Rencana, Wawancara

Pilihan raya Negeri Sarawak: DAP selangkah di depan

 

Abdul Aziz Isa, nama yang semakin kerap disebut-sebut dalam forum politik di Sarawak. Anak muda berumur 26 tahun itu merupakan pembantu khas Pengerusi DAP Sarawak. Aziz juga merupakan yang pertama dalam keluarganya yang tidak menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Aziz yang turut berkhidmat sebagai penyelaras Pusat Khidmat DAP Tupong meluangkan masa berkongsi pandangannya tentang dinamik politik di Sarawak menjelang Pilihanraya Negeri yang bakal berlangsung tahun depan.

 

Bagaimana dengan persiapan DAP Sarawak menghadapi Pilihan raya Negeri tahun depan?

DAP melancarkan hampir 20 pusat khidmat sejak 2013. Mas Gading, Tupong, Mambong, Serian, Sri Aman, Betong, Pelagus, Belaga, Senadin dan beberapa tempat lain. Bagi saya ini langkah yang baik sebab ibarat kita sudah ada rumah di tempat-tempat itu. Cawangan-cawangan juga kita sudah tubuhkan tapi sebab RoS (Pendaftar Pertubuhan) tidak luluskan jadi masih dalam status ‘protem’. Kita juga tubuhkan unit-unit kecil yang terdiri dari satu unit lima orang. Mereka biasanya sertai walkabout.

 

Adakah DAP berpeluang menang di Sarawak pada PRN tahun depan?

Setakat ini Parlimen sudah luluskan 82 kerusi (nota editor: daripada 71 kerusi kepada 82 untuk DUN Sarawak). Sebelum ini 16 kerusi ditandingi oleh pimpinan berbangsa Cina. Kita perlukan lagi 26 kerusi untuk mendapat majoriti. Kita perlukan undi masyarakat Dayak. Apabila Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen  bawa isu Dayak, semakin ramai masyarakat Dayak sertai DAP sekaligus keahlian semakin berbilang kaum. Tiga calon bumiputera bertanding kerusi DAP menang. Pelantikan baru-baru ini pula ada enam Dayak dalam pimpinan parti. Jadi bagi saya DAP berada di landasan yang tepat memenangi hati rakyat Sarawak.

Tidak bermakna kita juarai isu masyarakat Dayak, jadi cauvinis Dayak. Atau menjuarai isu masyarakat Cina, kita jadi cauvinis Cina. Tapi ini adalah tugas yang diberikan.

 

Apakah faktor dan kesan penyertaan masyarakat Dayak dalam DAP?

DAP melalui prinsip kebebasan beragama mendapat perhatian masyarakat Dayak. Dengan perkembangan terbaru seperti kes salib di Taman Medan dan seumpamanya, masyarakat Dayak risau dan mereka mula membuka mata kepada DAP. Tapi kita perlu jelas, DAP adalah parti sekular di mana agama adalah urusan peribadi. DAP mempertahankan kebebasan beragama, tanpa berat kepada mana-mana agama.

Selain itu, isu tanah NCR yang sangat dekat dengan masyarakat Dayak. Sehingga hari ini kerajaan enggan iktiraf Pemakai Menoa dan Pulau Galau. Sebabnya jika diiktiraf akan ramai syarikat terpaksa keluar dan mengalami kerugian. Isu ini akan diguna untuk menentang Adnan.

Bagi saya, DAP telah selangkah di hadapan. Mereka tahu macam mana berhadapan dengan Cina, Melayu, dan kini Dayak. Penyertaan terbaru ini cuma gelombang pertama. Akan ada lagi selepas ini. Masyarakat Dayak mula terbuka kepada DAP. Tapi kita bukan cuma penyertaan ahli Dayak. Kita perlukan pemimpin Dayak yang berkualiti. Tak guna kita banyak ahli Dayak tapi tak ada pemimpin Dayak.

 

Saudara datang dari keluarga yang ramai ahli PBB, kenapa pilih sertai DAP?

Mungkin sambutan terhadap Dyana Sofya di Perak sebagai anak Melayu masuk DAP di luar jangkaan. Tapi bagi saya penyertaan ahli Melayu dalam DAP ini sangat normal. Saya tidak akan sertai DAP kalau parti pemerintah sekarang memerintah secara adil. Saya sendiri terlibat dalam membantu sepupu saya yang bertanding untuk PBB dalam berkempen dan saya nampak sendiri bagaimana pengurusan wang oleh mereka.

