Rencana, Sastera

CERPEN: Berita dari angin

ANGIN sedikit kencang sebelum Subuh telah memasuki ruang kamarku menerbangkan langsir putih dan mengenai wajahku sedikit. Namun, bukan itu sebabnya yang membuat aku sedikit terganggu pagi ini. Ada sesuatu yang lebih berat dan hebat daripada langsir putih iaitu angin selalu sahaja membawa kenangan tentang engkau.

Betapa aku cuba melenyapkan hal-hal tentang engkau. Semakin cuba untuk dilupa, semakin kerap pula wajah engkau menjelma. Aku menarik nafas dalam-dalam ke rongga jiwa yang sesak dengan cerita yang terpendam.

Beberapa tahun lalu sewaktu aku masih seorang gadis memegang buku-buku kuliah dan engkau seorang lelaki kurang keyakinan diri yang kita secara tak sengaja terjumpa kerana tertukar buku nota yang berwajah serupa. Engkau bertuah kerana buku kecil berwarna coklat itu aku gunakan untuk mencatat ulasan pensyarah dalam kelas politik.

Tetapi, aku mungkin lebih bertuah kerana terambil buku berwarna coklat milik engkau yang mencatat luahan hati. Malam itu aku telah membacanya berulang kali. Catatan lelaki yang penuh mimpi.

Esoknya, aku kembali lagi ke perpustakaan tetapi engkau sudah menunggu di hadapan. Wajah engkau sedikit gusar dengan tangan kanan memegang karya Jostein Gaarder dan tangan kiri engkau memegang buku nota coklat kepunyaanku. Mata engkau menerawang sedari tadi mungkin berharap kalau-kalau ada sesiapa yang akan berhenti memulangkan kembali buku nota milik engkau itu.

“Jadi bagaimana perasaan ketika Socrates meminum racun hemlock?” Aku berdiri di hadapan engkau mengeluarkan buku nota coklat itu langsung menghulur pada engkau. Engkau sedikit terkejut dan cepat engkau menyambar buku itu daripada genggamanku. Engkau pun memulangkan kembali buku nota milikku.

“Seperti aku pula yang meminum hemlock ketika buku ini hilang semalam.” Engkau tersengih kecil di hujung bicara menampakkan gigi putih yang tersusun.

“Socrates tidak pernah menulis apapun sepanjang hayatnya. Tetapi namanya boleh abadi sampai hari ini. Mungkin engkau pun boleh sahaja hidup jika kehilangan catatan selepas ini. Maaf, diari itu sudah beberapa kali tanpa izin aku khatami.” Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Menandakan aku berasa kesal dengan tindakan sendiri.

“Aku tak punya anak murid seperti Plato yang akan menulis untukku. Maaf juga, aku membaca catatan engkau mengenai Qadi Iyad dan zaman kegemilangan Andalus.” Kini giliran aku pula bungkam. Kita berdua sama-sama terdiam sebelum masing-masing membawa haluan.

Apa yang lebih menghairankan kita sama-sama saling tidak bertanya nama.

Diskusi

Aku rajin iseng-iseng ke siri diskusi yang akan membincangkan apa-apa sahaja tentang idea, perspektif pelbagai segi untuk isu terkini. Biasanya pada sebelah petang ketika sesi kuliah sudah selesai. Sesekali membincangkan kembali falsafah Hegel, Marx dan doktin Lenin dan Stalin. Atau mereka membincangkan kembali hal-hal seperti kebebasan bersuara dalam media.

Maka terjungkir kembali fakta mengenai Jyllands-Posten menyiarkan 12 lakaran menghina Rasulullah. Ketika itulah aku terpandang sosok lelaki kurus tinggi duduk paling kiri mengangkat tangan bertanya soalan tentang undang-undang dan hukuman menghina agama di barat sambil membacakan patah kata dari Bible.

“Shall surely be put to death.”

“Bayangkan di Barat penghinaan terhadap agama telah menjadi tersangat hebat. John William Gott misalnya telah dihukum penjara kerana membandingkan Jesus dengan badut. Kemudian penghinaan ini dilakonlayarkan seperti filem Jerry Springer-The Opera sehingga menyebabkan beberapa pertubuhan gereja berdemonstrasi membangkang babak Jesus memakai lampin dan berkata I am A Bit Gay.” Dia menambah fakta.

“Bukan Barat sahaja. Sarawak Tribune juga telah menyiarkan penghinaan sebanyak dua kali.” Ada suara menambah.

Usai diskusi siri itu sebelum aku buru-buru mengangkat beg, mengemas buku bersiap pulang. Engkau datang berdiri di depan aku.

“Aku terlupa mengucap terima kasih tempoh hari.” Aku cukup tidak tahu harus beri reaksi seperti apa kepada orang yang datang dan mengucapkan terima kasih. Aku merasakan ucapan ‘sama-sama’ bukan jawapannya. Seharusnya jawapannya berbeza. Seperti ‘Kasih diterima’ atau ‘Kasih dipertimbangkan.’

Namun, waktu itu aku hanya memilih diam, senyum dan mengangguk sedikit. Kita pun saling memperkenalkan nama sebelum engkau meminta aku menerangkan lebih tentang karya Qadi Iyad, Asy-Syifa dan pelaksanaan Convivensia atau sebuah dialog peradaban yang wujud waktu itu.

