Berita

DAPSY Kebangsaan mahu PKR iktiraf Pakatan Harapan di Selangor

KUALA LUMPUR 28 NOV: Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY, Chiong Yoke Kong kesal dengan keputusan Majlis Tertinggi PKR kerana tidak mengiktiraf Pakatan Harapan dalam Kerajaan Selangor, secara rasmi.

“PKR harus meneliti suasana politik semasa dengan lebih terperinci dan mendalam bahawa Parti PAS yang telah mengingkari perjanjian Pakatan Rakyat telah kehilangan kredibiliti dan kepercayaan rakyat,” katanya pada kenyataan media, baru-baru ini.

Beliau berkata, DAPSY menegaskan semula kenyataan bekas Ketua DAPSY, Teo Kok Seong pada Kongres DAPSY 2015 Ahad lalu yang mendesak supaya Pakatan Harapan diiktiraf secara rasmi dalam Kerajaan Selangor, sebagai pendirian DAPSY Kebangsaan.

Azmin sebelum ini masih mengekalkan wakil rakyat PAS dalam pentadbiran Kerajaan Selangor bersama PAS sedangkan Pakatan Harapan tidak disertai parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia berikutan, katanya, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berpandangan kenyataan Kok Seong itu hanya pandangan peribadi dan tidak mewakili DAP pada Kongres Nasional PKR lalu.

“Azmin harus berusaha supaya Pakatan Harapan diiktiraf di seluruh negara untuk menunjukkan komitment PKR terutama Kerajaan Selangor yang merupakan pangkalan paling hadapan untuk melawan Umno Barisan Nasional (BN),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, DAPSY mengalu-alukan usaha Azmin untuk memantapkan kerjasama dalam Pakatan Harapan selain bersetuju betapa perjuangan politik bersifat maraton.