Berita

Beri kemudahan kepada Adun, iktiraf peranan ketua pembangkang

JOHOR 25 NOV: Ahli Dewan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Pin menggariskan empat langkah bagi memperkasa Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk mengiktiraf peranan ketua pembangkang.

Menegaskan fungsi DUN sebagai badan perundangan dapat memainkan peranan semak dan imbang (check and balance) ke atas badan eksekutif. beliau berkata, pengiktirafan itu perlu berdasarkan tradisi sistem Westminster dengan memberi segala kemudahan sewajar.

Katanya, tempoh sesi soal jawab pada setiap persidangan perlu diperbanyak supaya pelbagai isu rakyat dapat dibincang, selain menyediakan sekurang-kurangnya masing-masing seorang pembantu dan penyelidik kepada Adun.

“Selain itu, menubuh Jawatankuasa Terpilih terdiri daripada Adun pembangkang dan backbencher mengikut nisbah kerusi untuk membincang, mencadang dan meneliti dasar di Johor.

“DUN juga perlu memanfaat peringkat jawatankuasa dalam proses perbahasan rang undang-undang supaya sesuatu rang undang-undang dapat diteliti dan mutu perbahasan ditingkat,” katanya, menambah siaran langsung sidang juga digiatkan lagi.