Sastera

Tiga sajak Salman Sulaiman

Aku, Hidup dan Maut

Janganlah kau hairan
andai aku makan
dari sisa-sisa buangan
kerana daging tubuhku ini
memang asalnya tumbuh
daripada kerak-kerak kemiskinan.

Ada pun hidup
jauh dan sayup
manakala maut
tangkas tak berkelibat.

 

Kuala Lumpur
17 – 18 Jun 2015

Perjalanan

Kembaramu bermula dengan cinta
ada tiga belas ekor hantu di depan lorong
tujuh ekor serigala di pintu kota
sebuah kubu di muka istana.

Kau harung laut bergelora
dengan semangat pendekar
pedangmu tidak akan patah oleh kekuatan musuh
kau kalah dek kerana kelemahan sendiri.

Kau akan tahu makna perjalanan
selagi kau tidak berhenti berjalan.

 

Bachok, Kelantan.
15 Disember 2014

Hantu

Hantu ada —
ada di mana-mana
ada dalam dirimu
ada dalam baju
dalam seluar.

Hantu ada dalam dirimu
dalam tubuhmu
dalam darahmu
dalam hatimu
dalam jiwamu
di dalam kalbu.

Hantu itu adalah dirimu!

 

Teratak Seni, Machang.
30 September 2014

 
* Salman Sulaiman sudah menghasilkan empat buku sajak, selain karyanya tersiar dalam pelbagai medium.  Kerap memberi tunjuk ajar dalam bengkel penulisan kreatif, beliau juga Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015.