Rencana

Dari pencemaran kawasan tadahan kepada monopoli air Johor

JOHOR dikurnia dataran yang luas, pesisiran pantai yang panjang dan kaya dengan pelbagai sumber asli termasuk sumber air yang lumayan.

Terdapat 10 lembangan sungai utama di Johor termasuk Sungai Johor, Sungai Muar,Sungai Kesang, Sungai Batu Pahat, Sungai Pontian, Sungai Benut, Sungai Pulai, Sungai Sedili Besar, Sungai Mersing dan Sungai Endau.

Tidak kurang yang menjadi sumber air atau berpotensi dijadikan sumber air untuk dibekal kepada pengguna. Padahal, Sungai Johor menjadi sumber air utama di sekitar Johor Bahru yang kini pesat membangun.

Sebanyak 13 kawasan tadahan air seluas lebih kurang 409 km persegi menjadi sumber air utama di Johor yang diwarta sebagai kawasan tadahan air. Bagaimanapun, pewartaan itu tidak mencukupi jika dibandingkan keluasan keseluruhan untuk 15 empangan yang meliputi keluasan 922.36 km persegi.

Ini belum termasuk kawasan tadahan air yang sepatutnya jauh lebih luas memandangkan ada 45 tempat pengambilan air bagi 45 loji rawatan air yang harus dipelihara kawasan tadahan airnya.

2015-11-15 19.43.09Baru-baru ini, sebahagian besar penduduk Johor Bahru mengalami krisis bekalan air yang serius sehingga terpaksa melaksanakan catuan air di kawasan terjejas sejak tiga bulan lalu dan masih diteruskan sehingga sekarang.

Punca utama berlakunya krisis air kali ini ialah paras air yang rendah sehingga berada di bawah paras kritikal di dua empangan utama iaitu Empangan Sungai Layang dan Empangan Sungai Lebam.

Walaupun musim kering berpanjangan antara punca menyebabkan paras air di kedua-dua empangan itu menyusut mendadak, kawasan tadahan air yang tidak terpelihara antara punca utama yang perlu diberi penekanan.

Pemeliharaan kawasan tadahan air harus menjadi keutamaan Kerajaan Johor untuk memastikan kemapanan sumber air di negeri itu. Kawasan tadahan air harus diwarta menjadikan kawasan larangan demi memastikan sumber air bebas dari sebarang bentuk pencemaran.

Keadaan yang ideal ialah kawasan tadahan sumber air haruslah seboleh-bolehnya dikekal sebagai hutan semula jadi untuk memelihara sumber air yang selamat dan bersih.

Bagaimanapun, masih ada pencerohan kawasan tadahan air yang harus diberikan perhatian serius. Pelbagai aktiviti manusia khasnya pertanian dan perindustrian boleh mencemar sumber air dan memusnahkan ekosistem hutan.

Ia sedang atau dibenar berlangsung dalam kawasan tadahan di beberapa sumber air utama seperti Empangan Sembrong, Macap dan Empangan Sungai Layang serta Sungai Lebam yang bermasalah baru-baru ini.

Ekoran pewartaan Enakmen Air 1921 (Pindaan 2012) kerajaan harus menguat kuasa enakmen itu untuk meningkatkan usaha pemelihara sumber air di Johor.

Langkah-langkah berkesan perlu dijalankan untuk memulihara tanah-tanah dalam kawasan tadahan air yang dimusnahkan sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

Kerajaan harus menggunakan pelbagai cara termasuk mengambil balik tanah yang diceroboh dengan pampasan munasabah atau tanpa pampasan mengikut kesesuaian kes, mendenda atau mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar arahan atau meneruskan aktiviti pencerobohan mereka.

Monopoli bekalan air

Syarikat Air Johor Sdn Bhd (SAJ) adalah syarikat konsesi yang memonopoli industri perkhidmatan bekalan air di Johor dan mencatatkan keuntungan berpuluh-puluh juta ringgit setiap tahun.

SAJ-01Dengan kadar keuntungan lapan hingga 20 peratus, SAJ mencatatkan keuntungan terlampau tinggi kerana ia suatu perniagaan monopoli yang mengakibatkan rakyat atau pengguna tidak ada pilihan alternatif selain SAJ.

Pada masa sama, perkhidmatan pembekalan air terawat tidak harus dilihat sebagai suatu perniagaan berorientasi keuntungan. Oleh demikian, kadar keuntungan syarikat pembekal air terawat tidak harusa terlalu tinggi dan perlu dihad kepada enam peratus setiap tahun.

Keuntungan melebihi enam peratus harus diberi kepada Kerajaan Johor untuk digunakan dalam perbelanjaan pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan tadahan air bagi menjamin keselamatan dan kebersihan sumber air mentah.

Air mentah yang lebih bersih sebenarnya juga menguntungkan syarikat kerana ia secara langsung mengurangkan kos rawatan air mentah, sekaligus menambahkan keuntungan yang mungkin diperoleh syarikat air di samping mengurangkan beban pengguna.
Kadar air tidak berhasil

Walaupun kadar air tidak berhasil (NRW) di Johor antara paling rendah berbanding negeri lain, NRW itu masih pada tahap tidak memuaskan. Bagi tiga tahun kebelakangan ini, kadar NRW di negera kekal pada kadar sekitar 25 hingga 26 peratus – jauh lebih tinggi berbanding kadar 15 peratus bagi piawai negara maju.

Apabila berbangga dengan pencapaian yang sekadar ‘jaguh kampung’ dan menggelar diri sebagai ‘negara membangun’ yang akan mencapai tahap ‘negara maju’ dalam lima ahun lagi, kadar NRW membuktikan, kita sebenarnya masih jauh dari piawai negara maju.

Kadar NRW yang tinggi bukan sahaja memalukan kerana keberkesanan pengurusan sumber air yang rendah, malah mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Kita kehilangan lebih 400,000 m3 (400 juta liter) air terawat setiap hari. Pada kadar domestik terendah iaitu 60 sen untuk satu meter padu air, setiap hari SAJ hilang RM255,600 bersamaan lebih RM93 juta setahun.

Kerugian sebenar tentu jauh lebih tinggi kerana jumlah itu berdasarkan kadar tarif paling minimum iaitu kadar domestik paling rendah. Jumlah itu dijangka melambung lebih tinggi ekoran kenaikan tarif air berkuat kuasa mulai 1 Ogos tahun ini.

Kerajaan Johor mahupun SAJ harus meletakkan penurunan kadar NRW sebagai teras utama bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pembekalan air di Johor. Ini demikian kerana air adalah sumber alam yang begitu penting dan berharga.

Pada masa sama, penurunan kadar NRW akan meningkatkan hasil SAJ dan secara tidak langsung mengurangkan beban pengguna.

Kerajaan Johor dan SAJ harus menetapkan sasaran untuk menurunkan kadar NRW di bawah 20 peratus dalam masa terdekat dan kurang 15 peratus menjelang 2020.

Pelan kecemasan

Hampir setiap tahun penduduk sekitar Kluang dihantui masalah gangguan bekalan air yang kadang-kala terpaksa melaksanakan catuan air. Keadaan itu belum dapat diselesaikan walaupun beberapa tahun perkara sama berulang-ulang berlaku.

Baru-baru ini, masalah sama menghantui sebahagian besar penduduk Johor Bahru. Catuan air di sekitar Pasir Gudang masuk bulan keempat dan pihak berkaitan belum memberi penyelesaian berkesan bagi menangani masalah itu.

sajKami mencadangkan supaya Kerajaan Johor dan SAJ Holdings Sdn Bhd menyediakan pelan kecemasan (contingency) berkesan untuk menghadapi segala krisis yang mungkin berlaku.

Mengikut pemerhatian, hampir setiap tahun keadaan iklim di negara tidak menunjukkan perubahan ketara dan Jabatan Meteologi dari semasa ke semasa membuat anggaran perubahan iklim yang mungkin berlaku.

Justeru, Kerajaan Johor dan SAJ tidak harus menggunakan perubahan iklim sebagai alasan untuk mengabai tanggungjawab dalam memastikan bekalan air tidak terganggu dan dapat disalur kepada pengguna. Namun, mereka haruslah menyediakan pelan kecemasan untuk  menghadapi segala kemungkinan.

Pengurusan mapan

Penggunaan air per kapita di Johor mencatat 220 liter per kapita sehari, terlalu tinggi berbanding kebanyakan negara maju seperti 151 liter per kapita sehari di Singapura. Kerajaan harus menggunakan sasaran sebagai panduan untuk menurunkan kadar penggunaan air per kapita di Johor.

Untuk itu, pengurusan keperluan harus dijalankan untuk menurunkan kadar penggunaan per kapita di Johor. Pengurusan keperluan harus dijalankan secara proaktif tetapi bukan sekadar menjalan kempen kesedaran dengan mengedar risalah sahaja.

Insentif dan pelbagai penggalakan perlu diberi untuk menggalakkan pengguna menggunakan air secara berjimat-cermat.

Mungkin nampak bercanggahan dengan objektif SAJ yang mendapat keuntungan daripada penggunaan air. Dengan kata lain, SAJ akan mendapat keuntungan lebih besar jika pengguna menggunakan air yang lebih.

Bagaimanapun, Kerajaan Johor dan SAJ harus berpandang jauh dan sedar bahawa pengurusan yang berkesan dapat menjamin kemapanan industri bekalan air. Kesimpulan, tiga langkah ini perlu dilakukan segara.

1. Kerajaan Johor harus menguatkuasa Enakmen Air 1921 (Pindaan 2012) pada kadar segera bagi memastikan kawasan tadahan air sentiasa terpelihara.

2. Keuntungan syarikat air haruslah dihad dan lebihan keuntungan digunakan untuk pemeliharaan sumber air.

3. Keberkesanan syarikat air wajib ditingkatkan bagi mengurangkan pembaziran dan menggalakkan penjimatan penggunaan air.

 

* Tan Hong Pin ialah Adun Mengkibol