Rencana

Kekerapan penculikan akibat persekongkolan ‘orang dalam’?

KERAJAAN Malaysia perlu segera menjalankan siasatan dan membanteras ‘orang dalam’ yang dilihat menjadi punca ‘kejayaan penculikan’ setiap kali berlakunya insiden tersebut. Ini bukanlah dakwaan kosong semata-mata.

Saya merujuk laporan Bernama Mei lalu yang melaporkan pendedahan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang mendedahkan wujud kemungkinan besar penglibatan ‘orang dalam’ dalam penculikan dua warga Malaysia di restoran Ocean King Sandakan.

Insiden penculikan di Restoran Ocean King, Sandakan pada 14 Mei lalu berlaku di lokasi tidak diduga kerana bukan dalam ‘kawasan panas’ yang dipantau Pasukan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom), malah penculik seperti tahu mangsa sasarannya.

Adakah ‘orang dalam’ bersekongkol untuk mendapat habuan wang tebusan yang bakal diperoleh kelak?

Kini, segalanya telah terlambat, walaupun salah seorang mangsa, Thien Nyuk Fun dibebaskan penculik tetapi seorang lagi, Bernard Ghen Ted Fen dari Sarawak dibunuh dengan kejam.

DAP Sabah mengucapkan takziah dan bersedih atas pembunuhan Bernard yang dilapor dipancung. Insiden itu memang menggemparkan dan memalukan kerajaan Malaysia kerana dilihat gagal menangani isu pencerobohan asing yang kerap dilaporkan sekian lama. Lebih mendukacitakan jika ia melibatkan ‘orang dalam’.

Bukan yang pertama

Penculikan dan pembunuhan rakyat Malaysia oleh pengganas dari negara jiran bukanlah yang pertama.

pencerobohan lahad datuPencerobohan Lahad Datu mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia dalam Ops Daulat pada Februari 2013. Pada Julai 2014 pula, seorang anggota marin, Koperal Ab Rajah Jamuan dibunuh dalam serangan hendap di Pulau Mabul manakala Lans Koperal, Zakiah Aliep diculik kumpulan bersenjata di sebuah pulau peranginan sekitar Pantai Timur Sabah.

Mengimbas kembali tahun 2000, seramai 21 tebusan pelancong asing diculik di Pulau Sipadan Sabah, kemudian disusuli insiden sama di Pulau Pom Pom dan Pulau Singamata.

Insiden pencerobohan, penculikan dan pembunuhan itu berlaku dalam tempoh masa yang dekat antara satu sama lain. Kerajaan kemudian melalui Jabatan Perdana Menteri dilihat begitu bersungguh-sungguh meningkatkan keselamatan Pantai Timur Sabah dengan menubuh ESSCom dan menyalurkan peruntukan yang banyak.

ESSCom dengan peruntukan hampir RM700 juta bertanggungjawab menjaga keselamatan pantai timur Sabah. Dalam Bajet 2016 yang dibentang Perdana Menteri baru-baru ini, ESSCom mendapat peruntukan lebih RM16.4 juta bagi anggaran perbelanjaan bagi tahun hadapan, 2016.

Komitmen politik

Sebagai warga Sabah, terima kasih atas kesungguhan kerajaan menubuh pasukan keselamatan bagi menjamin keselamatan Sabah khususnya di pantai timur Sabah.

Namun, adakah isu keselamatan Sabah dapat diselesaikan dengan baik tanpa kesungguhan politik kerajaan? Kebarangkalian insiden pencerobohan, penculikan dan sebagainya untuk berulang adalah besar jika kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah tidak dibendung. Lebih menyedihkan, kita didedahkan dengan kewujudan projek kad pengenalan (IC).

Tanpa menguruskan isu pendatang tanpa izin dengan baik, saya percaya pencerobohan dan penculikan lebih mudah berlaku.

Sebagimana yang kita maklum, tragedi berdarah pencerobohan Lahad Datu diketuai ‘rakyat’ Malaysia iaitu Azzimuddie Kiram yang dikenali sebagai Raja Muda Sulu dan memiliki kad pengenalan warganegara Malaysia, malah pernah berkhidmat sebagai penjawat awam pada 1 Mac 1974 sebagai Pegawai Pentadbir Muda (ADO) di Pejabat Daerah Kudat.

projek ic sabahAdakah pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah menjadi lebih mudah kerana ramai pendatang tanpa izin yang tidak terkawal? Lebih menakutkan, pendatang tanpa izin mudah memperoleh IC dan tambah malang lagi apabila ‘projek IC’ seperti pendedahan Laporan Suruhanjjaya Diraja (RCI) Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah bertujuan politik?

Rentetan itu, kita perlu memberi perhatian terhadap rangkaian militan antarabangsa Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS). Tidak syak lagi, Sabah berhadapan dengan ancaman lebih besar apabila kumpulan militan Abu Sayyaf mengisytihar sokongan mereka kepada ISIS.

Gejala ‘orang dalam’ yang mungkin dimotivasi elemen rasuah sama ada melibatkan rakyat Malaysia, pasukan keselamatan mahupun pendatang tanpa izin perlu diberi perhatian tegas.

Saya mengharapkan suatu tindakan kerajaan tanpa bias dan diskriminasi untuk mengatasi perkara itu demi masa depan Sabah dan Malaysia yang selamat, maju dan harmoni.

 

* Jimmy Wong Sze Phin ialah Ahli Parlimen Kota Kinabali merangkap Pengerusi DAP Sabah