Rencana

Meritokrasi tentukan turun naik ahli politik Melayu DAP

SYED Ali Alhabshee berbunyi lagi.

Kali ini, beliau memberi amaran kepada orang Melayu yang ingin menceburi politik supaya tidak menjadi ‘pak sanggup’ DAP dan memecahkan undi Melayu.

Kononnya, Melayu yang dalam DAP ‘kemaruk’ menjadi wakil rakyat pada pilihan raya umum akan datang sehingga mengetepikan usaha perpaduan Melayu.

Kasihan Syed Ali Alhabshee. Setiap kali beliau berbunyi, ia tidak menunjukkan kecerdikan pemikiran, sebaliknya bersandar kepada hujah dangkal, tidak matang, dan penuh prejudis perkauman melampau.

Mungkin bagi individu seperti Syed Ali apabila terjun ke dunia politik, ia hanya berkisar soal laba dan gila untuk menjadi wakil rakyat – sekadar mengulangi ayat yang digunakannya.

Tetapi, tidak semua orang seperti anda, wahai Syed Ali.

Bagi orang Melayu yang merdeka dan punyai jatidiri tinggi, mereka tidak masuk politik untuk mencari laba dan gila untuk menjadi wakil rakyat. Sebaliknya, mahu menyumbang sesuatu dan bersama-sama berusaha dalam membina negara.

Memilih parti politik yang bukan majoriti Melayu sebagai wadah perjuangan seperti DAP bukan tiket percuma untuk menjadi wakil rakyat. Perkiraan berasaskan warna kulit bukanlah perkara yang menentukan turun naik karier politik dalam DAP. Tetapi, ia soal kemampuan, kebolehan dan keupayaan. Bahasa mudahnya meritokrasi.

Berada dalam DAP, tidak bermaksud untuk memecahbelahkan Melayu. Apa salahnya menjadi minoriti walaupun berada di bumi Malaysia? Bersendirian dalam menentukan jatuh bangun dalam politik. Kesukaran adalah satu kebenaran dan kemestian.

Mungkin Syed Ali lebih senang naik lif daripada naik tangga. Tetapi, bukankah respect is to be earned, not demanded. Buka mata hati dan minda. Penilaian baik berasaskan kemampuan, kebolehan dan keupayaan, bukan berasaskan warna kulit.

Soal perpecahan, soal perbedaan idealisme politik, ia bukanlah sesuatu perkara baru. Sebelum merdeka, Melayu terpecah menganut beberapa mazhab politik. Ia sesuatu yang normal bahawa manusia dicipta dengan kepelbagaian fikrah dan minat.

Hanya manusia yang berminda terjajah seperti Syed Ali sahaja berasa setiap manusia boleh diikat dalam satu jalur pemikiran sama. Manusia yang gila kuasa sahaja akan bersikap seperti diktator dengan menentukan tingkah laku dan pemikiran orang lain.

Syed Ali perlu ingat, alam Melayu penuh kisah dan tragedi perlawanan. Ia lama terpatri dalam darah Melayu tetapi semakin lama, ia kian lemah dan terungkai. Mengapa? Adakah ia salah DAP?

Menjadi Melayu tidak semestinya perlu berpayung bawah parti Syed Ali semata-mata.

Apatah lagi, parti Syed Ali bukanlah benar-benar tulus memperjuang orang Melayu. Puluhan tahun parti Syed Ali tertubuh tetapi slogan Melayu ketinggalan, Melayu masih memerlukan subsidi dan bantuan, masih kuat kedengaran. Apa yang parti Syed Ali buat selama ini?

Jika benar parti Syed Ali benar-benar memperjuang orang Melayu, saya yakin orang Melayu tidak akan berpaling daripada parti Syed Ali seperti yang berlaku hari ini. Namun, parti Syed Ali mengkhianat kepercayaan orang Melayu selama ini.

Maka, tidak perlulah untuk menyalahkan orang lain sebaliknya salahkan diri sendiri.

* Ahmad Anwar Asyraf ialah Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor