Berita

Kesatuan politik mampan dimeterai, perjanjian Pakatan Harapan fokus 7 perkara

KUALA LUMPUR 5 JAN: Pakatan Harapan akan mengadakan persidangan pimpinan Pakatan Harapan buat julung-julung kalinya di Pusat Persidangan SACC, Shah Alam, Sabtu ini bagi memeterai perjanjian antara DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Mengikut kenyataan media ditandatangani bersama Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Presiden Amanah, Mohamad Sabtu, perjanjian itu mengikat ketiga-tiga parti dalam kesatuan politik yang mampan.

Justeru, kata kenyataan itu, perjanjian berkenaan memberi fokus kepada tujuh perkara utama yang menjadi pra-syarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik mampan antara ketiga-tiga parti iaitu:

Prinsip dan kaedah membuat keputusan.

ii. Prinsip dan kaedah membina kesatuan politik antara parti.

iii. Prinsip dan kaedah dalam menyelesaikan pertikaian di antara parti.

iv. Prinsip dan kaedah dalam membangunkan dasar-dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama.

v. Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan pilihanraya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi.

vi. Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang.

vii. Prinsip dan kaedah menangani keadaan bila mana perjanjian ini dilanggari.

Kenyataan itu juga menyebut, rundingan dan perbincangan untuk memuktamad Perjanjian Pakatan Harapan bermula sejak pertengahan Oktober 2015 sejurus selepas pelancaran Pakatan Harapan.

“Keputusan untuk menguatkan lagi persefahaman politik melalui Perjanjian Pakatan Harapan lahir dari keinsafan bahawa rakyat mahukan sebuah pakatan politik yang lebih bersatu padu dan utuh yang padan dengan sokongan rakyat terhadap agenda perubahan.

“Rakyat sedia maklum pandangan dan keputusan Pakatan Harapan dalam isu-isu besar negara. Perkara itu termaktub di dalam dokumen dasar-dasar Pakatan Harapan sebelum ini (Kerangka Dasar Bersama, Belanjawan Pakatan Harapan, Buku Jingga dan lain-lain) atau diterjemah oleh pentadbiran Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

“Pun begitu, ada keperluan untuk menguatkan lagi kerjasama politik ini dengan membuktikan keikhlasan dan niat politik yang mengikat ketiga-tiga parti.

“Niat politik yang ikhlas itu menjadi asas kepada kepatuhan ketiga-tiga parti kepada prinsip yang dipersetujui dalam dasar dan keputusan bersama. Keikhlasan dan kejujuran politik sebegini sebahagian harapan rakyat yang perlu dikotakan,” kata kenyataan itu.

Ketiga-tiga pimpinan utama itu yakin pemeteraian perjanjian itu suatu kemajuan besar yang melambangkan kematangan politik PKR, DAP dan Amanah yang mengenepikan kepentingan politik masing-masing.

“Pertukaran kepimpinan kerajaan menjadi satu keperluan mendesak. Tidak pernah sebelum ini rakyat dihukum dengan dasar kerajaan yang membebankan dalam keadaan prospek ekonomi yang murung seperti sekarang.
“Malaysia berada di persimpangan genting yang bakal menentukan hala tujunya dalam tempoh 30 tahun akan datang. Oleh itu kelompongan kepimpinan yang jujur dan boleh dipercayai perlu diisi segera untuk memberi harapan kepada rakyat,” kata kenyataan itu. -Roketkini.com