Berita

Adun DAP ‘sakit hati’ lihat ibu mengandung angkut air catuan

JOHOR 25 NOV: Ahli Dewan Negeri (Adun) Johor Jaya, Liow Cai Tung berasa sakit hati menyaksikan warga emas dan ibu mengandung terpaksa mengangkut bekas air yang berat berikutan catuan empat bulan.

“Sakit hati apabila penduduk di kawasan saya terpaksa menanggung kesulitan bekalan air berjadual selama empat bulan. Semasa melawat ke rumah mereka, pelbagai masalah dihadapi. Macam mana suruh warga emas, ibu menggandung ambil air yang berat.

“Ada yang sakit badan, ada ibu menggandung hampir mengalami pendarahan akibat mengangkat bakul air yang berat kerana suaminya hanya balik kerja pada waktu malam,” katanya pada perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, semalam.

Liow Cai TungJusteru, Cai Tung berkata, Kerajaan Johor wajar memberi pampasan atau rebat tarif air kerana mereka tidak dapat menikmati perkhidmatan bekalan air seperti biasa iaitu hanya 10 hari dalam sebulan.

“Sebagai cadangan, membayar pampasan RM100 setiap isi rumah secara keseluruhan atau rebat tarif air dengan mengambil kira purata tarif air yang lepas. Pampasan atau rebat tarif air membantu kos pembelian takungan air,” katanya.

Beliau kesal kerana tarif air di Johor paling mahal berbanding negeri lain, malah dinaikkan pada Ogos lalu sedangkan sebahagian kawasan menghadapi bekalan air berjadual melibatkan 97,000 unit isi rumah iaitu hampir 500,000 pengguna.