Rencana

Kembalikan Kuala Lumpur kepada warga Kuala Lumpur

Sewaktu ditemubual radio BFM, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz menyatakan bahawa sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan di Kuala Lumpur, tentu akan dimenangi pembangkang dan jawatan Datuk Bandar juga tentu disandang oleh pembangkang. Lalu menimbulkan masalah kepada hubungan antara kerajaan tempatan dan kerajaan Persekutuan.

Beliau kemudian menjadikan hujah itu sebagai asas kebimbangan dan penolakan terhadap pilihan raya kerajaan tempatan. Saya beranggapan kebimbangan ini timbul kerana tidak jelas dengan semangat demokratik di sebalik desakan untuk diadakan pemilihan di peringkat kerajaan tempatan.

Sudah tentu asas kepada sistem demokrasi adalah keyakinan bahawa rakyat berhak dan lebih baik secara bersama menentukan urusan hidup mereka. Dalam konteks demokrasi perwakilan di Malaysia, itu diterjemahkan dengan memilih pemimpin mereka sendiri.

Memandangkan jawatan seperti Datuk Bandar mempunyai kuasa dan kedudukan melibatkan pelbagai hal tadbir urus yang memberikan kesan kepada rakyat di kawasan itu sendiri. Maka sudah tentu rakyat mengharapkan pemimpin yang akan memegang jawatan-jawatan sedemikian meletakkan kepentingan rakyat di tempat paling atas dan bertanggungjawab kepada rakyat. Hanya pemimpin yang dipilih rakyat saja boleh dituntut menjawab kepada rakyat.

Melalui kaedah lantikan seperti yang diamalkan sekarang, kuasa dan kedudukan Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak memperoleh legitimasi dari rakyat. Oleh kerana jawatan Datuk Bandar adalah melalui lantikan daripada Menteri Wilayah Persekutuaan, maka sudah tentu Datuk Bandar Kuala Lumpur hanya bertanggungjawab dan setia kepada Menteri Wilayah Persekutuan, bukannya kepada warga Kuala Lumpur.

Justeru, melalui temubual itu juga tanpa selindung kita dapat mendengar bagaimana Menteri Wilayah Persekutuan dan kerajaan persekutuan digambarkan seperti bos kepada Datuk Bandar. Datuk Mhd Amin lebih mengambil berat bagaimana seorang Datuk Bandar dapat memenuhi kehendak Menteri dan perancangan kerajaan persekutuan berbanding berbanding warga Kuala Lumpur.

Alasan beliau bersandarkan sangkaan bahawa menteri dan kerajaan persekutuan lebih tahu kehendak sebenar warga Kuala Lumpur. Oleh itu lebih layak menggubal dasar dan merancang untuk Kuala Lumpur. Tugas Datuk Bandar pula cuma melaksanakannya.

Dengan tanggapan sedemikian, Datuk Mhd Amin juga telah bercanggah dengan dirinya sendiri apabila menyatakan bahawa pembangkang akan menang dan menguasai pentadbiran Kuala Lumpur dengan nada negatif.

Bukankah sesiapa saja yang menang pilihanraya bagi kawasan Kuala Lumpur lebih layak mendakwa mereka tahu apa warga Kuala Lumpur mahu berbanding Menteri Wilayah Persekutuan dan kerajaan persekutuan? Mengapa beliau menolak pilihanraya yang lebih jelas perwakilannya?

Kuala Lumpur memerlukan satu pendemokrasian menyeluruh. Pilihanraya kerajaan tempatan dan proses desentralisasi bukan sekadar mampu memberikan kuasa memilih kepada warga Kuala Lumpur, tetapi mengembalikan Kuala Lumpur kepada warga Kuala Lumpur.

Melaluinya warga Kuala Lumpur dapat menentukan sendiri hala tuju pembangunan di kawasan mereka. Pendemokrasian kerajaan tempatan akan mewujudkan kebertanggungjawaban pemimpin kepada rakyat, dan kebertanggungjawaban rakyat kepada kawasan setempat.

*Penulis merupakan  Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Subang.