Berita

Halang perkahwinan bawah umur elak jenayah seksual kanak-kanak

KUALA LUMPUR 1 DIS: Kerajaan Persekutuan digesa menerima pakai resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghalang perkahwinan kanak-kanak, perkahwinan awal dan perkahwinan paksa seperti yang dipersetujui Majlis Hak Asasi Sedunia.

“Bilakan kita akan melihat tindakan kerajaan untuk memenuhi janji dan tanggungjawab mereka?” kata Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang menyifatkan tiada kata-kata dapat menggambarkan kesedihan dan kemarahan berikutan tragedi itu.

“Inilah kes yang berlaku depan kita. Bukan sahaja isteri bawah umur dimanipulasi oleh suami tetapi kanak-kanak berusia 11 tahun menjadi mangsa keganasan seksual,” katanya lagi.

Beliau merujuk kes seorang lelaki yang mengaku salah atas dua tuduhan merogol adik iparnya berusia 11 tahun dan memaksa isterinya berusia 14 tahun yang kurang upaya (OKU) merakam pelakuannya. Lelaki itu, malah membuat salinan rakaman video cakera padat (VCD) dan menjual kepada kenalannya.

Pada kenyataan media hari ini, Nie Ching berkata, wanita OKU tidak tidak harus dibenar berkahwin berikutan faktor usia terlalu muda kerana ia ketara mudah menjadi sasaran penderaan

Berulang kali membangkitkan hal itu di Parlimen, katanya, kajian menunjukkan kanak-kanak perempuan berusia antara 10 dan 14 tahun, lima kali ganda risiko kematian ketika hamil dan melahirkan anak berbanding wanita berumur 20 hingga 24 tahun

“Selain itu, pengantin kanak-kanak kurang cenderung menamatkan pendidikan dan lebih terdedah kepada penderaan fizikal, seksual dan mental.

Mengikut undang-undang Malaysia, usia minumum pasangan bukan Islam berkahwin ialah 18 tahun dan perkahwinan bawah usia itu dibenar dengan kebenaran ketua menteri.

Bagi pasangan Islam pula, usia minimum perkahwinan ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun perempuan tetapi melalui kebenaran mahkamah syariah, perkahwinan pada sebarang usia dibenarkan.