Saya pilih DAP kerana mereka progresif. Saya tengok mereka cuma berceramah atas trak, sanggup buat apa yang perlu untuk meyakinkan rakyat. Berbanding dengan PBB yang sangat mewah, dapat makanan percuma, nak pergi ceramah pun kena bagi duit. Tanpa duit, PBB tak bergerak.

 

SUFI3024Pada pendapat saudara, adakah DAP relevan di Sarawak?

DAP satu-satunya parti sekular di Malaysia. Di Sarawak ramai muslim, tapi muslim yang berbeza sedikit, misalnya, jika Melayu bertatu bukanlah perkara luar biasa. Ini sebab perbezaan budaya. Pendekatan DAP yang sekular sesuai dengan masyarakat Sarawak yang bagi saya lebih terbuka berkaitan hal agama. Parti-parti politik yang ada di Sarawak pun memang tidak gunakan agama apabila memberi bantuan.

 

Apa maksud saudara dengan tugas yang diberikan? Tugas sebagai DAP ‘unit Melayu’?

Kita kena melihat dari perspektif begini: kalau saya tak masuk DAP, pimpinan DAP yang berbangsa Cina seperti saudara Chong Chieng Jen dan saudari Christina Chiew Wang misalnya susah untuk bercakap pasal isu zakat atau isu peniaga Melayu kerana batasan-batasan tertentu. Jadi apabila saya sertai DAP, saya sendiri yang bawa isu-isu ini di luar dan mereka pula bawa ke Dewan Undangan Negeri. Kerjasama dari luar dan dalam ini penting. Bukan mempergunakan, tapi pendekatan perlulah mengikut kesesuaian komuniti itu.

 

Sebagai ahli Melayu dalam DAP, adakah saudara hadapi cabaran komunikasi atau budaya?

Saya tak ada masalah. Kalau mesyuarat saya ada penterjemah dan kebetulan saya boleh faham Hokkien. Bagi saya, yang penting kalau dalam satu mesyuarat majoriti Cina dan diadakan dalam bahasa Cina, kita kenalah tanya apa yang mereka cakap. Dalam masa sama komuniti pula pertimbangkan kalau ada ahli Melayu. Kerjasama antara kaum bukan sekadar toleransi tapi juga penerimaan. Jadi bagi saya yang penting adalah kesanggupan untuk belajar.

 

Bagaimana pula dengan sentimen bahawa DAP parti semenanjung?

Kita pernah jawab isu ini. Saya tanya semula, berapa ramai orang Sarawak yang kahwin dengan orang Semenanjung? Hakikatnya, DAP parti kebangsaan. Ada di mana-mana. Sedangkan PBB parti tempatan. Kononnya lah. Walaupun bila isu royalti senyap sampai sekarang. Siapa yang bawa isu royalti? Saudara Chong Chieng Jen dari parti kebangsaan.

Mungkin susah kita mahu hakis persepsi bahawa DAP parti Semenanjung memandangkan sentimen ini telah dimainkan sekian lama. Tapi kita kena teruskan usaha meyakinkan orang bahawa DAP parti kebangsaan. Kita tidak boleh cuma harap parti tempatan untuk bawa perubahan kepada negara. Berapa kerat saja kerusi di Sarawak? Untuk perubahan kita perlukan parti kebangsaan yang beri autonomi kepada negeri.

DAP beri autonomi pemilihan calon di peringkat negeri. Dalam DAP, sentiasa perlu rujuk kepada negeri. Segala polisi negeri yang buat, kecuali polisi bersama. Sedangkan PBB yang kononnya suara rakyat Sarawak sangat jelas dikawal Umno.

 

Apa pendapat saudara terhadap slogan ‘Sarawak for Sarawakians’ yang sering timbulkan kekeliruan?

Ini adalah perangkap (bekas Ketua Menteri Sarawak yang kini Yang Dipertua Negeri) Taib Mahmud. Dia sangat pandai putar belit perkataan. Biar saya jelaskan. Ada beberapa kumpulan yang guna slogan ini. Yang pertama, yang mahu keluar dari Malaysia. Yang kedua, yang menolak semenanjung di Sarawak. Yang ketiga, yang mahukan autonomi untuk Sarawak.

Sesetengah orang keliru. Bagi saya, tak kisah mahu guna slogan ‘Sarawak for Sarawakians’. Tapi lepas itu apa? Sabah for Sabahans, Johor for Johoreans? Kalau sentimen ini terlalu dibawa-bawa, di mana Malaysia? Kita tak nak Sarawak keluar dari Malaysia. Kita cuma mahu tuntut balik hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Jadi saya lebih kepada golongan yang ketiga yang menuntut autonomi.

