Budaya, Rencana

Mencari seni di garisan landasan

TELEFON bimbit berbunyi. Ada pesanan ringkas diterima masuk. Saya tersenyum. Nama Neldy tertera pada skrin.

Saya mengenalinya sewaktu di Sandakan beberapa bulan lepas untuk suatu acara. Dia banyak terlibat dalam penulisan terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan Suluk.

Saya mengaguminya kerana kesungguhan dalam mengangkat identitinya itu. Ia memang jarang dilakukan oleh orang lain kerana persepsi negatif terhadap kaum itu di Sabah.

Neldy memberitahu mengenai ‘Garisan Landasan Sabah 2015’. Ia kali kedua diadakan. Katanya, acara itu mengumpulkan jurufoto, pelukis, penulis dan sebagainya yang akan bersama-sama bergerak dari Kota Kinabalu ke Tenom dengan menaiki kereta api.

Sebagai pencinta kereta api, saya pantas bersetuju. Kebetulan beberapa beberapa hari lalu saya menghadiri forum ‘Seni Itu Hina?’ anjuran Kelab Sastera Mahasiswa, Universiti Malaysia Sabah.

Saya datang sebagai ahli panel. Lalu, mungkin pelawaan Neldy membolehkan saya mencari seni atau memahaminya dengan lebih baik. Apalagi, saya sebetulnya bukan orang seni, saya cuma orang yang menulis.

Saat tiba hari yang dinanti-nanti, saya sudah tidak sabar. Saya sudah berada di Stesen Kereta Api Tanjung Aru jam 6.45 lagi. Peserta memang diminta berada lebih awal supaya tidak ada
yang tertinggal kereta api.

Ia dijadual bertolak jam 7.30 pagi. Rombongan ini diikuti hampir 60 orang. Selain beberapa kenalan, saya tidak mengenali sesiapa langsung. Kebanyakan mereka daripada Persatuan Seni Visual Sabah, guru seni, pelajar seni dan lainnya.

Ada datang sejauh dari Kelantan. Saya yakin peserta bukan calang-calang orang terutama mereka yang berumur lebih tua. Mereka tentu berpengalaman luas.

Sebaik sahaja kereta api bergerak, peserta sudahpun bersiap dengan ‘senjata’ – pen, kertas, kamera dan sebagainya. Perjalanan ini harus digunakan dengan sebaik-baiknya untuk mencari inspirasi bagi karya masing-masing.

Pemandangan alam memang sangat membantu. Kami berkongsi gerabak dengan masyarakat tempatan dan boleh berbual dengan mereka untuk mendapatkan cerita. Saya difahamkan yang semua hasil karya peserta akan dibuku.

Di sinilah saya melihat seorang ibu gigih mendukung anaknya, seorang pak cik tua tertidur lena, seorang mak cik sayu memandang ke luar dan sebagainya. Kami juga ditemani dengan iringan muzik busker oleh ‘Dingin & Damai’.

Saya menggelar mereka sebagai ‘Payung Teduh’ versi Malaysia sebab  mereka banyak menyanyikan lagu daripada kumpulan itu. Malah, saya jamin, suara kedua-dua mereka yang begitu merdu pasti membuai sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Tak berubah wajah

Setelah dua jam perjalanan dan melalui sembilan stesen; Tanjung Aru, Putatan, Kinarut, Kawang, Papar, Kimanis, Bongawan, Membakut dan Beaufort, tepat jam 9.50 pagi kami akhirnya sampai di Pekan Beaufort.

Dari kiri, Franco, Cikgu Adzran, Saya, Tho Man, Kak Siti & Cikgu RamliKami harus transit di sini sebelum meneruskan perjalanan jam 12.30 tengah hari. Justeru, peluang ini digunakan untuk berjalan-jalan di sekitar pekan untuk memperoleh ilham, melukis, menggambar atau apa sahaja.

Di luar Stesen Beaufort, ada satu pondok yang hangus dan ada kesan kebakaran. Saya tidak tahu pondok itu untuk apa? Namun, mengikut beberapa lelaki yang duduk di situ, mereka sudah meminta peruntukan untuk membina pondok baharu sejak September lalu tetapi tidak ada respons sehingga kini.

Mereka meminta kami untuk menghebahkan isu ini. Kata mereka lagi, ini zaman teknologi, kongsi dan sebar di Facebook barulah akan mendapat perhatian. Saya menyiakan sambil memerhati rakan lain sibuk mengambil foto.

Saya sendiri sudah lama tidak ke sini.

Kali terakhir mungkin ketika berusia belasan tahun. Pekan kecil ini masih tidak berubah wajah. Meskipun ramai menganggap deretan kedai lama hanyalah menggambarkan kemuraman dan kedaifan tetapi saya senang melihat masih wujud kedai-kedai papan dan utuh dengan konservatifnya.

Tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Panggilah ia sebagai ‘pekan koboi’ sekalipun, yang penting, ia tidak boleh dibandingkan dengan kehirukan kota batu. Saat kita mahu lari mendapatkan kedamaian di sebalik kehijauan dan suasana yang tenang, pekan seperti Beaufort inilah yang akan
dicari-cari.

Masih ada lima stesen yang harus dilalui sebelum tiba di Pekan Tenom, destinasi tujuan sebenarnya. Stesen-stesen itu adalah Saliwangan, Halogilat, Rayoh, Pangi dan Tenom. Tetapi, ketika di Stesen Saliwangan, kami terpaksa menunggu lama.

