Rencana

Impian Malaysia dari kaca mata DAP

Pada 9 Januari 2016, saya sungguh bertuah kerana dapat menghadiri Persidangan Kepimpinan Pakatan Harapan yang penuh bersejarah apabila perjanjian dasar bersama ditandatangani dan dilancarkan. Pakatan Harapan perlu menjadi kuat, bersatu dan teguh untuk memenangi pilihan raya terpenting iaitu PRU 14 akan datang. UMNO amat terdesak saat ini sehingga bergabung tenaga dengan PAS untuk mengaburi mata rakyat Malaysia, terutama orang Melayu demi meneruskan hegemoni mereka dengan cuba memecah-belahkan keutuhan Pakatan Harapan.

Kuasa telah merosakkan UMNO sepenuhnya.

Kini, mereka sampai ke tahap yang mereka tidak peduli sama ada dipandang buruk ataupun tidak. Mereka tidak peduli kerana mereka mengalami perubahan sistemik daripada sebuah kerajaan ‘busuk’ kepada kerajaan teruk dan akhir sekali kepada sebuah kerajaan zalim. Sebuah kerajaan zalim yang membenci pembangkang. Mereka melayan pembangkang seperti musuh.

Daripada melibatkan diri dengan debat sihat bersama pembangkang, kerajaan zalim sebaliknya menggunakan sumber negara (contohnya wang pembayar cukai) untuk memanipulasi media massa. Cuba lihat laporan terpilih milik The Star, NST, Utusan, TV3 dan RTM. Mereka bertindak seperti jurucakap kerajaan. Sebuah kerajaan zalim yang menggunakan taktik kotor seperti 3R (Religion-Agama, Race-Kaum dan Rulers-Pemerintah) untuk menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat. Kerajaan zalim, malah sanggup mengkhianati kaumnya sendiri untuk terus kekal di tampuk pemerintahan.

Kini, UMNO dan PAS bergabung tenaga untuk mengulangi pembohongan kononnya DAP sebuah parti berasaskan Cina. Mereka mengulangi pembohongan kononnya DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Mereka mengulangi pembohongan bahawa jika Barisan kalah dalam Pilihan Raya Umum akan datang, orang Melayu kehilangan hak dan kuasa mereka.

 

Propaganda ala Nazi

Nicole Tan Lee KoonInilah yang cuba diulangi UMNO tanpa bosan agar rakyat percaya bahawa pembohongan itu satu kebenaran. Kesan propaganda ala Menteri Propaganda Nazi, Joseph Goebbels: mengulangi sesuatu pembohongan sehingga menjadi kebenaran.

Menurut statistik yang dinyatakan oleh Lim Kit Siang dalam ucapan beliau di Seremban pada 10 Januari 2015 di majlis makan malam Adun Senawang, P Gunasekaran, dari 1970 hingga 2000, demografi di Malaysia menunjukkan bahawa jumlah penduduk Melayu meningkat daripada 44 peratus kepada 55 peratus; Cina menurun daripada 34 peratus kepada 24 peratus dan India menurun daripada 19 peratus kepada tujuh peratus.

Beliau juga mengatakan ada 114 kerusi majoriti-Melayu daripada 162 kawasan pilihan raya parlimen di Semenanjung. Menurut statistik itu, bagaimanakah mungkin golongan Melayu hilang kekuasaannya di negara ini? Lagipun, ada lebih ramai ahli Parlimen Melayu selepas kebangkitan Pakatan. Ia penting untuk Pakatan Harapan tidak terjerumus ke dalam perangkap mereka dengan tidak meletakkan calon Melayu DAP di kawasan kubu Melayu.

Pembohongan yang diada-adakan UMNO dan PAS berniat untuk memperdaya golongan Melayu. Ia taktik berbahaya dan jahat. Ia bukan setakat merendah-rendahkan kebijaksanaan orang Melayu tetapi merendah-rendahkan orang Melayu secara umumnya.

Sekiranya pembohongan itu dipercayai, ia satu kerugian besar buat Melayu.

 

Isu 1MDB belum selesai

Sebelum ini, Najib mengatakan bahawa kerajaan tewas dalam perang persepsi (tanggapan) berkenaan 1MDB. Dia mendakwa rakyat hanya percaya kepada pembohongan tentang 1MDB dan bukannya perkara sebenar. Kini, mesej Tahun Baru Najib atau pembohongan terbarunya ialah 1MDB bukan lagi satu isu. Isu 1MDB telah diselesaikan. Wujudkah mana-mana rakyat Malaysia berfikiran waras yang bersetuju akan hal ini?

Di manakah wangnya? Siapakah yang memberi wangnya? Ke manakah wang itu pergi? Apakah motif mereka yang dipanggil sebagai penderma itu? Berapa ramaikah yang ‘menderma’ wang berkenaan? Di manakah baki wang itu? Semua soalan itu sedang berlegar dalam minda setiap masyarakat Malaysia yang berfikiran waras. Isu 1MDB semestinya belum selesai. Kita perlu ulang soalan tanpa jemu sehingga kita dapat jawapannya: “Di manakah RM 2.6 billion itu?”

Bagaimanakah caranya untuk kita membalas kembali hujah kotor seperti DAP anti-Melayu atau anti-Islam? Sejak hari pertama, DAP bersumpah untuk menjadi sebuah parti untuk semua kaum, tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya. Kita perlu bertindak balas ke atas kempen jahat mereka secara efektif dengan mengulangi komitmen kita untuk menjadi sebuah parti untuk semua, tanpa mengira kaum, agama dan negeri, tanpa jemu.

Kita perlu mempertahankan diri kita dengan fakta dan angka untuk meredakan ketakutan rakyat bahawa kononnya kebangkitan DAP mengakibatkan kehilangan kuasa politik orang Melayu. Ini cara terbaik untuk melawan kempen sebegitu. Inilah impian DAP buat Malaysia. Untuk semua kaum dan agama!
*Penulis merupakan Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan (NEC) Wanita DAP dan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan