Berita

Kesan sikap berkecuali dalam PORR berbeza projek tebus guna tanah

PULAU PINANG 24 NOV: Mengambil sikap berkecuali dalam proses pengundian usul sesebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap sesuatu isu perlu diperhalusi mengikut senario semasa.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata projek tebus guna dengan projek Lingkaran Jalan Luar Pulau Pinang (PORR) yang mendorong dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) MCA bersikap berkecuali pada 2002, berbeza senarionya.

Ia berikutan, katanya dua Adun itu membantah projek Lingkaran Jalan Luar Pulau Pinang (PORR) bernilai RM1 bilion yang dicadangkan Kerajaan BN sendiri dan belum dimuktamad, sedangkan projek tebus guna tanah sudah diluluskan dan dimuktamad oleh BN.

“Tindakan menyokong usul UMNO atau mengambil sikap berkecuali bererti membiarkan BN dan UMNO lepas dari tanggungjawab sedangkan merekalah yang sebenarnya gagal melindungi kepentingan orang awam.

“Mengapa perlu Kerajaan Pulau Pinang sekarang dipaksa membayar pampasan untuk tebus guna tanah yang bukan kami meluluskannya?” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas ulasan dalam Malaysiakini yang mempersoal tindakannya menyelar sikap berkecuali lima Adun PKR sedangkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang pernah meminta BN menghormati hak dua Adun MCA pada 2002.

Guan Eng juga menyifatkan usaha menyokong usul UMNO atau mengambil sikap berkecuali umpama memaksa Kerajaan Pulau Pinang membayar pampasan terhadap penangguhan projek titu, sekaligus terdedah kepada kemungkinan bankrap.

Katanya, kegagalan melindungi kepentingan Kerajaan Negeri daripada dipaksa membayar pampasan besar serta memilih untuk menyokong atau berkecuali dengan usul UMNO sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, usul UMNO supaya ditangguh projek tebus guna tanah yang diluluskan BN akan mengakibatkan pampasan perlu dibayar Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, bukannya BN.

Beliau juga kesal kerana tidak ada seorangpun daripada lima Adun PKR yang mengambil keputusan berkecuali, bangun untuk membahas usul itu, malah tidak memaklumkan Kerajaan Negeri atau mana-mana empat pemimpin utama PKR Pulau Pinang.

“Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak akan menyalahgunakan wang rakyat atas kesalahan BN terutama apabila tiada ganti rugi daripada Kerajaan Persekutuan apabila menangguh atau membatal projek tebus guna tanah,” katanya.