruang udara. Tiada lagi bauan kayu-kayan mewah. Mak Cik Linah dengan penuh tanggungjawab dan teliti, menggosok kotoran yang ada padanya sampai hilang, sampai berkilat.

Dia tahu dia tidak boleh marahkan Mak Cik Linah. Ini kerja perempuan berusia 50 tahun itu. Dia hanya terpaku sampai Mak Cik Linah selesai, sampai lantai jadi sedikit kering selepas dimop.

Dua orang perempuan masuk. Dia mencebik. Tidak secantik yang pagi tadi. Gaya sederhana tidak melentik. Malah katik. Kedua-duanya menunaikan hajat, di depan cermin juga di kamar privasi.

Tidak pula meninggalkan sensasi Amber dan Ylang Ylang. Sitrus pun tidak. Dia sangat mengharapkan dua perempuan pagi tadi akan menyinggah lagi.

Berjam-jam dia menunggu, tidak tercapai pula harapannya. Dia mengeluh. Ah, esokkan masih ada, dan dia tidak perlu bimbang sebab mengikut kiraannya, esok hari Khamis.

Kata orang, kiamat tidak akan terjadi pada hari Khamis. Kiamat itu datangnya pada hari Jumaat. Jadi, masih sempat kalau esok datang untuk dia menikmati lagi keindahan dan keharuman yang menjadi igauan.

Dan malam itu, dia tak sabar menunggu esok dengan penuh harap bahawa bau sitrus pencuci lantai Mak Cik Linah akan segera hilang, diganti sensasi Amber dan Ylang Ylang, kayan liar yang tak habis menggetarkan.

Seminggu dua, dia menunggu. Dia yang kepingin Amber dan Ylang Ylang dicurah Sitrus berulang-ulang dan baunya tidak hilang-hilang. Mak Cik Linah memang pekerja yang berdedikasi. Tetapi resmi hidup, meskipun kedekut menyedekahkan peluang kedua, kadang-kadang ia tahu untuk bersikap dermawan juga.

Sekali lagi dengan lenggang kangkung dan layangan bau mewah yang masih bersisa, kedua-dua manusia yang dinanti-nantinya itu muncul juga akhirnya.

Yang bertudung litup, bertahi lalat bawah bibir kiri masuk ke kamar menunaikan hajat sendiri-sendiri. Dan, dia, sebuah tandas terus jadi patah hati, jadi keliru, kaget, rasa tertipu, juga mulai rasa pusing-pusing (sepatutnya ini tidak berlaku sebab dia hanya punya masalah tersumbat), dan terus jadi mual.

“Aku geram! Kenapa mereka tak bagi tukar? Kenapa? Kenapa?”
“Aku pun geram! Payah nak buat urusan bank, nak daftar itu ini. Geramnya!”

Kali ini, dia bukan sekadar bergetar lain macam, tetapi segala isi takungnya habis bergelodak dan tanah tempat dia berdiri sekian lama seperti bergempaan di kakinya. Dia berasa sangat kecewa dan tertipu. Malah dia juga berasa bodoh kerana buta dengan pesonanya.

Dan tiba-tiba, dia berasa takut yang teramat sangat.

Plushhh! Plush! Blup! Blup!

Bau sitrus pencuci lantai Mak Cik Linah terus mati hatta lantai yang baru mulai kering jadi basah sebasahnya. Berlendir-lendir. Berketul-ketul. Berlambak-lambak. Membuak-buak, berbuih-buih. Busuk sebusuk-busuknya, menyengat-nyengat. Coklat.

Kedua-dua manusia yang ditunggu-tunggu seminggu dua itu terjerit-jerit bersuara guruh, dan tidak pula menunggu-nunggu, malah kelam-kabut, lari lintang-pukang.

Dia pula semakin karam dalam ketidakpercayaannya ketika suara guruh jeritan Amber dan Ylang Ylang semakin sayup, dia pula terpekik-pekik seperti dirasuk.

“Hari ini hari Jumaaaaatttt! Hari ini hari Jumaaaatttt! Dah Jumaaaaaaaattttt!”

Tapi ya, siapa yang dengar? Bukankah dia hanya sebuah tandas?

____________

‘* Sayidah Mu’izzah ialah anak muda yang berjuang dengan jiwa melalui Legasi Oakheart dengan membimbing anak muda melalui aktiviti penulisan, malah menerbitkan karya mereka. Memiliki beberapa antologi persendirian dan bersama penulis lain.