Mungkin ada kerosakan. Petugas kereta api sibuk membaiki kereta api dalam cuaca terik. Suasana di dalam dan luar kereta api memang panas. Tanpa pendingin hawa dan kerusi yang empuk, perjalanan juga adalah cukup meletihkan.

Bahkan, dengan keadaan gerabak dan landasan sebegini, saya baru faham mengapa pernah terjadi kemalangan kereta api. Tetapi, saya kira, kereta api yang mungkin berusia dalam 30 tahun lebih ini, adalah suatu nikmat yang harus dirasai semua orang.

Apatah lagi kereta api ini melintasi Sungai Padas yang diapit kehijauan pohon dan bukit. Ia memberi pengalaman membekaskan. Bahkan, harus diingat, pengangkutan seperti kereta api ini adalah rencam kehidupan dan yang satu-satunya membawa penduduk keluar dari pedalaman.

Ilham seni

Kami ke Taman Pertanian di Lagud Seberang pada hari kedua. Saat sampai di tempat ini, kantuk terus hilang. Tiba-tiba ilham mudah datang. Lebih-lebih lagi melihat peserta lain asyik dengan seni
mereka.

Taman Pertanian Sabah, Lagud SeberangPemandangan ini menenangkan. Masing-masing mengambil tempat – ada duduk di tepi tasik, berbaring di buaian, meronda-ronda taman dan sebagainya. Saya dan beberapa orang rakan duduk di sebuah pondok di sebelah tasik.

Kumpulan kami ada ramai senior yang hebat dalam bidang masing-masing seperti Cikgu Adzran, Tho Man, Franco, Cikgu Ramli dan lain-lain. Sayang sekali program ini lebih banyak tertumpu pada
seni lukis.

Mereka yang sudah lama dalam bidang ini boleh membimbing orang-orang yang baru berjinak. Namun, sebagai orang yang hanya tahu menulis, saya sedikit hilang arah. Saya mendengar sahaja petua-petua melukis yang diberikan mereka. Mungkin satu hari nanti saya akan melukis pula.

Mujur ada rakan-rakan penulis yang hadir. Kami berkongsi hal-hal seputar penulisan puisi. Mungkin juga program ini pada tahun hadapan boleh diisi dengan bengkel khusus untuk penulisan, lukisan dan fotografi.

Saya sempat menghasilkan sebuah puisi di sini.

Kami kemudian ke Kilang Kopi Tenom Yit Foh pada sebelah petang. Kopi dan seni memang adalah kesatuan yang tidak boleh dipisah. Seni tanpa kopi itu akan jadi kosong. Minum kopi tanpa berseni juga sesuatu yang mustahil.

Persembahan Busking oleh Dingin & Damai, dan Puisi oleh Sifu Fuad dan Cikgu Ramli di Gerai Kak Sal, Pekan TenomPada waktu malam, kami menyaksikan busking‘ ‘Dingin & Damai’ dan Haidar. Sifu Fuad dan Cikgu Ramli juga mempersembah nyanyian puisi. Seni pertunjukan mereka amat hebat. Saya rasa kerdil berada dalam kalangan para seniman ini, terasa tidak layak berada di sini.

Persembahan sama juga dilakukan mereka pada malam ketiga iaitu ketika perasmian penutupan. Ia dihadiri oleh wakil daripada Balai Seni Lukis Negara, Tourism Malaysia (Sabah), Fakulti Kemanusiaan, Seni & Warisan (UMS), Senator Datuk Lucas Umbul dan sebagainya.

Malah, ia diseri dengan deklamasi puisi yang indah oleh Siti Zainon Ismail. Saya juga sempat membaca puisi saya yang berjudul ‘Satu’ – terhasil ketika perjalanan kereta api ke Tenom.

Lantas, sepanjang dan setelah program ini, apakah yang saya peroleh? Adakah saya dapat mencari seni di garisan landasan?

Sejujurnya, ia menimbulkan pelbagai rasa pada diri saya. Saya balik dengan seribu macam perkara dalam fikiran. Apabila melihat kesederhanaan masyarakat tempatan, kita lupa itulah seni kehidupan.

Apabila memandang wajah penyair bernyanyi, kita tidak tahu itukah seni bercinta? Apabila melihat aksi aktivis menegakkan kebenaran, kita tidak sedar itulah seni perlawanan. Seni itu tidak boleh berpisah daripada kebenaran.

Seni itu harus menjadi alat menyampaikan hakikat. Bukan sekadar mengungkap keindahan atau memberi warna pada benda-benda. Kita tidak perlu bersusah-susah untuk mencari kata-kata terbaik untuk membuat puisi, tidak harus pening memikirkan bagaimana mahu melukis, dan tidak payah mencari sudut terbaik ketika menggambar.

Sedang Tuhan itu maha seniman, seni itu daripada dalam hati dan jiwa manusia, seni itu sudah hina. Seperti kata Deidara Naruto, seni itu adalah ledakan, adalah sesuatu yang rapuh, yang menghilang dalam sekejap…

________________

* Sharifah Nursyahidah ialah anak muda kelahiran Sabah yang giat mengembara, kerap terlibat dalam aktiviti seni dan kemasyarakatan selain menulis di The KL Review.