Berita

Perlombongan pasir antara punca pencemaran kawasan tadahan air Johor

JOHOR 24 NOV: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Pin mendesak Kerajaan Johor memberi keutamaan kepada usaha memulihara kawasan tadahan air yang tercemar teruk hingga menjejaskan bekalan air bersih.

Ia berikutan pencemaran itu didedah dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 tetapi tiada tindakan serius diambil mengakibatkan kawasan tadahan air terus tercemar hingga menggagalkan usaha pembenihan awan baru-baru ini.

Mengikut laporan itu, beliau berkata, aktiviti perlombongan pasir antara yang mencemar sumber air mentah di Sungai Johor sebagai antara sumber air utama di negeri ini tetapi ia masih berlaku hingga kini.

“Enam pengusaha melakukan beberapa masalah tetapi ada Pejabat Tanah Daerah meluluskan permohonan perlombongan walaupun tidak disokong Jabatan Pengairan dan Saliran atau Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Sejak tiga bulan lalu dan dijangka berlarutan beberapa bulan lagi, penduduk Johor berdepan krisis air berikutan paras air di kebanyakan empangan mencacat bacaan rendah manakala usaha pmbenihan awan pula gagal berikutan hujan berlaku di luar kawasan tadahan air berikutan pencemaran teruk.

tan_hong_pin-650x400Hong Pin berkata, pengusaha juga menceroboh kawasan tadahan air sehingga zon penampan atau rizab sungai dan menyebabkan kesan hakisan dan ketidakstabilan tebing, perubahan rejim dan persekitaran.

Katanya, ia lokasi perlombongan terletak di laluan bagi penakungan air di sebelah hilir dan kerosakan sungai, juga mengakibatkan penghadang aliran air berkurangan dan sumber air mentah terjejas.

Beliau berkata, pasir dilombong melebihi had dibenar tetapi aktiviti itu terus dilakukan menyebabkan perubahan bentuk muka bumi asal sungai sekaligus aliran sungai berubah dan mengakibatkan kerosakan tebing dan rizab sungai.

“Perlombongan itu boleh menyebabkan kemerosotan kualiti air dalam jangka panjang dan menjejaskan kesihatan pengguna. Usaha pemuliharaan kawasan tadahan air tercemar perlu dimulakan segera sebelum menjadi lebih teruk,” katanya.

Hong Pin kesal kerana perlombongan itu dibuat sebelum kelulusan diperoleh, malah melanggar syarat seperti pengorekan pasir di atas rizab sungai, air cucian dialir ke sungai tanpa melalui kolam enapan dan berlaku runtuhan tebing sungai.

“Pada masa sama, yang dipohon ialah pasir darat tetapi pasir sungai pula diusahakan,” katanya yang mahu Kerajaan Johor menguatkuasakan Enakmen Air 1921 (Pindaan 2014) serta merta.