Berita

Kerajaan BN abai projek bekalan air, Impian Sarawak turun sambung paip

SARAWAK 2 DIS : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelawan, Wong Kee Woan kesal berikutan Kerajaan Sarawak seolah-olah menghukum rakyat yang menyokong pembangkang, dengan sengaja mengabai aspek kemudahan asas, khususnya penduduk pedalaman negeri itu.

Beliau berkata, ia berikutan banyak kawasan yang pengundinya menolak Barisan Nasional (BN) tidak menerima bekalan air dan elektrik menyebabkan penduduk kesukaran meneruskan aktiviti seharian.

“Sebagai contoh, RH Timban yang terletak di Sungai Iran, Song, menempatkan 14-pintu rumah panjang masih tidak mempunyai bekalan air sejak 15 tahun lepas,” katanya.

Kata Kee Woan, kesusahan sedia ada pula seolah-olah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka dimaklumkan tiada projek bekalan air akan dilaksana oleh Kerajaan Sarawak walaupun ada menerima dana Kerajaan Persekutuan.

“Terdapat baki bahan daripada projek di RH Chirry seperti paip yang boleh digunakan untuk kegunaan penduduk RH Timban tetapi disimpan di dalam stor.

“Perbuatan itu kejam dan tidak menghormati perasaan penduduk yang sepatutnya dibela dan dilayan secara adil”, katanya.

Justeru, beliau menuntut penjelasan Ketua Menteri Sarawak berhubung dana Projek Pembangunan Luar Bandar – Minor Rural Project (MRP) yang diluluskan Kerajaan Pusat bernilai RM 1.115 billion.

Beliau berpendapat Kerajaan Pusat seolah-olah sengaja menganak tiri penduduk kerana dilihat cenderung menyokong pembangkang.

“Selain itu, ada banyak kes Kerajaan Pusat membatalkan pelantikan tuai rumah serta memotong dana MRP.”

Kesal dengan tindakan itu, katanya DAP melalui projek Impian Malaysia baru-baru ini melakukan kerja menyambung paip sepanjang 1.5 meter ke kawasan berkenaan, antara lokasi paling sukar dimasuki.

Impian Malaysia adalah projek seliaan DAP untuk memastikan penduduk luar bandar Sarawak dan Sabah, khasnya, dapat menikmati keperluan asas seperti jalan raya, elektrik dan air.

Kee Woan yang juga Naib Pengerusi DAP Sarawak, berkata kewujudan kawasan yang tiada keperluan asas seperti air dan elektrik, sangat memalukan apatah lagi selepas 52 tahun pembentukan Malaysia,.