Berita

Gugur tuduhan skandal NFC, Peguam Negara patut beri penjelasan

KUALA LUMPUR 25 NOV: Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali perlu memberi penjelasan terbuka mengenai keputusan menggugurkan pendakwaan terhadap Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.

Sedangkan, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menolak cubaan Salleh untuk menggugurkan pendakwaan terhadapnya.

“Dengan menggugurkan pendakwaan itu, adakah Apandi mahu menunjukkan bahawa Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak melakukan kerja dengan baik dan tersilap mendakwa Salleh?

“Pihak pendakwaan juga tidak membantah tawaran untuk Salleh dibebas. Adakah Apandi bersetuju untuk memberi Salleh pembebasan? Apakah alasan untuk berbuat demikian?” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Salleh dikenakan dua tuduhan pecah amanah dan dua tuduhan melanggar Akta Syarikat 1965 pada Mac 2013 tetapi dibebas semalam selepas Pejabat Peguam Negara menggugurkan semua pertuduhan selepas peguam belanya membuat permohonan.

Pada 12 Mac 2012, Salleh, 66, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah RM9,758,140 melalui empat cek NFCorp untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium di kompleks One Menerung di Kuala Lumpur.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.

Salleh juga dituduh melakukan kesalahan sama dengan memindahkan RM40 juta melalui satu cek, antara 6 Mei dan 16 Nov, 2009, ke akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd yang beliau dan seorang anaknya adalah pemilik syarikat.

Nie Ching berkata, Apandi juga perlu memberi penjelasan sama ada tindakan undang-undang diambil terhadap NFC bagi memperoleh semula pinjaman RM250 juta kerana syarikat itu sepatutnya membayar semula jumlah itu dari 2012 hingga 2028.

“Bagaimanapun, NFC hanya mampu mengeluarkan RM34.98 juta sebagai bayaran balik pada 2012 dan 2013.

Nie Ching mengingatkan Apandi sebagai Peguam Negara bertanggungjawab kepada semua rakyat untuk memastikan semua penjenayah dihukum sewajarnya dan wang pembayar cukai dilindungi.

“Dengan membebaskan Sallah, Apandi pada dasarnya mengatakan tidak ada pesalah dalam skandal NFC. Dan bagaimana pula dengan wang pembayar cukai? Adakah ada harapan untuk mendapatkannya semula?