 

Secara ringkas, boleh jelaskan apa yang menyebabkan autonomi rakyat Sarawak terhakis?

Bagi saya ia bermula apabila Jabatan Menteri Hal Ehwal Sarawak dihapuskan. Yang terakhir dipegang oleh Tun Jugah. Dan apabila Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Sarawak diangkat dan dipindahkan menjadi Ketua Setiausaha Persekutuan lama-lama kuasanya semakin kuat. Cengkaman Persekutuan terhadap negeri semakin kuat. Ramai salah faham sebagai Semenanjung. Tapi sebenarnya Persekutuan.

Yang kedua bagi saya disebabkan oleh Perjanjian Petronas 1974 (Perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974). Orang Sarawak selalu cakap bahawa orang Semenanjung ambil minyak orang Sarawak. Kenapa salahkan Semenanjung? Salahkan Persekutuan dan salahkan orang yang tandatangan perjanjian itu sendiri. Siapa? Datuk saya sendiri. Tun Abdul Rahman Yakub. Jadi kenapa salahkan Semenanjung? Salahkan pemimpin kita sendiri. Bukan Tengku Razaleigh, Tun Abdul Razak, Tunku Abdul Rahman.

 

Bagaimana dengan isu pembalakan haram di Sarawak?

Tak banyak beza sejak Taib Mahmud. Tapi ini yang saya perhatikan. Sekurang-kurangnya Taib tak pernah mengaku dia bersih. Tak pernah Taib buat sumpah integriti. Tapi Adenan mengaku bersih dan buat sumpah integriti tapi masih juga berlaku rasuah. Jadi macam tin kosong. Pembalakan haram malah semakin teruk. Dulu sudah namakan enam syarikat termasuk salah satu melibatkan sepupu Adnan sendiri di mana akaun mereka dibekukan. Tapi apa tindakan selepas itu? Sekadar keluar suratkhabar dan dilihat sebagai hero. Sekarang Adnan minta SPRM bersihkan nama Taib Mahmud. Jadi saya kira ini permainan kotor Adenan.

 

impianBagaimana dengan perkembangan Impian Sarawak?

Impian Sarawak semakin aktif. (Nota editor: Impian Sarawak adalah Inisiatif DAP membantu masyarakat pedalaman Sarawak melalui projek infrastruktur dan pendidikan) Program bukan hanya fokus membantu menyediakan infrastruktur kepada masyarakat pedalaman tapi juga fokus dengan kesihatan, pendidikan dan program ekonomi. Yang menarik tentang program ekonomi, baru-baru ini di Miri ada buat jualan anak sawit. DAP jual RM12 berbanding harga semasa RM15. Jadi kalau 1000 anak sawit, mereka cuma perlu bayar RM12,000 dan bukannya RM15,000.

Selain itu, di Sri Aman kita juga terlibat dalam membantu industri kraf tangan yang rata-rata diceburi oleh ibu tunggal. Program itu bukan program secara rasmi bawah Impian Malaysia, tapi kita guna nama Impian untuk lebih mempromosi Impian Sarawak.

 

Bagaimana sambutan dan kesan program Impian Sarawak setakat ini?

Mula-mula agak susah. Tuai rumah atau ketua kampung tak bagi. Tapi perlahan-lahan, akhirnya mereka bersetuju. Di mana-mana kita pergi, kita bawa nama Impian Sarawak. Untuk musim cuti ini saja ada tujuh kem Impian Education dikenalpasti. Di majlis penutupan kem Impian Education di Kerian baru-baru ini sangat ramai yang hadir. Sambutan sangat menggalakkan.

 

Apakah iltizam politik dan harapan saudara?

Saya mahu dilihat sebagai orang yang mendukung idea ‘centre left’. Kita tak minta orang kaya tolong orang miskin. Kita nak orang Malaysia tolong diri sendiri. Kalau orang kaya tengok orang miskin, dia akan tolong sebagai rakan seperjuangannya. Kita tak nak dia tolong kerana seakan-akan diperah.

Sebagai warganegara Malaysia pula saya harap tak ada lagi golongan ultra dan ekstremis dan tak ada lagi kita membincangkan tentang hak Melayu. Kita mahu cakap tentang hak rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan tidak seharusnya menjadi isu. Kalau boleh kita bilingual. Tidak bermakna kita mahir Inggeris kita tidak patriotik. Yang penting multiracial. Pertembungan kaum hanya memecahbelahkan. Tapi apabila wujud parti-parti yang pelbagai kaum, pertembungan dan persaingan lebih sihat dan kita dapat mewujudkan kerajaan yang lebih mewakili rakyat. -Roketkini.com