Berita

Agenda tersorok ‘mesyuarat dalam kelambu’ Perhimpunan Agung UMNO

KUALA LUMPUR 26 NOV: Ahli Parlimen Segambut, Lip Lim Eng menyeru perwakilan UMNO yang tidak bersetuju dengan ‘mesyuarat dalam kelambu’ pada Perhimpunan Agung parti itu disaran supaya membuat rakaman sebagai tanda protes.

Katanya, rakaman video, suara, gambar dan sebagainya itu boleh diberi kepada media sekaligus selain mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan individu atau puak tertentu dalam UMNO.

Beliau percaya banyak isu sensitif yang mahu dirahsia dari pengetahuan umum berikutan pemimpin tertentu parti itu terdesak mahu menyorokkan mesyuarat agung mereka yang lazimnya mendapat liputan meluas media massa.

“Mesyuarat agung tahunan sesebuah parti politik harus dijalankan secara telus dan terbuka serta membenarkan liputan media. Ini kerana agenda sesebuah parti politik bertunjangkan kepentingan orang ramai.

“Kecualilah kalau ada agenda yang mahu disorok daripada pengetahuan awam,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sedang mempertimbang untuk membuat sekatan media pada perhimpunan Agung Umno atas alasan kononnya portal berita dalam talian cenderung memutar belit berita.

Lip EngJusteru, Lim Eng berkata, keputusan parti pemerintah seperti UMNO mengadakan mesyuarat dalam kelambu sekaligus tersorok dari pandangan rakyat yang ditadbirnya, sangat aneh.

Beliau juga menyifatkan ia dibuat berikutan agenda perhimpunan itu kali ini berkait hal ehwal kepentingan keluarga dan kroni UMNO, bukannya soal kepentingan negara dan orang Melayu yang kononnya diperjuang parti itu.

Beliau juga tertanya-tanya sama ada duta asing dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lazimnya lain dijemput ke perhimpunan itu, dpelawa atau sebaliknya serta sama ada mereka juga dikenakan ‘gag order’.