Berita

Tangguh projek tebus guna BN boleh akibatkan Pulau Pinang bankrap

PULAU PINANG 24 NOV: Penangguhan projek tebus guna tanah Tanjung Pinang boleh menyebabkan Kerajaan Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan sehingga RM1 bilion seterusnya mengakibatkan bankrap.

Walaupun BN meluluskan 3,241 ekar tanah untuk tebus guna tanah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata hanya 744 ekar ditebus guna dan menangguhkannya boleh menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa membayar pampasan.

Beliau tidak mahu dikenang sebagai pemimpin yang membiarkan Kerajaan Pulau Pinang bankrap akibat membayar pampasan besar kerana menghenti projek tebus guna tanah yang diluluskan Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menguntungkan kroni mereka.

“Saya tidak dipilih rakyat untuk membiarkan Pulau Pinang menjadi bankrap. Lebih baik saya dikritik daripada dipuji, asalkan dapat memastikan Pulau Pinang tidak bankrap,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Isu projek itu menimbulkan keributan politik pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berikutan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu dari DAP mengundi usul UMNO manakala lima Adun PKR berkecuali.

Bagaimanapun, Yee Cheu kemudian mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada parti, malah rela dikenakan tindakan displin atas kesilapannya itu.

Guan Eng juga mengingatkan, Kerajaan Pulau Pinang ada pengalaman pahit apabila terpaksa membayar pampasan RM14.7 juta berikutan skandal tanah Tang Hak Ju yang berpunca akibat perbuatan kerajaan lama pimpinan BN.

Selain itu, katanya, pengalaman membayar pampasan RM20 juta kepada Boustead Holdings Bhd kerana mengurangkan ketinggian hotelnya di Georgetown yang diluluskan kerajaan BN, daripada 12 tingkat kepada 5 tingkat.

Guan Eng kesal kerana Adun UMNO, Muhammad Farid Saad yang membawa usul tebus guna tanah itu, tidak menawar ganti rugi kepada Kerajaan Pulau Pinang jika projek itu ditangguh atau dibatal, malah tidak meminta maaf sedangkan beliau antara wakil Kerajaan BN yang meluluskan 3,241 ekar tanah itu, berbanding 60 ekar oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau juga terkejut kerana beberapa aktivis badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong usul itu tidak mempeduli fakta betapa tebus guna tanah itu diluluskan kerajaan BN dan tiada pampasan jika projek berkenaan ditangguh atau dibatal.

“Mereka buat-buat tidak nampak tentang ketiadaan pampasan dan ganti rugi daripada Kerajaan Pusat pimpinan BN jika tebus guna tanah ditangguh atau dibatal,” katanya.