Berita

Skim rumah mampu milik Johor gagal bantu anak muda miliki kediaman

JOHOR 1 DIS: Peruntukan Skim Pembiayaan Rumah Mampu Milik yang diberi Kerajaan Johor hanya memberi manfaat kepada sebilangan kecil rakyat sedangkan ramai penduduk memerlukannya.

Ahli Dewan Negeri (Adun) Tangkak, Ee Chin Li berkata peruntukan RM3 juta skim itu cuma dapat memanfaat 3,750 pemohon bagi rumah berharga RM42,000 dan 7,142 pemohon bagi rumah berharga RM80,000.

“Jumlah itu sangat kecil berbanding dengan pemohon yang begitu ramai,” katanya pada kenyataan media merujuk jawapan bertulis yang dibekal Pengerusi Jawatankuasa Perumahaan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latiff Bandi 29 November lalu.

Mengikut Abdul Latif, skim itu hanya untuk mereka yang gagal memperoleh pinjaman bank dan cuma dibuka bagi kategori rumah berharga RM42,0000 dan RM 80,000 sahaja.

Selain itu, Chin Li berkata, Skim Rumah Rakyat PPR yang ditawar kepada mereka yang tidak berupaya membayar ansuran bulanan, diperluas ke lebih banyak tempat di negeri ini.

“Rumah transit di bawah Yayasan PBT juga perlu ditambah supaya lebih ramai pemohon memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata, ramai anak muda mengeluh sukar mendapat pinjaman bank tetapi pokok masalah iaitu gaji kecil mengakibatkan apa jua skim yang ditawar tidak menyelesaikan masalah sebenar.

“Jikalau pun lulus pinjaman perumahan, adakah mereka mampu membayar ansuran bulanan? Apakah inisatif untuk menangani masalah pendapatan rakyat yang rendah pada masa sekarang?” katanya.