Ketika itulah aku berasa sepatutnya sudah lama kita saling bersapa. Mengapa sesi diskusi kali itu baru aku tersedar engkau telah lama ada?

Kopi

Setelah kita bersetuju berborak panjang maka kita langsung memesan kopi.

“Berbeza pendapat itu bagus. Yang kurang bagusnya kita saling memenangi ego.” Kata aku.

“Perdebatan memang tujuannya untuk menang.” Engkau menghirup kopi putih. Barangkali kegemaran engkau sejak dulu.

“Apa-apa perdebatan tujuannya haruslah lebih besar daripada itu, kawan. Tujuannya haruslah mencari kebenaran bukan memenangi keegoan” aku menambah.

“Jadi bagaimana sebuah perdebatan tanpa keegoan?” Engkau merenung ke mata aku menagih jawapan. Aku menarik nafas perlahan.

“Pertama haruslah menerima keterbukaan. Menjadi ekstremis tidak akan menjadikan kita seorang pemenang tetapi seorang kecundang. Tidak kiralah ekstremis terhadap individu atau parti politik atau sebuah fahaman. Bahkan ekstremis terhadap pendapat sendiri pun tidak boleh.”

Engkau tidak berkata apa-apa. Aku faham benar itu tandanya engkau sedang larut dalam fikiran engkau menimbang baik, buruh, kuat, rapuh pendapatku.

“Bukankah tanda orang intelek fikirannya adalah dia akan semakin merendah hati? Mahupun dia seorang ustaz, guru, atau seorang pensyarah, atau seorang menteri yang punyai status sosial yang tinggi. Kerendahan hati yang akan menjadikan kita tinggi.” aku menambah lagi tanpa disuruhnya.

“Jadi untuk si penghina Islam lalu apabila kita berdebat dengannya mestilah kita mahu menang, bukan? Apa itu juga dikira memenangi ego?” Engkau akhirnya bersuara.

“Bukankah Islam itu kebenaran? Memenangkan Islam umpama memenangkan kebenaran.” Aku menambah. Kita sama-sama terdiam.

“Melur, bagaimana kalau suatu masa nanti aku menjadi seorang pemimpin?” Engkau meletakkan cawan. Menunduk.

“Silakan. Untuk engkau yang berperibadi begini, engkau tak sesuai menjadi orang biasa-biasa. Orang yang berjiwa besar seperti engkau harus berada di depan. Siapa pun engkau nanti, kita tetap seorang kawan yang saling mendoakan.” Engkau mengangkat wajah. Aku memberi senyuman meyakinkan.

Semenjak itulah aku lihat engkau sudah berubah menjadi seorang yang berani bercakap di khalayak. Sesekali engkau tiada di sesi diskusi kerana mesyuarat terlalu banyak untuk engkau hadiri. Aku juga jarang-jarang terserempak dengan engkau di perpustakaan kerana banyak hal ehwal kampus yang perlu kaulunaskan.

Kita sudah jarang bertanya khabar. Apalagi duduk menghirup kopi kerana aku memahami medan perjuangan memerlukan pengorbanan. Khabar angin mengatakan ada seorang pahlawan telah lahir dalam kalangan siswa kampus ini. Nama engkau pun kian meniti di bibir siswi dan para pensyarah.

Engkau diberikan tajaan atas khidmat engkau yang cemerlang. Kini, engkau sudah punyai ramai orang di belakang engkau yang menyokong sama perjuangan. Sementara aku masih lagi gadis membawa buku kuliah dan buku nota coklat ke perpustakaan. Begitu jugalah aku saling mendoakan agar engkau akan terus kuat kerana kemasyhuran boleh mengaburkan atau lebih dasyat membunuh rasa kemanusiaan.

Berita dari angin

Aku mengikat kain langsir yang berterbangan itu sebelum mataku merayap pada lembaran keratan akhbar yang terletak atas meja kerjaku. Kini engkau seorang menteri yang ada banyak spekulasi dan aku seorang pensyarah sains politik yang menekuni kronologi penglibatanmu dalam analisisku.

Atau lebih tepat aku masih lagi seorang kawan yang dilupakan namun masih setia untuk saling mendoakan. Ketika khabar angin ini melanda engkau kudengar sudah kehilangan banyak pengikut kerana kehilangan kepercayaan banyak orang.

Dalam keadaan ini aku, selalu bercerita kepada angin subuh yang memasuki ruang kamarku setiap hari bahawa kalau engkau mencari seorang kawan untuk kau tagih kepercayaan dan sedikit harapan.

Carilah aku kembali yang tidak pernah meninggalkan engkau. Kalau engkau mahu tahu sebabnya aku memilih setia dalam persahabatan?

Engkau hanya perlu sedari satu keadaan bahawa aku tidak memilih bersahabat dengan engkau selepas khabar angin kemasyhuran datang. Jadi, jika kota kemasyhuran itu ranap aku tidak bercadang untuk meninggalkan.

Benar. Aku tidak datang bersahabat denganmu kerana kemasyhuran.

 

_______________________

* Wafa Awla Alias ialah penulis muda dari Negeri Sembilan yang aktif dalam genre cerpen dan sajak. Cerpennya berjudul Cik Hujan antara karya paling menyerlah dalam antologi Bukan Dorman. Turut menghasilkan zine bersama rakan-rakannya, beberapa karya beliau juga terpilih dalam beberapa penerbitan lain.